MELANGKAH masuk ke premis Sinar Karangkraf Sdn Bhd sambil ditemani pengurusnya, langkah pemuda bernama Hasif Upin terus diatur ke bilik mekap.

Bagi yang mengenali empunya diri, pasti tahu beliau merupakan TikToker terkenal dengan nama abangupinipin. Sehingga artikel ini ditulis, beliau memiliki seramai 3.7 juta pengikut di laman TikTok.

Sambil menantikan jurusolek terkenal, Ary Muzamer, kami berbicara dulu tentang perjalanan karier tuan punya badan.

Seperti katanya, nama Upin seolah-olah membawa tuah. Dek kerana itu, sebaik menjejakkan kaki ke dalam industri seni suara, beliau tetap memilih nama tersebut.

Baca ni ‘Awak tak akan suka apabila jadi terkenal’. Itu kata arwah Azmil Mustapha kepada Alya Iman


“Sebenarnya ada kisah di sebaliknya. Sebelum bergelar artis, saya seorang tukang masak. Ketika wabak Covid-19 melanda, kedai makan yang saya usahakan terpaksa ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

“Waktu itu kita baru sambut bulan Ramadan. Suatu pagi selepas sahur, saya menonton animasi Upin Ipin. Terdetik dalam hati nak buat parodi menggunakan watak dua beradik itu dengan opahnya. Memang tak sangka boleh viral dengan jumlah tontonan 30 juta dalam tempoh sehari,“ imbaunya.

Seiring berjalannya waktu, rezeki terus memihak kepada Hasif. Setiap video yang dimuat naik mendapat sambutan. Bukan sahaja di TikTok, jumlah pengikut di Instagram juga mencanak naik.

“Semangat saya terus membara-bara. Siapa sangka, daripada tukang masak, saya beralih menjadi TikToker yang telah membuka jalan kepada saya menjadi anak seni. Walau sudah bergelar pelakon dan penyanyi, saya masih tak tinggalkan kerjaya sebagai TikToker,“ ujarnya yang terkenal dalam menghasilkan konten video Challenge 10 Saat.

Baca lagi Bertugas di stesen radio popular HotFM, ‘jodoh’ Fizi Ali, Aisha Mazlin akui dirinya tetap sama, tiada yang berubah

Melihat gaya dan lagak yang begitu stailo dan urban, penulis sempat mengusiknya tentang pemilihan nama yang dipilih itu agak ‘kekampungan‘ dan kurang ‘serasi‘ dengan identiti yang dibawa. Pantas empunya diri menjawab:

“Saya memang orang kampung kak, saya anak felda. Orang tengok penampilan saya begitu, tetapi itu semua adalah atas urusan kerja. Kalau di luar, saya seorang yang simple saja. Saya letak Upin agar saya dapat ingat asal usul dan dari mana saya bermula, selain nama itu sendiri nampak klasik.“

Rezeki awal
Lelaki berbudi pekerti itu menyambung naratif cerita. Akui Hasif, sejak dulu, beliau berimpian bergelar pelakon. Itu yang disisipkan dalam diari hidupnya.
Berawal, beliau mencuba nasib dengan menyertai uji bakat The Audition anjuran Armani Entertainment Group.

“Waktu itu sutradara, Micheal Ang minta saya menyanyi. Beliau kata saya lebih sesuai menyanyi. Akhirnya keluarlah single sulung saya berjudul Janji Sampai Mati ciptaan Aizat dan Anas Amdan.

“Lebih membanggakan apabila karya tersebut dijadikan lagu tema OST drama, I Promise, Janji Anaqi. Orang tak kenal saya sebagai penyanyi, tetapi lagu sudah diketengahkan,“ katanya.

Baca lagi ‘Saya bukan playboy, cuma tak cukup matang untuk jadi suami kepada dua isteri’. Iman Zulkarnain mahu lebih berhati-hati

Walaupun rezeki sebagai penyanyi muncul lebih awal, namun anak muda berumur 31 tahun itu bersyukur kerana cita-cita bergelar pelakon tetap tercapai.
Bukan sembarangan, produksi dari republik Indonesia mempelawanya membintangi naskhah Paku Tanah.
“Memang saya teruja. Pun begitu, selepas diberi peluang berlakon, saya pula rasa kekok. Jadi, saya fikir lebih baik saya fokus kepada nyanyian sahaja,“ seloroh Hasif sambil disambut deraian tawa kami.
Apa pun, lelaki berdarah kacukan Indonesia itu tetap tidak menolak andai diberi tawaran untuk beraksi di layar perak lagi. Kalau boleh, beliau mahu menggalas peranan sebagai orang gila atau hantu memandangkan dirinya suka bermain dengan emosi.

Penantian 9 bulan
Rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Perumpaan berkenaan amat bertepatan menggambarkan apa yang dialami oleh Hasif sekarang.
Kendatipun lagu duetnya bersama penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain bertajuk Waktu sudah berkumandang sana sini, peminat masih mengata itu ini.
Sebagai insan biasa, bohonglah andai beliau tidak terusik dengan kata nista manusia.

Baca lagi ‘Asalkan itu yang terbaik buat dirinya’. Komen Syada Amzah dengan pilihan kakak. Bakal ikut jejak Shila tak lama lagi

“Saya sejenis yang suka baca komen. Tipulah kalau kata saya tak koyak dengan apa yang mereka tulis. Namun, saya terfikir, kenapa saya perlu mengambil peduli?
“Lagipun, tak ramai penyanyi baharu dapat peluang begini. Alhamdulillah, Ziana dan pihak pengurusan banyak membantu dan memberi sokongan untuk menaikkan kembali semangat saya,“ ujarnya.
Kepada SinarPlus, Hasif mendedahkan, dirinya pernah berduet bersama penyanyi dari Indonesia.
“Kalau diikutkan, lagu itu lebih awal disiapkan, cuma pada waktu itu kami mahu fokus duet bersama Ziana terlebih dahulu. Peluang itu ternyata telah melonjakkan nama saya di persada seni suara,“ katanya.
Ketika ditanya apa perasaan beliau apabila dikhabarkan akan disatukan dengan penyanyi ternama, pemilik nama sebenar Muhammad Hasif Sharuddin berkata, ia ibarat jackpot buat dirinya.
“Saya fikirkan mereka hanya bergurau. Sejak kecil lagi, saya cukup suka dengan lakonan dan nyanyian beliau. Bila dapat bekerjasama, memang sesuatu yang wow,“ ujar dalam nada teruja.
Pun begitu, Hasif akui, beliau terpaksa menunggu selama sembilan bulan sebelum sang bintang, Ziana bersetuju untuk bergandingan dengannya.
“Memang agak lama, namun bagi saya itu satu penantian yang berbaloi. Ya, daripada seorang tukang masak, TikToker, pelakon akhirnya saya bergelar penyanyi. Itu sebab apa juga lemparan cercaan saya buang jauh-jauh. Saya tak mahu putus harapan, saya kena yakin dengan kemampuan diri,“ ujarnya membulatkan tekad.

Baca lagi Faezah Elai sanggup perlahankan kerjaya demi anak-anak. Tiada istilah diskriminasi dengan anak tiri!

Bukan tangkap muat
Momentum perbualan kami semakin mesra. Justeru, penulis menyakatnya dengan kenyataan tentang kelambatan beliau menerjah bidang seni pada saat usia sudah penghujung 20-an.

Hasif menegaskan, tiada istilah terlewat jika mahu menuju kejayaan. Persaingan dengan artis muda remaja bukan perintang utama untuk berada di mercu.

“Cuma saya kena berusaha lebih gigih. Langkah yang saya perlu susun adalah memantapkan lagi vokal, selain memperbaiki kelemahan emosi dan fokus dalam setiap apa yang bakal dilakukan.

“Mungkin ramai yang tak tahu, saya takut menyanyi dalam khalayak ramai. Jadi, saya kena ‘sekolahkan‘ diri terlebih dahulu untuk membuang hal-hal negatif sebegitu,“ ujarnya.
Jangan sesekali memandang Hasif sebelah mata. Apabila empunya diri menyenaraikan pencapaian dirinya, kami sedikit terkesima.

Personaliti bertubuh kekar itu menjadi pilihan untuk menjadi duta jenama. Selain menjadi jurucakap sebagai produk minuman tenaga, M-150, beliau juga terpilih menggalas tanggungjawab sebagai wajah Happy Grains.

Iklan

“Saya panjatkan kesyukuran ke atas ILAHI. Soal ketidakpuasan hati atau pandangan serong segelintir pihak, memang susah kita nak kikis. Jadi, saya abaikan sahaja,“ ungkapnya yang mahu jalan terus.

Namun, tutur Hasif, beliau bukan seorang yang tangkap muat dengan ‘membaham‘ apa sahaja tawaran yang dihidangkan.

“Saya tetap berhati-hati, bukan semborono. Seperkara, andai diminta membuka baju atau menunjukkan tubuh badan, saya akan menolak secara baik. Itukan aurat dan memang kita tak dianjurkan berbuat demikian,“ tegasnya.

Melihat prinsip dan gagasan yang tertancap utuh, penulis bertanyakan padanya apa pelan masa depan beliau?

“Memang banyak perancangan yang ingin saya lakukan, namun kita hanya mampu merancang Tuhan yang menentukan. Insya-ALLAH, andai ada rezeki, saya mahu bergelar pengarah, pencipta lagu atau mungkin buka kedai makan. Saya memang suka masak, tetapi tidak suka orang tengok. Saya jadi malu. Saya juga pernah buat dan jual kek untuk orang kahwin,“ gurau Hasif yang handal memasak bakso, ayam masak merah, nasi dagang dan banyak lagi.

Selidik dulu
Dalam kerancakan bersembang, penulis bangkitkan tentang topik yang semakin menjadi pendebatan iaitu tentang salah pilih pasangan.

Depan mata, nampak seperti lelaki sejati, namun rupa-rupanya itu hanyalah wayang semata-mata. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah wanita.

Tergelak mendengar kenyataan itu, Hasif memberi pandangan yang rasional.
Katanya: “Tentang orang sekarang yang bergaya mengikut trend sebenarnya tak salah.

Iklan

Namun, bab wanita bimbang tersalah pilih pasangan yang disangkakan maskulin, nasihat saya, selidik luar dan dalamnya terlebih dulu. Jangan cepat tertarik dengan melihat luaran seseorang sahaja.“

Sebelum kami mengucapkan salam perpisahan pada petang yang permai itu, kami minta Hasif kongsikan pendekatan dirinya menjaga kesihatan diri.

Masakan tidak, melihatkan kepada pembawakan diri, kecergasan dan aksinya yang bertenaga, beliau pastinya seorang kaki gimnasium.

Baca lagi ‘Mesti ada sebab ALLAH susun sebegini’. Datin Lisa Surihani lerai pertanyaan tentang kehilangannya dalam dunia lakonan


Pun demikian, akui anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, beliau jarang sekali dapat turun ke gim lantaran melangsaikan banyak tuntutan kerja.

“Kalau saya tiada apa-apa, saya lebih suka bermain game atau membelai kucing. Saya keseorangan di Kuala Lumpur, jadi saya bela si bulus untuk menemani saya. Dalam bab menjaga kesihatan, saya amalkan pengambilan biji chia.

“Dulu, saya jarang jaga muka dan tak kisah muka berjerawat. Sementelah, waktu itu saya jadi tukang masak, kan? Saya juga makan apa sahaja. Selepas jadi penyanyi, saya mula menitikberatkan soal penampilan,“ katanya yang memperuntukkan kira-kira RM600 sebulan untuk penjagaan diri.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang