REZEKI pelakon dan pelawak, Sabri Yunus dan Angeline Tan semakin murah usai bergelar suami isteri.
Pasangan tersebut yang selamat diijab kabul pada 14 Oktober lalu mendapat tujuh tajaan untuk majlis resepsi mereka.
Sabri atau nama sebenarnya Mohd Sabri Yunus memberitahu, setiap acara ditaja sepenuhnya oleh pihak penganjur.
"Alhamdulillah, saya dan isteri bersyukur atas segala rezeki yang dikurniakan kepada kami. Memang tidak sangka akan dapat peluang bersanding buat kali kedua.
"Sebelum ini, memang tidak terfikir untuk mengadakan majlis resepsi bersiri kerana tiada duit. Justeru, kami cukup berterima kasih kepada penaja yang memberi peluang tersebut," ujar pelakon berusia 62 tahun itu berterus terang.
Sabri berkata demikian ketika ditemui pada majlis resepsinya yang berlangsung anjuran Rose Hall Events dan Rose Catering Sdn. Bhd. Hall di Glo Damansara, Kuala Lumpur malam semalam (Ahad).
Busana yang juga gaun berona putih disarung Ardini hasil rekaan Anas Abdullah difahamkan menggunakan 10,000 butir mutiara dan nilainya mencecah RM100,000.
Bercerita lanjut, Sabri yang segak mengenakan kot hitam menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya ada individu yang ingin meraih populariti menerusi perkahwinan mereka.
"Saya melihat perkara tersebut (tajaan) sebagai tanda orang sayang kami berdua dan bukan mahu menumpang populariti.
"Pada saya, mereka hanya ingin meraikan. Saya dan Angeline cukup menghargai perhatian dan kasih sayang orang ramai. Bahkan, kami juga cukup terharu," ujarnya.
Baca ni Selamat Pengantin Baharu. Sabri Yunus kini sah suami Angeline Tan
TEMPOH PEMBELAJARAN
Sementara itu, Angeline atau nama Islamnya Ardini Angelina Tan berkata, suaminya banyak membimbing beliau ke jalan Islam.
"Selama ini, abang Sabri yang menjadi ustaz kepada diri saya. Beliau yang bimbing dan sentiasa ada masa untuk terangkan kepada saya tentang Islam.
"Setakat ini, saya belum betul-betul pergi kursus. Ada juga saya belajar dengan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza dan beberapa ustaz lain," ujar Angeline yang memeluk Islam pada 26 September lalu.
Beliau yang akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah bergelar isteri bagaimanapun mengakui sehingga kini masih dalam tempoh pembelajaran.
Demikian juga dalam hal memakai hijab. Kepada media, wanita berusia 56 tahun itu mengakui, belum menutup aurat sepenuhnya.
Justeru, Angeline atau nama asalnya Tan Yoke Yeah mohon diberikan masa dan ruang untuk berbuat demikian secara perlahan-lahan.
Tambahan, beliau masih terikat dengan beberapa kontrak yang mengkehendaki dirinya tidak berhijab.
"Awalnya saya memang tidak merancang untuk memakai tudung selepas memeluk Islam.
"Selepas itu saya melihat dan belajar. Saya baru peluk Islam dan belajar tentang akhlak. Namun, pada masa sama saya percaya orang ramai cukup baik, lebih memahami dan memberi ruang untuk saya," ungkapnya.
Baca lagi Indahnya maksud Ardini, Sabri Yunus pilih nama untuk Angeline Tan tak sampai 2 minit
KONSEP BERAGAMA
Sementara itu, Sabri dalam reaksinya berkata, fasa pertama yang perlu dititik beratkan tentang Angeline adalah keislamannya terlebih dulu, sebelum hal-hal lain.
"Saya fikir bab kursus adalah fasa kedua, sebaliknya menerima konsep Islam itu fasa yang lebih penting.
"Sebelum memulakan apa yang diamalkan, beliau terlebih dahulu kena memahami akan konsep beragama itu sendiri," ungkap bintang utama Pok Ya Cong Codei itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Angeline mempunyai niat mengajak dua anak tersayang untuk turut mengikut jejaknya memeluk Islam, ini jawapan tuan punya badan:
"Ketika ini, mereka menerima dan memahami. Saya sendiri rasa kita tidak boleh terburu-buru ajak mereka (peluk Islam), sebaliknya saya kena jadi contoh yang baik terlebih dahulu.
"Apabila sampai masa dan faham serta terima, itulah masanya.
Untuk rekod, pelakon wanita tersebut mempunyai sepasang cahaya mata masing-masing berusia 29 dan 32 tahun menerusi perkahwinan terdahulu.
PENGGANTI IBU
Pada majlis resepsi yang cukup meriah dengan alunan dikar barat berkenaan, SinarPlus turut berkesempatan menemu bual anak-anak Sabri mengenai kehadiran ibu baharu dalam keluarga mereka.
Sebagai anak sulung, Saidi Sabri, 32, mengakui cukup bersyukur kerana ayah tersayang sudah menemui pengganti arwah ibu.
"Syukur sangat selepas 16 tahun keseorangan, kini ayah sudah ada teman. Sebelum ini memang kami tak minta atau tanya ayah tentang pengganti ibu. Namun, akhirnya masa tersebut sudah tiba.
"Sejak awal, kami memang tahu ayah dan aunty berkawan baik. Beliau juga selalu datang ke rumah. Malah, aunty Angeline juga layan kami macam anak sendiri sejak kecil lagi," ujarnya.
Ditanya sama ada akan mengubah panggilan memandangkan beliau kini bergelar ibu tiri, jelas Syamimi Sabri, 30, yang juga anak kedua pengarah berkenaan, mereka sudah serasi dengan panggilan tersebut.
"Agak kekok untuk tukar kepada panggilan lain kerana sejak kecil sudah berbuat demikian (panggil dengan nama aunty). Pun begitu, tidak bermakna kami tak anggap beliau sebagai ibu," jelas Syamimi.
[caption id="attachment_128565" width="800"] Saidi bersama adik-adiknya Syamimi (kiri) dan Syazni (kanan) menerima dengan hati terbuka kehadiran Angeline Tan sebagai ibu baharu mereka.[/caption]
Beralih pula kepada anak bongsu Syazni Sabri, 28.
Beliau yang cukup rapat dengan Sabri berkata, kini bertambah lagi insan yang menjadi kesayangannya.
"Aunty sangat baik, bertanggungjawab, prihatin dan jaga kami serta ayah dengan baik. Beliau nampak sangat sayang dengan ayah.
"Malah, sejak kehadiran aunty ayah nampak semakin ceria, berseri dan bertenaga. Dahulu seorang, tetapi kini sudah berteman," ungkap beliau.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang