WANITA cantik manis yang mesra dengan panggilan Tecer Mass ini membuktikan tanpa angan-angan mimpi tidak akan menjadi kenyataan.
Meletakkan impian untuk menjadi kaya, pemilik dan pengasas The Beauty Expert Academy Spa mengakui perjalanan kariernya bukan semudah yang disangkakan.
Bermula sebagai staf sebuah salun yang hanya membantu membuang sampah, pemilik nama sebenar, Mastura Idris kemudiannya berjaya keluar daripada kepompong kerjayanya untuk melangkah lebih maju ke hadapan.
"Saya masih ingat, waktu itu majikan di spa berkenaan bertanya sama ada saya berminat untuk belajar kemahiran mencuci muka dan sebagainya. Terus saya ambil peluang tersebut.
"Bermula dari situ saya belajar semua jenis kemahiran sehinggalah beliau (majikan) percaya dan lepaskan saya sedikit demi sedikit untuk menguruskan spa berkenaan," kongsinya ketika ditemui di premis di ibu kota baru-baru ini.
Mesra dengan panggilan Tecer Mass, beliau kemudiannya memohon untuk berhenti kerja kerana ingin menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut.
"Selepas berhenti kerja, saya ambil kursus kemahiran dan pada masa sama turut bekerja dengan orang lain. Sehinggalah saya berjaya meraih Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
"Waktu itu, perasaan ingin membuka bisnes sendiri membuak-buak, saya terbayang impian sebelum ini untuk membeli rumah hasil titik peluh sendiri menyebabkan saya tekun berusaha.
"Tahun 2012 momen cukup bermakna apabila saya berjaya mencapai hasrat memiliki syarikat sendiri apabila tertubuhnya Beauty Expert Academy," ungkapnya.
Selain menjalankan sesi perundingan dan rawatan kecantikan, beliau juga seorang tenaga pengajar dalam bidang estetik.
Malah, ibu kepada seorang cahaya mata itu mempunyai kelulusan Vocational Trainning Official (VTO), Sijil Kemahiran 1, 2 dan 3.
Selain itu, beliau turut mendapat pengiktirafan sebagai Pakar Kecantikan Malaysia (JPK).
Maka, tidak hairanlah apabila wanita berwajah manis itu turut dilantik sebagai Penasihat Industri Kolej Komuniti Malaysia.
"Satu benda yang saya belajar dengan majikan lama, untuk menjadi bos katanya kena belajar gagal berkali-kali dan boleh uruskan bisnes sendirian tanpa bantuan orang lain.
"Malah, bergelar bos bukan bersandarkan kecantikan dan kekayaan semata-mata. Sebaliknya kena usaha lebih keras dan tidak mudah putus asa. Itulah yang menjadi pemangkin semangat," ulas Tecer Mass yang bersyukur berjaya mencapai semua impiannya selama ini.
TAK TERIMA SOKONGAN
Pun begitu kata beliau, pelbagai onak duri yang terpaksa ditempuhi sebelum berjaya.
Malah, ketiadaan sokongan insan tersayang hampir-hampir membuatkan beliau hampir putus asa.
Baca lagi Dapat peluang guna wajah Datuk Rosyam Noor, sales usahawan ini naik mencanak
"Saya pernah jatuh berkali-kali. Sementelah tiada sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak. Lebih mendukacitakan bila mana suami sendiri kurang yakin dengan pilihan saya buat. Beliau meminta saya fokus menjaga anak-anak sahaja. Kata suami, bagaimana mencantikkan orang itu boleh buat saya jadi kaya.
"Bila jadi macam itu, bohonglah andai kata saya tidak pernah down. Sudah pelbagai cara dan ikhtiar saya lakukan namun belum menampakkan hasil. Malah, pernah juga ditipu pelanggan membuatkan saya hampir putus asa. Namun, saya bangkit semula," dedah beliau.
Kata wanita bersemangat waja itu, selain berusaha gigih, kebergantungan kepada YANG MAHA ESA juga membuka jalan kejayaan buatnya.
Berkat kesabaran, lebih 18 tahun berkecimpung dalam insdutri kecantikan, Tecer Mass turut miliki ribuan pelajar.
Selain itu, Pusat estetik yang beroperasi di Cheras, Selangor bukan sahaja menawarkan rawatan kecantikan, bahkan setiap pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan perundingan daripada pakar estetik terlatih yang ada di situ.
[caption id="attachment_122835" width="533"] Tecer Mass turut menerima pengiktirafan Malaysian Trustworthy Aestheticians & Beauticians 2023 (MTAB) dan Successful People In Malaysia - Britishpedia 2023.[/caption]
"Sebelum ini, saya promosikan sendiri. Daripada satu katil dan tanpa ada bantuan staf, saya lakukan semua sendirian. Penat hanya Tuhan yang tahu, basah satu badan dengan peluh. Waktu itu belum ada kemudahan media sosial seperti sekarang untuk membantu promosikan salun.
"Namun, sedikit demi sedikit pelanggan mula datang dan saya terpaksa mengambil staf kerana tidak cukup tangan. Pun begitu, saya seorang yang mementingkan kualiti jadi setiap pekerja di akademi ini memiliki kemahiran yang saya ingini. Saya tak suka lambakan staf, saya juga mahu mereka belajar bekerja keras seperti saya dahulu," tegasnya.
Malah, menjadi kepantangannya jika ada staf yang tidak tampil cantik walaupun sekadar memakai lipstik.
"Paling saya utamakan adalah spa kena bersih kerana dari situ datangnya rezeki. Pelanggan datang lihat tempat bersih dan mendapat layanan baik staf membuatkan mereka akan datang lagi mendapatkan rawatan di sini. Itulah yang saya tekankan kepada staf," ujar beliau yang juga Pemudahcara dan Penceramah di Majlis Amanah Rakyat (MARA).
TIADA IDOLA, YAKIN DENGAN DIRI
Beliau dalam pada itu mengakui tidak meletakkan mana-mana individu sebagai idola memandangkan beliau yang berusaha sendiri mencapai kejayaan tersebut.
"Untuk menjadi wanita yang hebat dan berjaya, kena yakin dengan keupayaan diri sendiri. Jangan hiraukan kata-kata negatif orang sekeliling. Buat sampai jadi dan jangan mudah koyak atau ‘down’ dengan pandangan serong orang," ungkapnya penuh makna.
Penulis turut bertanyakan bagaimana penerimaan sang suami memandangkan sebelum ini beliau tidak menyokong Tecer Mass membuka bisnes tersebut.
"ALLAH MAHA ADIL, selepas kejayaan mula menghampiri, suami mula buka mata. Dahulu, beliau ingatkan saya hanya suka mekap dan tampil cantik. Namun, selepas melihat kejayaan demi kejayaan yang saya capai, beliau mula bersetuju dengan apa yang saya lakukan.
"Kini, beliau turut membantu menguruskan akademi dengan menguruskan bahagian promosi seperti penyediaan poster dan sebagainya,” dedah beliau sebelum menutup perbualan bersama penulis yang berkunjung ke akademinya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang