PENYANYI terkenal negara, Datuk Sheila Majid berkongsi berita suaminya, Datuk Acis yang selamat menjalani prosedur angiogram dan angioplasty di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ujar selebriti tersohor itu, suaminya dimasukkan ke pusat perubatan tersebut selepas mengalami kesukaran untuk bernafas.
Terdahulu, pengarah muzik itu dilaporkan mengadu tidak sihat.
Susulan itu, beliau disarankan menjalani prosedur memasang perentak atau stent pada arteri utama.
Dua biji belon pula diletakkan pada dua bahagian arteri lain susulan terdapat bahagian jantungnya yang tersumbat.
Pasti ramai yang tertanya bagaimanakah prosedur angiogram dilakukan?
Menerusi perkongsian info Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Dr Malar Santhi Santherasegapan, angiogram merupakan kaedah untuk melihat salur darah pada dinding jantung.
Ujar Dr Malar, biasanya prosedur tersebut dilakukan serta-merta kepada mereka yang terkena serangan jantung kritikal.
Baca juga: Hikmah di sebalik pandemik Covid-19, Sheila Majid jaga arwah ibu hingga nafas terakhir
"Pesakit dan waris hanya diberikan masa tiga hingga lima minit masa untuk berfikir kerana lebih banyak masa diambil, lebih banyak sel jantung mati,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik menerusi laman Facebook.
Ujar beliau, selain serangan jantung tahap kritikal, doktor menggunakan kaedah sama untuk jenis serangan jantung.
Pun begitu, ia boleh dilakukan pada tetapan masa yang ditetapkan kemudian.
Berikut adalah jenis serangan jantung yang memerlukan diagnosis menggunakan prosedur angiogram:
1.Terdapat sumbatan dalam salur jantung tetapi tiada sel jantung yang mati.
2. Sumbatan salur jantung tanpa pengaliran darah.
3. Sumbatan salur jantung dengan pengurangan pengaliran darah.
PROSEDUR DALAM SEDAR
Mengulas lanjut, Dr Malar berkata, prosedur tersebut dilakukan ketika pesakit dalam keadaan sedar dan boleh bersembang-sembang dengan doktor.
"Satu jarum kecil akan dimasukkan pada pergelangan tangan sebelah tangan kerana saluran darah bahagian tersebut bersambung sehingga ke jantung.
"Satu wayar kecil pula akan dimasukkan secara perlahan-lahan sehingga ia sampai ke saluran darah di jantung,” katanya.
Kemudian, satu ubat khas pula (turut dimasukkan) untuk melihat struktur saluran darah dan mengesan sumbatan melalui imej X-ray.
Baca juga: Sesak nafas naik tangga 2 tingkat mungkin alami masalah jantung, ini yang anda wajib tahu
Tambah beliau, imej dirakam daripada beberapa posisi untuk melihat keseluruhan dinding jantung.
"Apabila sumbatan dikenal pasti, belon akan dimasukkan untuk mengembangkan salur darah.
"Sekiranya ada darah beku, ia akan disedut dan satu stent akan dimasukkan pada bahagian yang tersumbat supaya darah dapat mengalir dengan baik tanpa apa-apa sekatan,” jelas beliau lagi.
Setelah selesai, semua instrumen yang digunakan akan dikeluarkan.
Kata Dr Malar, sepanjang prosedur itu, doktor akan memberi penerangan kepada pesakit tentang keadaan yang dialaminya dan prosedur yang dijalankan.
Seperti yang kita semua tahu, jantung adalah organ terpenting untuk setiap manusia, jadi SinarPlus ingatkan jangan ambil remeh tentang penyakit tersebut.
Sekiranya anda mengalami simptom atau tanda sakit jantung, segera ambil langkah sewajarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!