Isteri mengidam, suami buat mufin coklat, kini raih pendapatan lumayan
SIAPA sangka pada mulanya hanya mufin coklat dibuat suami hanya untuk isteri yang mengidam kini menjadi sumber pendapatan lumayan.
Itu yang dilalui sepasang suami isteri di Terengganu yang kini mengasaskan sebuah bisnes dinamakan SWB Group Legacy.
Bermula sejak 2020 dengan hanya beroperasi dari rumah serta berkat kegigihan pasangan suami isteri, Mohd Saro Mamat dan Wajihah Rashid, kini berjaya berpindah ke premis bermula tahun lalu.
Ujar Wajihah, idea bisnes tercetus ketika mengandungkan anak pertamanya.
"Saya mengidam mufin coklat waktu tu dan selalu pergi cari di kedai tapi tiada stok.
"Melihat keadaan saya yang selalu mengidam mufin coklat, pada waktu tu suami saya mula mencuba resipi daripada internet tetapi mengubah sukatan gula kepada kurang manis kerana bimbang kesan gula berlebihan untuk ibu mengandung.
"Saya mula upload gambar mufin di media sosial ketika itu untuk kenangan, namun rezeki, beberapa orang berminat untuk cuba mufin coklat kami.
"Setelah saya melahirkan anak, saya mula serius dengan bisnes mufin ini dan kami mempunyai 16 perisa sehingga ke hari ni," ujarnya.
Tambahnya lagi, pada ketika itu pasaran tempatan banyak tertumpu kepada kek bersaiz besar.
"Melihat pasaran ketika itu berfokuskan kepada kek yang bersaiz besar dan memerlukan peti sejuk untuk penyimpanan, kami cuba membantu permudahkan pelanggan tanpa perlu simpan dalam peti dengan konsep mufin one size fits all.
"Saya bekerjasama dengan suami saya yang ketika itu bekerja sebagai pensyarah kursus pengurusan hotel dan hospitaliti di sebuah IPTS, dan kami bergabung idea dan kekuatan masing masing untuk bangunkan bisnes ini.
"Dan saya percaya coklat adalah perisa yang satu dunia tahu dan suka kepada coklat khususnya kepada wanita dan kanak kanak," ujarnya.
Ujar wanita berusia 32 tahun itu, walaupun berdepan masalah kos bahan mentah yang tidak stabil, dia mendapat banyak tempahan kek.
"Sambutan tempahan sangat tinggi tambah lagi jika musim perayaan, cuti sekolah dan majlis perkahwinan.
"Saya juga selalu memastikan produk saya akan selalu mengikut trend semasa seperti kaedah pemasaran menggunakan platform media sosial seperti Tiktok.
"Saya juga sentiasa peka dengan keperluan pelanggan sasaran dan yang paling penting bagaimana produk saya dapat bantu selesaikan masalah pelanggan.
"Selain mufin, terdapat juga creampuff, kek cawan kanak-kanak, puding santan laici dan kek pisang. Semuanya merupakan menu SW Bakery yang menjadi pilihan untuk majlis perkahwinan serta hari jadi," katanya.
Bicara ibu kepada seorang cahaya mata itu, bukan mudah untuk capai apa yang ada sekarang, pahit maung dilalui menjadi pengajaran kehidupannya.
"Kenangan pahit yang tak dapat dilupakan sepanjang berbisnes ini adalah apabila anak saya dimasukkan ke hospital kerana menghidu kebocoran gas oven industri ketika saya baru berpindah masuk ke premis.
"Cabaran yang paling tidak dapat dilupakan pula adalah menyiapkan tempahan 2000 biji mufin dalam masa tiga hari dengan kapasiti dua orang tenaga kerja, masya-ALLAH hanya tuhan sahaja yang tahu," ujarnya.
Sentuh mengenai perancangan masa depan, ujarnya yang mesra dipanggil Jihah itu, dia ingin kembangkan pasaran mufin tersebut melalui Muffin Bebas Gluten.
"Ramai pengguna sekarang sedar dan tahu kesan bahaya gluten kepada kesihatan.
Saya ingin membantu komuniti saya melalui Social Entrepreneurship (Keusahawanan Sosial) iaitu menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan Ibu Tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Jika diberikan peluang dan rezeki, saya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Doctor of Philosophy (PhD) dalam bidang perniagaan. Sebelum ini saya tamat pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Arshad Ayub Graduate Business Scool, UiTM Shah Alam pada tahun 2020 lalu," katanya.
Dalam pada itu Jihah memberikan beberapa pesanan buat wanita di luar sana yang turut terlibat dalam bisnes.
"Pesanan saya adalah tahu niat sebenar kenapa memilih bidang perniagaan. Minta restu ibu bapa dan suami jika dah berkahwin. Jangan berhenti mencari ilmu dan guru dalam perniagaan kita.
"Hormatilah rakan perniagaan dan pelanggan kita di mana sahaja kita berada. Paling penting, sabar, konsisten dan cari support system yang betul supaya kita tidak cepat putus asa.
"Saya sangat bersyukur mempunyai pendorong kuat iaitu ibu bapa, suami dan adik beradik saya. Tanpa mereka, saya tidak tahu adakah saya mampu untuk berada di tahap ini," luahnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!