Pemergian pensyarah rebah di kuliah Subuh petanda husnul khatimah, Dr Zulkifli dedah arwah semangat berdakwah, ilmu tinggi

Iklan
Pemergian pensyarah USIM rebah di kuliah Subuh petanda husnul khatimah, Dr Zukifkli dedah arwah semangat dakwah, ilmu tinggi (1)

PEMERGIAN pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Dr Mohd Soberi Awang amat dicemburui.

Allahyarham rebah ketika menyampaikan kuliah subuh di sebuah surau di Seksyen 9, Shah Alam disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam.

Iklan
Iklan

Terkejut dengan pemergian sahabatnya, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri dalam catatannya berkongsi ayat terakhir yang dilafazkan sahabatnya itu kala menyampaikan kuliah agama.

Iklan

Mantan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan itu juga menyifatkan Ustaz Dr Mohd Soberi beroleh pengakhiran yang baik iaitu husnul khatimah.

"Ayat al-Quran terakhir yang dilafazkannya sebelum meninggal dunia semasa menyampaikan Kuliah Subuh pagi tadi adalah:

Iklan

وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

"Maksudnya:"…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat ALLAH yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. [Surah Ibrahim: 48].

"Saya amat terkejut dengan pemergian sahabat, Ustaz Dr Mohd Soberi Awang pada Subuh.

"Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah,"

"Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ؛ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا عَسَلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ، ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ

Maksudnya:"Apabila ALLAH SWT menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, maka ALLAH memberinya ‘asal. Para sahabat bertanya,"Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dari-Nya?”

"Baginda bersabda,"ALLAH berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian ALLAH cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah).”

"Riwayat al-Tirmizi (2132), Ahmad (12214), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah (393) dan Abu Ya’la (3756). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih mengikut syarat al-Syaikhain," kongsinya.

Baca juga: Bapa Sharifah Zarina meninggal dunia ketika solat di masjid

Ujar Dr Zulkifli, beliau telah bersahabat dengan Ustaz Dr Mohd Soberi sejak tahun 1990-an ketika masing-masing melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Damsyik, Syria.

"Hubungan kami bertambah rapat apabila kami bersama-sama menjadi pensyarah di kolej UNITI, Pasir Panjang, Port Dickson.

"Masih jelas di ingatan usaha saya, beliau dan juga Ustaz Muhammad Nafis bin Berhan berhempas-pulas memperjuangkan penubuhan program Diploma Pengajian Islam bagi Kolej UNITI.

"Alhamdulillah, ia kekal sehingga ke hari ini," titipnya.

Persahabatan utuh diteruskan apabila kedua-duanya meneruskan kerjaya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Malah selepas beliau meletakkan jawatan untuk berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Dr Mohd Soberi telah bertemunya mewakili Majlis Ulama Isma (MUIS).

Baca juga: Kematian dicemburui husnul khatimah, wanita meninggal dunia lepas khatam al-Quran

"Sesungguhnya, kita adalah milik ALLAH dan kepada-NYA kita akan kembali.

"اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

"Maksudnya:"Ya ALLAH, ampuni dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya." kongsinya.

Mengenang persabahatan yang erat, beliau meluangkan masa untuk menziarahi keluarga sahabatnya itu

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pemergian pensyarah berkenaan yang juga penceramah bebas disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Siasatan mendapati mangsa dilihat menahan kesakitan dan terus tidak sedarkan diri ketika menyampaikan kuliah pagi di surau berkenaan.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Mohd Iqbal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Allahyarham Ustaz Dr Mohd Soberi merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS).

Baca juga: Sakit tengah dada waktu pagi jangan ambil mudah, 15 tanda serangan jantung perlu tahu

TANDA-TANDA HUSNUL KHATIMAH

Terdapat 10 keadaan yang menjadi tanda-tanda seseorang beroleh husnul khatimah seperti berikut;

1.Mati pada hari atau malam Jumaat.

2.Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

3.Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.

4.Dia diberikan taufik dan hidayah oleh ALLAH SWT dan beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.

5.Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan ALLAH SWT.

6.Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.

7.Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.

8.Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.

9.Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.

10.Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Rasulullah SAW serta dalam kalangan orang yang soleh.

DOA MENDAPATKAN HUSNUL KHATIMAH

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: Ya ALLAH, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang