SUGEETA Chandran tidak mengambil masa lama menyatakan persetujuan untuk menjadi penghias wajah Cover SinarPlus sempena sambutan Deepavali minggu depan.
Pengacara Wanita Hari Ini (WHI), TV3 yang juga seorang pelakon itu hadir sendirian ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.
Kami berkenalan seketika dan kemudian, pemenang tempat keempat Miss Universe Malaysia itu terus dihujani dengan pelbagai persoalan daripada penulis.
Namun, kami berbicara dulu tentang sambutan Deepavali kerana itulah fokus utamanya.
Sambil mengukir senyuman, beliau yang mesra disapa Sugee berkata:"Saya wanita berkerjaya, jadi Deepavalilah merupakan masa yang sesuai untuk bertemu dengan saudara-mara, sepupu atau anak saudara yang lama tidak bersua.
"Pada saya Deepavali itu adalah lambang kebersamaan yang menyatukan kembali hubungan kerana rata-rata kami tinggal berjauhan."
Bercerita lanjut, wanita jelita itu berkata, mereka sekeluarga meraikannya pada skala sederhana sahaja tanpa menganjurkan rumah terbuka secara besar-besaran.
Namun, sesama mereka mewujudkan giliran untuk menikmati sarapan, makan tengah hari dan malam pada hari pertama Diwali.
"Jika sarapan di rumah keluarga saya, makan tengah hari atau malam pula di rumah saudara lain pula," katanya.
Memandangkan diri bukan pakar dalam bab masak memasak, Sugee berkata, beliau mengambil tugas untuk membuat kolam di depan rumah.
Sementara sang ibu tersayang menyediakan pelbagai juadah. Semestinya menu seperti tosei, kari ayam, kari dhal dan chutney menjadi santapan utama.
Tidak hanya itu, variasi menu berasaskan udang, ayam dan kambing juga disediakan.
Memandangkan dalam keluarga hanya Sugee seorang vegetarian, ibunya rajin mencari menu baharu untuk beliau walau tidak diminta berbuat demikian.
MEMORI KUIH ROS
Kepada kami, Sugee berkongsikan satu hal yang sangat menarik tentang cara Diwalinya.
"Kami sekeluarga sejak dulu lagi akan memakai baju tidur baharu sehari sebelum Deepavali.
"Ya, semua orang memang wajib pakai baju baharu, cuma keluarga kami buat sedikit kelainan. Pendekatan ibu itu telah dipraktikkan sejak kami kecil lagi," ujarnya yang turut melakukan amalan mandi minyak pada awal pagi.
Menyentuh tentang pakaian, selebriti rupawan itu berkata, mereka amat mementingkan busana tradisional seperti sari.
"Itu budaya yang patut diamalkan. Busana moden bila-bila masa boleh pakai,” ungkap beliau yang mengakui pendirian itu akan teguh buat selamanya untuk famili mereka.
Rasanya setiap daripada kita pasti menyimpan momen setiap kali beraya, bukan? Begitu juga dengan juita kesayangan ramai itu. Walau sedikit pahit, namun detik berkenaan masih berbekam dalam memorinya.
"Beberapa tahun lalu, kami sekeluarga dikejutkan bukan bunyi penggera jam, tetapi disebabkan ibu terjatuh. Beliau panjat tangga untuk mengambil barang. Mujurlah tidak berlaku perkara serius pada ibu saya ketika itu," katanya sambil menggeleng kepala.
Baca lagi ‘Saya bukan jenis try hard’. Penat dicop muka RTM, Muaz luah rasa terkilan…
Saat meraikan pesta cahaya, ingatan Sugee juga terarah kepada mendiang datuk dan neneknya. Ah! Kalaulah semua dapat diputar kembali, alangkah indahnya. Namun, ia tidak mungkin terjadi.
Pun demikian, kata beliau, kenangan itu akan terus bertahan walau diri dimamah usia.
"Pada 10 tahun lalu, sebaik pulang dari kuil, kami akan jemput datuk dan nenek bersarapan bersama, tapi ia hanya tinggal kenangan.
"Air tangan nenek yang handal buat kuih bunga ros juga antara yang dirindui. Saya sendiri pernah cuba buat. Waktu itu, saya, ibu dan nenek berkolaboratif buat bersama-sama. Ia ibarat tiga generasi tengah sediakan menu tradisional itu. Cukup nostalgia. Ibu sampai sekarang selalu sebut, 'kalau nenek buat (kuih ros) mesti sedap',” ceritanya penuh khusyuk.
Kepada yang selalu menonton program WHI, kelibat Sugee sentiasa ada. Tidak silap, pada tahun lalu beliau juga muncul di layar kaca pada saat sambutan Deepavali.
Sambil mengubah posisi duduknya, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, beliau tidak kisah andai diminta bertugas pada hari-hari penting.
"Benar, saya bekerja pada sambutan Diwali tahun lepas, saya okey begitu juga dengan keluarga. Lagipun, hanya separuh hari sahaja," ujarnya.
Baca lagi ‘Cemburu anak-anak buat saya jadi takut…’ Watie lupakan seketika niat timang anak sendiri
FASIH BAHASA MELAYU
Kami tamatkan tentang Diwali yang bakal disambutnya pada minggu depan, kini hal kerjaya beliau sebagai pengacara dan pelakon pula ditanya.
Memang terzahir sebagai individu yang petah bercakap, Sugee mengakui, kelebihan itu telah membawa dirinya ke tahap sekarang.
"Saya masih teringat zaman persekolahan saya. Ketika itu ada perjumpaan guru dengan ibu bapa. Cikgu beritahu yang saya ini okey, cuma banyak cakap. Konotasinya macam agak negatif, tetapi sebenarnya tidak pun.
"Satu lagi, saya jenis yang suka melibatkan diri dengan program bual bicara kerana saya memang suka dengar orang bercerita dan kemudian bertanyakan soalan. Apabila dapat peluang seperti sekarang, saya memang enjoy sangat,” ungkap Sugee yang turut berimpian mengacarakan program kanak-kanak.
Pun demikian, beritahu anak bongsu daripada dua beradik itu, sebenarnya beliau memulakan langkah awal sebagai anak seni dengan berlakon telemovie Tamil.
Namun, disebabkan lidahnya 'lebih kuat' berbahasa Melayu, Sugee berasakan boleh membabitkan diri dalam industri seni tempatan.
Sebagai permulaan, si tinggi lampai berketinggian 165 sentimeter itu terjun ke dunia teater.
Semakin lama berbual santai dengannya, penulis berasakan setiap kata dan susunan tatabahasa bahasa Melayu beliau melebihi daripada orang Melayu sendiri.
Lantas kepada tuan punya badan penulis tanyakan bagaimana kefasihan bertutur bahasa kebangsaan diasah sempurna?
Tanpa perlu berfikir panjang, Sugee memberitahu:"Saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan majoriti kawan-kawan adalah berbangsa Melayu. Bahkan, saya akan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan kaum India. Ramai kawan Melayu saya yang puji dan cakap karangan saya lebih baik daripada mereka."
Baca lagi Amyra Rosli tak pernah anggap media sosial satu platform toksik. Ini pengalaman yang dikongsikan…
Bercerita sedikit tentang latar belakang pendidikan, rupa-rupanya beliau sebelum ini pernah mengikuti jurusan undang-undang, namun hanya seketika sahaja.
"Selepas setahun, saya berhenti. Seminggu jugalah ibu marah dan tidak bercakap dengan saya. Kemudian, saya pilih bidang psikologi.
"Namun, pada masa sama, saya tahu minat lebih ke arah hiburan dan seni. Cuma saya tidak berani berbuat demikian kerana keluarga sangat konvensional dan mementingkan pendidikan, sementelah ibu juga sangat tegas,” ujarnya.
EKSPLORASI
Pada pagi yang cerah itu, penulis sedikit demi sedikit merapati rapat profil diri beliau yang terzahir sebagai wanita yang cerdik, sofistikated dan elegan.
Kepada penulis, Sugee memberitahu, dirinya sedikit privasi dan itu sebab sisi peribadi tidak dilondehkan untuk pengetahuan khalayak.
"Sejujurnya, personaliti saya adalah reserved dan tidak banyak cakap. Namun, sekarang ia agak berbeza mungkin disebabkan karier yang digalas.
"Namun, saya tetap saya. Ada masanya saya suka duduk diam di rumah. Saya mungkin akan membaca atau menonton. Kawan pun tak ramai, sehinggakan ibu cakap sukar untuk memahami anaknya yang seorang ini," katanya sambil tertawa kecil.
Peminat nuansa kuning itu menambah, semakin meniti usia, beliau mahu lebih bereksplorasi.
Memecah tembok kebiasaan, baru-baru ini, personaliti berwajah manis dan mulus kulitnya itu melakukan kembara sendiri ke Bangkok, Thailand dan Vietnam.
"Sebenarnya, saya dah tempah tiket, baru saya maklumkan pada ibu," ujarnya.
Ada sebab mengapa Sugee meluahkan hal berkenaan. Ungkap beliau, sewaktu memutuskan untuk berpindah untuk duduk sendirian di rumah lain, ibu tersayang melarang keras dan mogok.
"Namun, selepas tunjukkan pada ibu bagaimana pembawaan diri saya di luar (kembara sendirian dan lain-lain hal), barulah ibu faham.
"Famili juga mengerti yang saya jenis 'gila' sedikit dan buat benda tanpa bertanya terlebih dahulu. Syukur, mereka meletakkan kepercayaan kepada saya. Berbeza pula dengan abang yang lebih manja berbanding saya yang suka berdikari,” katanya berterus-terang.
Ya, seperti dilihat di televisyen, begitulah Sugee di hadapan mata penulis. Orangnya memang cantik dan penuh pesona. Selayaknya bergelar ratu cantik sebelum ini.
Memang rugilah kalau tidak bertanya resipi kejelitaan dan kelangsingannya. Akui tuan punya badan, amalan diet adalah berpandukan kepada prinsip beliau sebagai seorang vegetarian.
"Di rumah saya tiada balang gula. Itu cara saya jaga kesihatan dalaman. Saya juga amalkan petua tradisional seperti scrub dengan kacang hijau, oat dan juga kopi. Ibu yang ajar sejak kecil lagi. Selain itu, saya juga guna minyak kelapa untuk lembapkan kulit.
"Sebelum tidur, saya minum air kunyit dicampur dalam susu yang dipanaskan. Masukkan sedikit serbuk kunyit, serbuk lada hitam dan minum. Memang rasa tenang, selesa dan mudah untuk tidur. Saya juga pencinta teh masala. Masukkan sedikit buah pelaga, serbuk kayu manis dan kacang," kongsinya.
Selain itu, beliau turut melakukan senaman seperti yoga, berenang dan mendaki atau ke gimnasium.
Sebagai prakata penghabisan, penulis meminta pandangan beliau tentang perihal segelintir kaum Hawa di luar sana yang begitu obses untuk berkulit putih.
"Kita manusia diberi pilihan. Kalau ada yang mungkin berfikiran bahawa dengan berkulit putih boleh memberi keyakinan, teruskan. Kena ingat, pada masa akan datang, barangkali anda akan rasa penat. Jadi, kena pandai untuk menerima diri seadanya.
"Saya tidak amalkan dan kalau boleh sentiasa elakkan untuk terbabit dalam segmen yang berkaitan produk pemutih. Itu bukan diri saya," tegas Sugee.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang