An Najwa, Nurul Ajeerah sedia berentap di gelanggang NSL 2023. Kehadiran pemain import bakar semangat

Iklan
an najwa

PENGHIAS muka hadapan SinarPlus kali ini membawakan dua personaliti sukan bola jaring, An Najwa dan Nurul Ajeerah yang sedang menggegar Netball Super League (NSL) 2023.

Sememangnya, An Najwa Azizan tidak perlu diperkenalkan lagi kerana namanya cukup tersohor dalam sukan berkenaan. Sementara Nurul Ajeerah atau nama sebenarnya Nurul Ajeerah Abdullah@Wong Hui Ling ialah pemain dari Brunei.

Iklan
Iklan

Sekadar makluman, NSL 2023 merupakan anjuran Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Astro. Kini, saingan sudah memasuki musim ketiga dan sedang hangat berlangsung sejak 13 Oktober lalu hingga 5 November ini.

An Najwa mewakili pasukan Johor Jewels, sementara Nurul Ajeerah menguatkan barisan Negeri Sembilan Venom.

Iklan

Selain dua pasukan itu, NSL dirancakkan lagi dengan penyertaan KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Pheonix, Pahang Tulips termasuk dua pasukan baharu, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.

Baca ni ‘Cemburu anak-anak buat saya jadi takut…’ Watie lupakan seketika niat timang anak sendiri

Iklan

Tambah menarik, 11 pemain import masing-masing dari Brunei, United Kingdom, Uganda, Sri Lanka, Afrika Selatan, Singapura dan Thailand memeriahkan lagi pertandingan berprestij tersebut dengan kelab terpilih.

Ketika kunjungan An Najwa dan Nurul Ajeerah ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ashwinii Kalitass yang bermain untuk Putrajaya Dynamites turut hadir.

Penulis memulakan rentak bicara bersama gadis tinggi lampai, An Najwa terlebih dulu. Boleh dirumuskan rezeki gadis berusia 26 tahun itu cukup murah.

Masakan tidak, selain menyarung jersi kebangsaan dan jaguh dalam pasukan Johor Jewels, empunya diri pernah menjadi pemain bola jaring Malaysia pertama yang beraksi untuk sebuah kelab di Australia sebelum ini.

Pada tahun 2017, beliau menjadi antara individu penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas di Sukan SEA.

"Alhamdulillah minat dalam bidang ini (bola jaring) datang tiba-tiba. Boleh dikatakan sukan yang pilih saya," ujarnya bercanda tatkala membuka mukadimah pada pagi itu.

Satu persatu, profil peribadinya digali. Beritahu An Najwa kepada kami, sebelum membabitkan diri dalam bola jaring pada umur 13 tahun, beliau lebih cenderung dengan acara lompat tinggi.

Baca lagi Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…

Beliau kemudiannya menerima tawaran untuk memasuki Sekolah Sukan Bukit jalil pada umur 15 tahun.

Ketika itu, usianya baru menjangkau 13 tahun. Beliau kemudian menerima tawaran untuk memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Namun, segala-galanya berubah apabila An Najwa diajak menyertai latihan bola jaring. Entah bagaimana bibit-bibit kecintaan dalam sukan berkenaan mula berputik.

Ditanya sama ada darah sukan yang mengalir dalam diri ayah tersayang antara penyumbang utama beliau memilih bidang tersebut, ini jawapan empunya diri:

"Ayah saya merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan, namun bukan itu yang membuatkan saya berada di sini. Sebaliknya, sokongan ibu dan minat antara sebab utama kenapa saya memilih bidang ini."

PERSAINGAN

Kepada satu soalan, An Najwa berkata, sebagai pemain, semangat juangnya sangat tinggi ketika melangkah kaki ke gelanggang.

Tiada istilah ‘main sekadar suka-suka‘ atau ‘sedang melakukan latihan‘ pada setiap perlawanan.

"Saya sentiasa meletakkan misi dan mencabar diri untuk mendapat keputusan yang terbaik," kata jelitawan tersebut.

Gadis tinggi lampai itu kemudian diajak bercerita tentang ketinggian susuk tubuh yang memberi kelebihan kepada beliau dalam sukan boleh jaring.

Baca lagi Bertugas di stesen radio popular HotFM, ‘jodoh’ Fizi Ali, Aisha Mazlin akui dirinya tetap sama, tiada yang berubah

Buktinya, An Najwa berjaya membolot Anugerah Penjaring Terbanyak pada NSL musim pertama, selain memiliki peratusan jaringan cukup tinggi

"Ya, memang ketinggian antara faktor yang memberi keistimewaan buat seseorang pemain, namun pada saya, tinggi atau rendah tiada beza.

"Paling penting adalah kerja keras dan tidak mudah putus asa. Itulah faktor utama yang menentukan seseorang pemain itu bagus atau tidak," jelasnya yang berketinggian 179 sentimeter.

Menyentuh tentang kehadiran pemain import dalam NSL kali ini yang menjanjikan pertarungan sengit, An Najwa nampaknya berfikiran terbuka.

Beliau juga optimis dan menganggap pendekatan tersebut sebagai satu persaingan yang sihat.

"Soal bersaing dengan pemain import tidak menjadi isu, bahkan satu kelebihan buat pemain tempatan untuk menambah ilmu dan pengalaman yang sedia ada. Harapan saya, kita dapat bertarung dalam keadaan tenang, sihat, meletakkan pencapaian dan perbaiki prestasi diri.

"Kalau diikutkan tidak banyak kejohanan yang dianjurkan untuk pemain menggilap bakat mereka. Dengan adanya NSL ini, pada saya ia sesuatu yang sangat bagus," ujarnya.

Sudah pastinya, soalan tentang harapan beliau melihat Johor Jewels untuk sekali lagi bergelar juara pada NSL 2023 ditanya.

Tersenyum saat menjawab persoalan itu, An Najwa berkata, beliau enggan terlalu dibuai dengan status yang dicapai sebelum ini.

Baca lagi Cantiknya rumah. Suka konsep retro tu, simple.’ Farah Lee kongsi dekorasi rumah raih pujian ramai. Klasik & nampak tenang!

Akuinya, setiap pasukan memiliki kelebihan masing-masing dan semua akan memberi yang terbaik.

"Sebab itu dalam setiap perlawanan yang saya sertai, saya akan fokus dan beri tumpuan sepenuhnya. Setiap kali memulakan perlawanan baharu, saya akan bermula dengan kosong.

"Saya tinggalkan semua kemenangan yang diraih sebelum ini dan berjuang habis-habisan," ujarnya.

Dalam pada itu, An Najwa turut merentas satu peristiwa yang sukar diluputkan daripada ingatannya.

Dedah empunya diri, peristiwa itu berlaku sewaktu beliau ditawarkan mewakili negara untuk Pertandingan Bola Jaring Remaja Asia.

"Malangnya seminggu sebelum berlepas ke luar negara, saya menghidap demam denggi. Nama saya masih dalam senarai pemain yang mewakili Malaysia sedangkan waktu itu saya berada di hospital.

"Bayangkan perasaan apabila kita terpilih mewakili negara, namun tidak dapat pergi. Memang lain macam situasinya. Bukan nak kata kecewa, cuma sukar untuk saya ungkapkan perasaan ketika itu," kongsi si gadis yang menggemari rona merah itu.

Sedar akan pembabitan beliau tidak akan selamanya dalam arena sukan, An Najwa berkata, beliau perlu merencana sesuatu untuk masa hadapan.

Apa yang dilakukannya adalah dengan berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Gandingan terbaik bersama Nurfariha Abdul Razak bukan hanya dalam pasukan Johor Jewels, bahkan kedua-dua sahabat baik itu berkolaboratif dengan menyediakan platform latihan, FA Netball khas untuk pemain luar yang berminat menceburi secara serius dalam sukan bola jaring.

"Kami mahu jadikan FA Netball satu landasan yang komprehensif dalam menyalurkan segala persediaan buat pemain. Kami akan kongsi, praktis dan gunakan segenap pengalaman yang kami ada," ujarnya ringkas.

Pada akhir perbualan, sengajalah penulis mengusiknya soal teman hidup.

Pantas beliau menjawab:"Setakat ini, saya belum memikirkan soal tersebut. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk hal itu kerana banyak lagi benda yang saya mahu capai dalam hidup ini."

Baca lagi ‘Kecil-kecil dah ada jawline, ikut ayahnya ni.’ Comelnya, hidung mancung.’ Syifa Melvin kongsi wajah anak raih perhatian ramai

Bertuah

Beralih pula kepada wanita berkulit cerah yang sentiasa manis dengan senyuman pada bibir, Nurul Ajeerah. Sudahlah rupawan, cukup mesra dan peramah orangnya.

Pertama kali beraksi pada kejohanan NSL 2023 membuatkan tuan punya badan rasa cukup bertuah.

Menyingkap sedikit biodata dirinya, sebelum menyarung jersi Negeri Sembilan Venom, beliau mewakili pasukan Royalbees Brunei.

"Sukan ini ibarat ubat yang mengembirakan saya. Ia menjadi tempat untuk saya ketawa, menangis dan sebagainya. Keterlibatan saya dalam bola jaring memang disebabkan minat. Pada usia lapan tahun, saya sudah mula aktif sampailah sekarang," ungkapnya.

Namun, kepuasan yang diperoleh nyata belum mencukupi. Wanita berusia 37 tahun itu mahu memenuhi impiannya beraksi dalam liga Malaysia.

Kata Nurul Ajeerah, dalam rasa teruja, beliau juga gementar dan segala macam perasaan menguasainya memandangkan ia merupakan kali pertama beraksi sebagai pemain import.

"Saya berasa cukup gembira apabila diterima. Soal menyesuaikan diri dengan pemain tempatan tidak timbul kerana kerana kelebihan belajar di luar negara membolehkan saya mudah bergaul dengan pemain lain.

"Saya percaya dengan kecergasan yang ada boleh membantu seseorang pemain untuk terus beraksi. Walaupun mungkin sedikit berusia, namun saya tetap yakin. Memang sedikit berbeza cara latihan di sini dengan Brunei, namun pemain di sini banyak membantu," ujarnya.

Pun begitu, beliau membuat pengakuan bahawa NSL adalah kejohanan yang terakhir untuknya sebelum melabuhkan tirai persaraan sebagai pemain bola jaring.

Mengulas lanjut mengenainya, akui Nurul Ajeerah, faktor usia dan keputusan untuk mendirikan rumah tangga antara alasan utama.

"Tahun ini sahaja yang membolehkan saya melakukan apa yang saya minati. Bahkan, saya anggap ia sebagai peluang keemasan yang tidak mampu dilepaskan kerana masih ada rezeki bermain untuk NSL.

"Insya-ALLAH, saya bakal berkahwin dan akan berpindah ke Dubai tahun hadapan. Cuma mungkin selepas ini, saya bakal menjalankan bisnes secara online pula," kongsi beliau yang sudah 10 tahun bergelar menceburkan diri dalam bidang makanan.

Sebelum menutup kalam bicara, sempat penulis memintanya berkongsi pandangan dan harapannya pada kejohanan NSL 2023.

"Tidak dinafikan, saya sedikit gentar berhadapan dengan pemain hebat lain yang sudah punya nama. Namun, saya percaya dengan kemampuan diri dan akan bermain dengan sesungguhnya," ujarnya menutup perbualan bersama SinarPlus.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang