TIDAK ramai antara kita mempunyai pengetahuan tentang kuih gandus.
Pencarian SinarPlus secara tidak sengaja menemukan Noor Azleen Jamalludin, 45, yang mahir mempunyai kulinari berkenaan.
Ujar Noor Azleen, ramai yang mengatakan kuih gandus tidak ubah seperti apam balik, tetapi hakikatnya tidak betul.
Terang beliau, penggunaan serbuk penaik antara hal yang membezakan antara kedua-dua sajian berkenaan.
Menurut Noor Azleeen, beliau sebenarnya mempelajari cara membuat juadah tersebut daripada seorang pak cik yang berniaga kuih tersebut di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.
"Sejak kecil, pak cik itu berniaga kuih di situ. Disebabkan ia sudah menjadi makanan kegemaran, saya nekad untuk menuntut ilmu daripadanya. Dia okey dan alhamdulillah, saya telah menggunakan resipinya untuk dijadikan mata pencarian kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di premis jualannya di Flat Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Merevolusikan nama sajian berkenaan kepada kuih Gandus Omak Sedap, bahan-bahan yang digunakan cukup mudah. Resipi itu hanya memerlukan tepung gandum, kelapa parut dan inti nanas.
"Secara asasnya, cara pembikinan nampak agak mudah. Selepas tepung gandum dicampur dengan air dan kelapa parut, kita akan menuang adunan ke dalam acuan berbentuk bulat diikuti dengan jem nanas yang diletak di bahagian tengah.
"Di sinilah kepayahannya kerana kita perlu tunggu kuih masak, lebih kurang 30 minit. Pastikan api perlahan ya. Kepada yang pelanggan yang datang ke warung saya mungkin dah faham. Mereka kena tunggu sekejap sementara menunggu kuih siap," pesannya.
Bagi memudahkan proses masak seterusnya, Noor Azleen menyarankan agar gegelung acuan yang digunakan dibersihkan terlebih dahulu sebelum mengulang semula proses memasak.
"Saya jamin, walau dimasaknya banyak kali pun, kuih dihasilkan tetap 'cantik', tidak melekat dan mudah ditanggalkan," katanya.
Rasa kuih yang lemak manis ujar Noor Azleen, menjadikan kuih gandus enak dijadikan sebagai sajian minum petang.
Nama: Noor Azleen Jamalludin dan Mohd Zain Ahmad
Umur: 45 tahun
Menetap: Tangkak, Johor
Facebook/Instagram/TikTok: Gandus Omak Sodap
RESIPI KUIH GANDUS OMAK SEDAP
Bahan-bahan
500 gram tepung gandum
1 biji kelapa parut
1.5 liter air
Garam dan gula secukup rasa
Bahan inti
2 biji nanas
1 kilogram gula
Baca juga: Viral! Donat buat peach jadi ‘kegilaan’ ramai. Tetap lembut walau dah berjam-jam, ini resipinya
Baca juga:Swiss roll mini dengan warna ceria. Lembut, sedap dan padu. Ini resipi senang nak buat
Cara penyediaan:
1. Bancuh tepung bersama kelapa parut. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
2. Kisar nanas dan masak bersama gula sehingga pekat.
3. Masukkan adunan ke dalam acuan.
4. Tunggu sehingga kuih masak atas dan bawah.
5. Angkat dan tanggalkan acuan kuih.
6. Sedia untuk dihidang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!