'Bagus, buat inspirasi semua.' Masih kutip sampah saat menuju pentas ambil hadiah, pakcik cleaner ini raih pujian
ORANG berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Peribahasa berkenaan sesuai kepada mereka yang banyak menabur jasa kepada manusia lain.
Sebagai individu yang berhati luhur, sewajarnya kita membalas budi mereka yang berbakti dengan kita.
Tidak semestinya dengan wang, keringat yang dicurahkan atau ucapan terima kasih pun sudah memadai.
Baru-baru ini, video para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2, Shah Alam, Selangor tular selepas mereka mengadakan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Video pendek berdurasi 25 saat itu mendapat lebih 426,000 jumlah tontonan dan lebih 30,000 tanda suka.
Di sebalik kemeriahan itu, satu adegan yang mencuri tumpuan ramai ialah kehadiran seorang pakcik cleaner dipanggil ke pentas untuk menerima hadiah.
Sambil tersenyum gembira menuju ke hadapan dewan, lelaki tersebut sempat lagi mengutip sampah di depan tangga sebelum naik ke pentas.
Lihat, bagaimana jati diri dan kesungguhannya melaksanakan tanggungjawab dalam apa jua situasi.
Jeritan uncle...uncle...uncle bergema satu dewan membuatkan sesiapa yang menonton video pendek tersebut terharu.
Tindak-tanduk beliau mendapat pujian ramai selepas video yang dikongsikan pengguna TikTok, @brader_bear viral di media sosial.
Pengguna berkenaan berkongsi serba sedikit tentang kisah pakcik cleaner yang dikenali sebagai seorang ringan tulang.
Katanya, sikap yang suka membantu tak kira pelajar, guru mahupun staf sekolah membuatkan tukang sapu itu disukai ramai.
"Pakcik ini memang tak pernah cakap tidak kalau kita minta tolong," kongsinya.
Rata-rata pengguna TikTok mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah. Pendekatan itu disifatkan secara tak langsung mengajar murid menghargai semua orang tanpa peringkat umur, bangsa dan pangkat.
Seorang bekas pelajar sekolah itu, @weirdlyjay mengakui pakcik cleaner tersebut memang ringan tulang.
"Saya selalu nampak dia buat kerja tak kira di koridor, padang sekolah atau mana-mana jer pasti dia ada," tulisnya.
INSPIRASI BUAT SEMUA
Berikut komentar yang kami kongsikan buat tatapan pembaca:
"Well done cikgu! Inilah yang patut kita ajar kepada anak-anak kita." - OmuraPD
"Mahu naik pentas pun sambil kutip sampah masuk dalam poket. Tahniah pihak sekolah, kongsi rezeki tanpa mengenal pangkat." -Zain Kazar
Baca juga "Don’t judge a book by its cover,” tular mak cik ‘cleaner’ fasih berbahasa Jepun buat ramai tabik
"Itu mesti didikan bekas tentera laut. Nampak sampah masuk poket dulu." - Shah Mie315
"Dulu dia pernah jadi cleaner dekat SIRIM SST. Memang kami semua sayang uncle ni sebab baik, rajin dan jujur. Masa dia kena berhenti, semua sedih." - Watie Aziz
"Dengar anak-anak jerit uncle pun sudah tahu semua suka dan sayang dia. Cutelah uncle, suka tengok senyuman dia." - @SM6975
"Orang macam ni memang paling layak dapat penghargaan. Bagus sangat inspirasi buat semua!." -@Knownfat_Journal
Moga lebih ramai insan seperti beliau dihargai dan dihormati.
Kami nak ucapkan syabas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Anda secara tidak langsung mendidik anak muda untuk lebih berhati mulia dan melayan semua orang tanpa prejudis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang