Dulu jururawat, kini Siti Mariam bangunkan empayar Faith Fleur. Pernah pinjam ah long sebab terdesak, ini pesannya

Iklan
Faith Fleur

EMPAYAR Faith Fleur dan Leaf dinaungi oleh seorang wanita yang cukup cekal.

Beliau yang dimaksudkan ialah Siti Mariam Abdul Samad. Kehadirannya di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini amat dinanti-nantikan.

Iklan
Iklan

Kru SinarPlus tidak sabar untuk menggali lebih jauh lagi tentang bagaimana beliau mendirikan sebuah perniagaan yang cukup gah sekarang. Sudah pasti, tiada kejayaan tanpa sekelumit pancaroba.

Siti Mariam hadir sambil ditemani beberapa stafnya. Beliau melangkah bergaya. Empunya diri juga seorang yang ramah-tamah.

Iklan

Deraian tawanya memecah keheningan studio apabila kami termasuk jurufoto Sinar Harian, Asril Aswandy bercanda santai dengan tuan punya badan.

Iklan

Seusai fotografi, kami membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), CTMary Resources Sdn Bhd itu menuju ke satu sudut untuk sesi wawancara. Setiap soalan dijawab dengan penuh ikhlas tanpa prejudis.

Ujar usahawan yang sudah berada dalam kelas tersendiri itu, beliau sebenarnya merupakan bekas jururawat yang makan gaji setiap bulan.

Masa yang ligat berputar menyaksikan dirinya bergelut dengan masalah kewangan yang sukar dirungkai.

"Pada tahun 2017 iaitu ketika saya berusia 24 tahun, lambakan hutang saya mencecah lebih RM100,000. Saya panik dan akhirnya terpaksa menebalkan muka dengan meminjam duit dengan ibu bapa dan adik-beradik, tapi sampai bila?

"Ujian yang datang bertimpa-timpa membuatkan saya pernah berfikir untuk menarik nyawa sendiri. Namun, benak saya memberitahu, kalau mati pun tak akan selesaikan masalah. Tak guna berbuat demikian, hadapinya dan cari penampannya," imbaunya.

Beranikan diri

Seperti memperoleh kekuatan yang tidak tahu datang dari arah mana, Siti Mariam memberanikan diri berniaga secara kecil-kecilan menggunakan produk rambut daripada sebuah jenama.

"Ya, saya jatuh cinta dengan set penjagaan rambut kerana serasi dengan diri saya. Bila kita suka pakai, kita seronok nak berniaga barang yang kita tahu memang mujarab.

"Pun begitu, bisnes tersebut tak lama sebab selalu saja berdepan isu stok. Bila ramai membeli, tapi stok pula terhad, ia akan menyebabkan pelanggan hilang kepercayaan. Sejak saat itu, saya terfikir mengapa tidak mengeluarkan produk dengan label sendiri?," katanya.

Kesungguhan yang sudah tertanam dalam diri akhirnya mendorong usahawan itu memulakan bisnes dengan mengeluarkan 2,000 botol produk rambut dulu.

Baca juga Membawa aura persis Wan Zaleha Radzi, pembaca berita TV3, Nadia Azmi curi tumpuan. Turut guna platform TikTok sebar ilmu

Dari semasa ke semasa, tempahan sudah melebihi 100,000 unit. Ia sekali gus menunjukkan jenama Faith Fleur yang dirintis anak tempatan diterima ramai.

Graduan Diploma Kejururawatan di Universiti Segi Kuala Lumpur tersebut berkata, beliau tidak mahu larut dengan kejayaan kecil itu.

Justeru, untuk mempersiapkan diri dalam mendepani cabaran yang mungkin ledakan arusnya lebih deras, beliau mengikuti kelas dan program bimbingan usahawan.

"Ilmu sangat penting dalam berniaga, jadi saya perlu belajar. Bukan itu sahaja, pengorbanan masa amat signifikan. Saya hanya tidur dua hingga tiga jam sahaja dan selebihnya menguruskan tempahan serta pemasaran digital dari rumah bersama suami.

"Saya bina rangkaian pengedar, stokis dan ejen. Masa mula-mula itu, hanya lima orang sahaja pengedar yang aktif. Kemudian, produk saya viral di Sarawak dan hal itu amat menggembirakan," tuturnya yang sebelum ini menyaksikan bagaimana kepayahan ibu beliau berbisnes sehingga mencetuskan inspirasi yang tidak berbelah bagi.

 

Kami bertanya dan terus bertanya kerana setiap butir perkataan yang lahir daripada mulutnya sangat bernilai.

Baca juga Marion Caunter didik anak hargai kemerdekaan negara. Hadir dengan buah tangan baharu khas untuk rambut wanita

Kepada satu soalan, Siti Mariam berkata, pandemik Covid-19 barangkali memberi banyak kemudaratan kepada ramai pihak, namun berbeza dengannya.

"Alhamdulillah, kami mendapat keuntungan luar biasa apabila Faith Fleur berjaya mencatat jualan hingga RM22 juta setahun," katanya yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memperluaskan bisnes dipayungi kini.

Antaranya, personaliti berdaya maju itu berharap dapat menembusi pasaran Asia Tenggara. Kini, beliau sedang mengintai peluang di Indonesia, seterusnya ke Thailand dan Vietnam.

Besar harapan saya agar dalam tempoh beberapa tahun lagi, Faith Fleur dapat mencapai 100 juta pengguna dan melahirkan lebih 150,000 pengedar aktif di seluruh Asia, ungkapnya.

Mungkin kedengaran seperti satu hal yang mustahil, namun Siti Mariam sanggup berkorban demi memastikan produk yang terhasil memberi kepuasan optimum kepada para pelanggan setianya.

Akui figura berkenaan, dirinya tidak kisah menjadi tikus makmal untuk uji kaji bagi sebarang produk baharu yang biasanya memakan masa enam bulan hingga dua tahun dalam mengetahui keberkesanannya.

Baca juga ‘Nama itu ingatkan asal usul & dari mana bermula.’ Tiada istilah tangkap muat, Hasif syukur tuah nama Upin buat diri dikenali

"Sebagai contoh, produk paling laris kami iaitu serum rambut tidak melekit dan berminyak. Jika konsisten pakai, insya-ALLAH rambut lebih sihat, bersinar dan cantik.

Untuk satu-satu item, kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk disesuaikan dengan hormon kita. Sebab itu, jangan cepat putus asa dan yakin dengan produk kami, kata penerima Anugerah Beauty & Wellness Product 2020 tersebut.

Tidak hanya itu, Faith Fleur juga diangkat sebagai jenama Penjagaan Rambut Cemerlang sempena Lang International Corporate Titan Award 2021 dan dinobatkan sebagai Consumer s Choice Award 2020.

Siti Mariam juga dijulang apabila menerima Nona Best Accomplishment Business Award 2020.

Cerita X70 & ah long

SinarPlus tidak mahu mengisahkan tentang perniagaan beliau semata-mata. Bersama dengan wanita berusia 31 tahun itu, kami bertanyakan tentang jasa ibu bapanya yang sudah pasti memberi sumbangan terbesar dalam menubuhkan Faith Fleur.

Tanpa berlengah, bait-bait kata-kata ini meluncur laju. Dengan penuh syahdu beliau melahirkan frasa yang panjang lebar:"Saya sangat mengutamakan ibu dalam segala hal kerana saya percaya rezeki yang melimpah-ruah datang daripada doa mereka yang tidak pernah putus-putus.

"Justeru, setiap pesan ibu menjadi pegangan hidup. Katanya, jangan tinggal solat dan sentiasalah berzikir. Bila berniaga ini, kita perlu pegang amanah dan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab.

"Ini kerana setiap apa yang kita buat nanti akan dipersoalkan di akhirat. Jadi, kita kena buat betul-betul."

Kami yang mendengar pernyataan tersebut terpaku seketika. Sesungguhnya apa yang dizahirkan itu memang benar belaka dan wajar diteladani.

Selepas hampir sedekad berhempas-pulas, Siti Mariam berkata, inilah masanya untuk beliau kembali berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sendiri termasuk mertua.

Ya, benar, anak kelahiran Pahang itu telah menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan, Proton X70 kepada mereka.

Sebenarnya, buah tangan itu adalah simbolik kepada kepayahan empunya diri yang ditebus kembali dalam bentuk lebih indah dan penuh kesyukuran.

"Saya cuba bahagia dan gembirakan mak ayah walaupun sibuk. Nak minta apa pun saya cuba usahakan.

"Kalau mereka gembira, sudah cukup bagi saya. Sebab itu, jika tiada tuntutan kerja hujung minggu, rumah mereka jadi persinggahan saya untuk melepaskan rindu, katanya.

Wawancara yang memakan masa hampir sejam itu menemukan kami tentang banyak sisi menarik Siti Mariam.

Kisah beliau umpama peribahasa hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup.

Mengakui pernah membuat pinjaman dengan sebuah syarikat ah long untuk kelangsungan syarikat, tindakan itu katanya memang tidak akan diulangi lagi.

Ia memberi banyak pengajaran kepada beliau tentang betapa berhutang itu sesuatu yang tidak patut dilakukan.

"Sebenarnya ketika itu bayaran kereta saya tertunggak dan pihak bank sudah menghubungi saya untuk menariknya. Saya buntu dan terus meminjam duit daripada abang. Namun, dia beri syarat supaya bayar segera.

"Tiba-tiba saya terbaca satu iklan pinjaman wang berlesen. Tanpa fikir panjang, saya dan suami mendapatkan 'khidmat' itu dan memanglah wangnya dilulus dengan cepat. Nak bayar bulan pertama memang lepas, tapi untuk bulan seterusnya tersangkut-sangkut," katanya.

Namun, Siti Mariam bernasib baik, ah long tersebut bukanlah seorang yang agresif. Cuma, perasaan tertekan apabila diasak untuk membayar hutang sukar untuk dihindari.

"Sehubungan itu, nasihat saya, elakkanlah. Berhutang dengan ah long satu pendekatan tidak bijak walau ia adalah jalan singkat untuk mendapatkan wang.

"Pada akhirnya, ia membawa kemudaratan pada kemudian hari. Sebelum pinjam ah long, cubalah dulu bisnes tanpa modal. Insya-ALLAH jika ada kerajinan, semua boleh berjaya," sarannya.

Kami melabuhkan tirai perbualan dengan meminta tuan punya badan memberi sepatah dua kata kepada para wanita sedang mencuba-cuba menjinakkan diri dalam arena bisnes.

Ujar beliau, setiap daripada mereka perlu kumpulkan keyakinan diri dan berusaha untuk memiliki aset peribadi.

"Jangan terlalu bergantung harap dengan pasangan. Percayalah, tangan kita mampu menggoncang dunia. Kalau wanita sudah nekad untuk berbuat sesuatu, kena buat betul-betul.

"Pesan saya yang tidak kurang pentingnya, pilihlah kawan yang mampu memberikan kita motivasi untuk berjaya. Perlu ada ilmu dan guru juga untuk membimbing kita untuk mara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang