SISA bahan dapur banyak manfaatnya untuk membantu pokok bunga dan sayuran hidup subur menghijau.
Selain tidak mengandungi bahan kimia, cara sebegitu juga dapat menjimatkan kos.
Anda tidak perlu buang duit untuk membeli baja di kedai. Gunakan apa yang ada di dapur dan lihat hasilnya nanti.
Tip mudah dan menjimatkan itu dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Mona Din.
Baca ni Tip suburkan pokok terung berbuah tanpa henti hampir 4 bulan, guna baja campuran dua bahan
Jom lihat bagaimana beliau menghasilkan tiga baja dengan menggunakan sisa dapur seperti kulit telur, air basuhan beras dan juga sayuran terpakai.
"Ramai yang cakap pokok-pokok saya besar menghijau dan membiak dengan subur. Saya rasa rahsianya ialah baja yang dibuat sendiri kot.
"Teringin nak kongsikan cara saya sediakan baja-baja homemade atau handmade ini," ujar Mona Din menerusi kapsyennya.
Berikut disenaraikan beberapa tip dan cara yang beliau praktikkan:
Baja pertama: Air basuhan beras dan lebihan nasi.
Setiap kali basuh beras untuk tanak nasi, beliau akan simpan air basuhan beras dalam container plastik yang ditutup dan biarkan di dapur.
Selepas makan tengah hari atau makan malam jika ada lebihan nasi, beliau akan masukkan ke dalam bekas air basuhan tadi, lalu ditutup dan dibiarkan berendam di situ. Proses tersebut akan diulangi pada keesokan harinya.
Baca lagi Campuran kulit telur dan serbuk kopi terpakai, pokok subur tanpa guna baja kimia
Setelah itu, beliau akan tapis butir-butir nasi tersebut lalu dikisar hingga lumat.
Nasi tersebut kemudiannya dimasukkan kembali ke dalam bekas air basuhan beras, lalu kacau sebelum ditutup dan disimpan lagi.
"Setiap hari saya ambil sebahagian air untuk disiram, bakinya saya biar tersimpan di dalam bekas tersebut.
"Malah, saya juga akan mengulangi kaedah yang sama setiap hari dengan memasukkan air basuhan dan beras yang dikisar baharu," ujar beliau.
BAU SEPERTI BEDAK SEJUK
Tambah Mona Din lagi, air basuhan tersebut juga akan mengeluarkan sedikit bau.
"Ini bermakna, baja air basuhan beras saya sentiasa ada. Semakin hari semakin masam dan berbau.
"Secara peribadi, saya sukakan bau masam itu. Ia mengingatkan saya kepada beras rendaman arwah emak untuk buat bedak sejuk.
"Setiap hari, saya akan mengambil dan memasukkan air beras tersebut ke dalam bekas plastik penyiram pokok dan semburkan daripada hujung daun sehingga ke pangkal batang pokok," jelasnya yang menggunakan tiga bekas semburan setiap hari.
Awalnya, Mona Din akan menyiram pokok-pokok sayur dan herba, diikuti dengan pokok bunga ros.
"Setelah itu, saya akan semburkan pula bunga orkid dan pokok-pokok yang digantung sekali sehari sama ada pada waktu pagi atau petang.
Baca lagi Lebihan roti jangan buang, boleh buat baja bunga
Berikut bahan untuk baja kedua dan ketiga pula.
Baja kedua: Gabungan telur dan kulit bawang
Letak satu plastik kecil di tepi singki dapur basah. Setiap kali kupas bawang, kulitnya akan dimasukkan ke dalam bekas tersebut.
Begitu juga, setiap kali masak telur, kulit telur akan diletakkan ke dalam plastik tersebut.
Selain itu, jika ada bahagian sayur-sayuran yang tidak digunakan seperti batang, empulur dan sebagainya akan dikumpul dan dimasukkan ke dalam bekas yang sama.
Setelah itu, kulit telur dan kulit bawang ditumbuk daripada luar plastik hingga hancur. Kemudian, ambil dan letakkan pada pangkal batang pokok.
Baja ketiga:
Sayur-sayuran yang disimpan dalam plastik tersebut dikisar hingga lumat. Cairkan dengan campuran air lalu masukkan ke dalam bekas plastik. Simpan ia sebagai baja.
Baca lagi DIY baja campuran tiga jenis bahan, pokok hiasan lebat berbunga, siram setiap hari
Jelas Mona Din, itulah ketiga-tiga cara beliau menghasilkan baja. Setiap satu baja tersebut digunakan secara berselang hari.
Sekadar berkongsi pengalaman sendiri.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Facebook Mona Din
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang