PENYANYI legenda Datuk Sheila Majid mengakui pandemik Covid-19 memberi impak yang besar kepada semua orang, tidak terkecuali dirinya yang terpaksa berehat panjang disebabkan banyak aktiviti seni terhenti dalam tempoh tersebut.

Namun di sebalik itu, Sheila, 57, menganggap ia memberi hikmah tersendiri buatnya yang berkesempatan meluangkan masa dan menjaga arwah ibunya, Saadiah Adam, pada lima bulan terakhir sebelum meninggal dunia.

Apatah lagi pada tahun 2019 dan beberapa bulan sebelum pandemik bermula, dia terlalu sibuk dengan aktiviti seni di merata tempat dan tidak mempunyai lebih masa untuk menemani arwah ibunya yang berusia 96 tahun dan semakin uzur ketika itu.

“Sepanjang 2019 itu saya sangat sibuk dan sentiasa terbang ke sana sini. Ketika itu saya selalu berdoa jika apa-apa terjadi kepadanya ibu, saya berharap waktu itu saya berada di rumah bersamanya.

“Alhamdulillah ALLAH makbulkan doa saya dengan terjadinya pandemik. Malah pada Mac 2020 kita semua tidak boleh ke mana-mana dan saya menggunakan masa itu dengan sebaik mungkin menjaga ibu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada Ogos tahun sama,” ujarnya.

Tambah penyanyi Ku Mohon itu lagi, tempoh lima bulan tersebut amat bermakna buat dirinya kerana sepanjang masa dapat berada di sisi arwah yang tinggal bersamanya.

“Saya bersyukur dapat bersamanya pada lima bulan terakhir itu. Dapat mandikan dia, jaga makan minum dan jaga keperluannya sedangkan sebelum ini saya tiada masa untuk buat semua itu kerana sibuk.

“Saya puas hati kerana dapat jaga dan buat segala-galanya yang saya boleh untuk dia ketika itu. Ibu memang ada jururawat yang menjaga, tetapi sebagai anak kalau boleh kita mahu lakukan sendiri untuknya,” kata Shiela lagi.

Konsert Istimewa

Dalam pada itu, Sheila yang ditemui pada sidang akhabar Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Rabu, mengakui teruja bakal kembali di pentas menghiburkan peminat setianya.

Persembahan satu malam yang dijadualkan pada pada 18 mac 2023 itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Saya cukup berbesar hati untuk mengadakan konsert ini apatah lagi ia adalah permintaan peminat.

“Saya akan hiburkan peminat dengan lagu-lagu kegemaran mereka, tetapi istimewanya konsert ini akan menampilkan pelbagai elemen menarik terutamanya melibatkan susunan muzik.

“Persembahan saya itu nanti akan diiringi Big Band yang diketuai oleh Mac Chew yang pastinya akan memberi energi berbeza,” katanya.

Tiket Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur 2023 dijual dengan harga RM288, RM488, RM588, RM688, RM888 dan RM1,288 (VVIP). Pembelian boleh dibuat menerusi www.Jiobuddy.asia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.