KECINTAAN terhadap bidang fesyen bercambah dalam diri Nur Liyana Abdul Rahman sejak kecil lagi.

Manakan tidak, saban masa pengasas butik Leeyanarahman (LR) itu sentiasa menemani ibunya menjahit pakaian.

Bertitik tolak dari situ, beliau sudah boleh menghafal dan mengingat semua jenis kain, tahu selok-belok dan cara memotong kain.

“Mak memang suka jahit baju kami adik beradik. Nak dijadikan cerita, tahun 2012 saya cuba jahit baju raya sendiri dan muat naik di Facebook. Rekaan saya itu rare and unik kerana saya gunakan warna blok (kain biru, baju merah jambu). Kemudian, saya tambahkan dengan aksesori seperti tali pinggang dan brooch pada bahagia pinggang.

“Ramai yang berkenan dan bermula dari situ timbul rasa suka dan ambil pesanan kawan-kawan. Untuk permulaan, saya berjaya siapkan 14 pasang baju bermodalkan duit pinjaman belajar sebanyak RM1,500.

“Lama-kelamaan pesanan semakin meningkat sehingga mencecah ribuan pasang baju,” ujar empunya diri yang mesra disapa Yana yang ketika itu mengikuti pengajian di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

Berkat usaha dan kegigihan yang tak berbelah bagi, bisnes beliau semakin laris.

Baca ni ‘Cantiknya Alisa. Sekejap jer dah besar.’ Hanis Zalikha kongsi video anak sambut hari lahir di spa kanak-kanak bikin warga maya teruja

Kini, ibu kepada dua cahaya mata itu memiliki 33 orang staf.

Malah, usahawan hebat tersebut turut membuka peluang untuk ejen dan dropship yang kini sudah mencecah 10,000 orang, selain mempunyai seorang rakan kongsi di Kelantan.

“Alhamdulillah, rezeki tak salah alamat. Saya kini mensasarkan untuk membuka satu lagi cawangan di Malaysia tahun depan. Pada masa sama, saya turut mengintai peluang untuk membuka cawangan dan peluang di Thailand dan Indonesia,” jelas isteri kesayangan Muhamad Hafiz Abdul Hamid itu lagi.

ANAK, KELUARGA SUMBER KEKUATAN

Tuan punya badan bagaimanapun mengakui, untuk mencapai tahap selesa seperti sekarang tidak semudah yang dilihat dengan mata kasar. Pelbagai ujian dan dugaan yang perlu beliau harungi.

“Jatuh bangun pasti ada dalam setiap bisnes. Macam saya, waktu getir adalah semasa Covid-19. Waktu itu permintaan tinggi, cuma apabila diminta untuk bekerja dari rumah dan sebagainya, ia sangat menjejaskan kerja belakang tabir.

“Malah, pengalaman pahit yang pernah saya lalui adalah setiap kali tibanya musim perayaan. Setiap tahun, pasti akan ada masalah walaupun sudah ada penambahbaikan dari segi sistem.

“Pesanan tidak dapat dikawal dengan sempurna apabila permintaan sangat banyak,” ujarnya sambil memberitahu jenama tudung tersebut berdaftar di bawah syarikat Leeyanarahman Empire Sdn Bhd dan beribu pejabat di Hub Perindustrian Suntrack, Selangor.

Baca ni ‘Orang nampak cantik je.’ Dedah anak meragam & sepah rumah waktu live tutorial mekap, MUA Bellaz dipuji suri rumah vouge!

Meletakkan diri sendiri sebagai idola, kata Liyana lagi, anak-anak dan keluarga adalah sumber kekuatan untuk beliau terus kekal dalam bisnes.

“Bisnes adalah minat saya. Bila kita idolakan diri sendiri, kita makin bersemangat apabila membuat sesuatu perkara,” ungkapnya lagi.

Mengintai kejayaan beliau, daripada sebuah butik kini Yana melebarkan sayap bisnes dengan memberi peluang kepada orang lain menjana pendapatan.

Iklan

“Sebelum ini LR hanya mengeluarkan tudung, tetapi hanya fokus jual di butik sahaja. Pun demikian, bermula Oktober 2022, kami mula membuka peluang untuk wanita Malaysia mencantikkan diri sambil menjana pendapatan.

“Alhamdulillah macam tak percaya, penangan setiap keluaran memang luar biasa. Belum setahun tapi tudung sudah terjual lebih satu juta,” ujar beliau lagi.

Baca lagi  ‘Saya harap hubungan baik ini berterusan sehingga ke akhir hayat’. Memey mahu silaturahim dengan Abby terus mekar

 

HIDAYAH MILIK ALLAH

Terbaharu percaturan Yana menggunakan wajah bintang jelita Fasha Sandha menerusi kempen terbaharu mereka yang mengambil nama kempen cetusan inspirasi drama telenovela Rosalinda sekitar tahun 1999 lakonan artis Mexico, Thalia mengena.

Ini terbukti apabila lebih 220,000 helai cetakan tudung edisi terhad itu habis licin terjual sejak dilancarkan 17 Mei lalu.

Iklan

Sekadar makluman, jenama tudung itu sebelum ini menggunakan selebriti Ummi Nazeera, Hannah Delisha, Mariam Durian Kimchi, Sophia Albarakbah dan Farah Nabilah sebagai wajah kempen.

“Setiap keluaran pasti ada keunikan tersendiri dari segi tema dan corak. Ramai pengguna yang kami kenal, bila mereka mula terjebak dengan tudung LR, mereka takkan boleh terlepas untuk beli desain seterusnya,” ungkap beliau.

Baca lagi Doa isteri jadi pelengkap, sentiasa peka aduan pelanggan, rahsia Mursyid Alharamain mampu bertahan 10 tahun tanpa guna selebriti

Ditanya bagaimana tercetusnya idea untuk memilih selebriti tidak berhijab sebagai wajah kempen, ini jawapan tuan punya badan:

“Tak perlu nak bezakan yang berhijab atau pun tidak. Hidayah milih ALLAH, tapi kita sebagai manusia kena sentiasa berdoa mudah-mudahan selebriti yang terima tawaran sebagai wajah utama ini akan terbuka hati untuk kekal berhijab pada masa akan datang.

“Keluaran ketiga bulan Mac lalu, kami memilih Maryam Durian Kimchi sebagai wajah utama kempen. Alhamdulillah asbab kempen tersebut, ALLAH buka hati beliau untuk terus berhijab sehingga hari ini. Doakan semoga beliau terus istiqamah,” tulus bicara Yana sebelum menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.