PERKAHWINAN pelakon dan pengarah Sabri Yunus dengan artis komedi Ardini Angeline Tan baru-baru ini menjadi tumpuan ramai.

Dalam temu ramah segmen Gegar Pagi stesen radio Gegar, Angeline, 56, mendedahkan pertemuan jodohnya dengan pemegang watak Wan Ismail Golok itu berlaku dengan mudah.

“Segalanya berlaku secara semula jadi. Saya tidak berasa susah. Tiada perbezaan watak kerana kami kawan lama, saling memahami antara satu sama lain.

“Apabila bekerja di bawahnya, saya respect kerana beliau seorang yang sangat serius di set penggambaran.

“Beliau akan tunjuk apa yang dimahukan dan kita sebagai pelakon perlu menyampaikan. Itu waktu bekerja, kini sebagai suami isteri saya rasa Abang (Sabri) sangat sweet sama seperti sebelum ini,” ujarnya.

Baca juga: Selamat Pengantin Baharu. Sabri Yunus kini sah suami Angeline Tan

Kredit foto: Gegar

Rupanya ikatan antara mereka berdua sudah lama terjalin. Sabri, 62, mendedahkan ketika pandemik, cintanya kepada Angeline berputik.

“Ketika itu (awal percintaan) adalah waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada tahun 1992, kami sering bersama hingga satu ketika kami terputus hubungan dalam tempoh yang lama (lost contact) secara fizikal, dari tahun 2011 hingga PKP.

“PKP memberi rahmat, kami berhubung semula. Walaupun lama tidak berjumpa, disebabkan oleh sudah lama mengenali, kemesraan tidak hilang.

“Semasa PKP, ada ruang dibuka kerajaan untuk mengadakan penggambaran drama. Itulah ketikanya Tuhan menghantar Angeline kepada saya,” ujar Sabri.

Kredit foto: Gegar

SABRI YUNUS SEORANG YANG SAYA KAGUMI

Angline atau nama asalnya Tan Yoke Yeah mendedahkan suaminya itu adalah insan yang dikagumi.

Penggambaran drama Tanya Sama Pokok adalah momen di mana wanita itu membuat keputusan untuk mengenali Sabri dengan lebih dekat.

“Apabila berlakon bersama, kami rapat. Pada satu hari, Sabri bertanya bolehkah kita cuba ‘berkawan.’ Kemudian timbul perasaan ganjil yang istimewa.

“Abang (Sabri) adalah insan yang hormati sejak tahun 1992. Dia adalah artis pujaan saya. Dengan bakat dan persahabatan dengan semua orang, saya mengaguminya.

“Ketika penggambaran selama sebulan, saya nampak beliau sangat baik. Saya fikir, why not. Saya katakan kepadanya, kita boleh cuba dan doakan yang terbaik.

“Ia mengalir dengan begitu sahaja secara semula jadi. Saya pun tidak perlu berpura-pura. Dengan hati yang ikhlas dan jujur berkawan, sampai satu masa Sabri melamar untuk kahwin.

“Saya saya memandangnya dan cakap boleh,” katanya.

Baca juga: ’32 tahun kenal, abang beri masa yang cukup untuk buat keputusan’ – Angeline Tan

MEMPERKENALKAN ISLAM

Rasmi memeluk agama Islam, Angline kini bergelar mualaf. Sabri yang bertanggungjawab memupuk minat Angeline terhadap Islam mendedahkan ia adalah proses yang tidak mudah.

“Angeline agak keras hati dan hampir menolak ritual-ritual keagamaan atas pengalaman yang lalu.

“Keseksaan hidup lalu membuatkannya tidak percaya

“Saya berhadapan dengan manusia yang begitu keras. Kebanyakan ceramah-ceramah agama hanya untuk orang Islam sahaja, jarang disampaikan untuk orang bukan Islam.

“Justeru, saya mengambil pendekatan berbeza dengan menceritakan keindahan Islam, konsep ketuhanan dan amalan. Insya-ALLAH tidak susah untuk memahaminya kerana Angeline tidak berpegang teguh dengan mana-mana agama.

“Peribadinya sangat baik, beliau menerima semua nilai agama cuma ada bahagian dia tidak percaya, saya mengemukakan hujah dan dalil dalam menjawab persoalan,” katanya.

SUKA NASI KERABU

Mengahwini lelaki kelahiran Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan, Angeline mendedahkan beliau sudah mempunyai makanan tradisional Pantai Timur kegemaran iaitu nasi kerabu, akok dan budu.

Biarpun terkenal dengan personaliti yang ceria, air mata aktres jelita itu tertumpah apabila ditanya tentang penerimaan anak dan anak tiri kepada perkahwinan beliau dengan Sabri.

Iklan

“Syukur Alhamdulillah, anak-anak suami saya sudah kenali sejak mereka kecil, kira-kira 30 tahun lalu.Jadi tiada masalah.

“Mereka sangat baik dan mesra. Seperti anak saya juga, apabila sudah mengenali Sabri, mereka tidak pernah membantah dan menerima sebulat hati,” ujar Angeline.

NALURI Keibuan wanita itu tersentuh dengan keikhlasan anak-anak suami yang merestui. Malah usai akad nikah, Angeline terus memeluk anak-anak tirinya.

“Saya sangat menyayangi mereka dan terharu mereka menerima saya begini. Jadi saya ucapkan terima kasih atas kasih sayang yang diberikan.

“Saya kata kepada mereka yang saya telah menambah tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki. Dulu sebagai anak kawan, sekarang saya anggap seperti anak sendiri.

“Saya kata akan cuba buat sebaik mungkin kerana mulai hari ini kita adalah satu keluarga,” ujar Angeline sebak.

Baca juga: Berusia 56 tahun, Angeline Tan kekal awet muda. Ini wajah terkini Lucy ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’

‘SUDAH LAMA MENGUSIK’ – MARLIA

Kredit foto: Gegar

Pasangan pengantin baharu itu juga turut diraikan dalam satu majlis resepsi yang diadakan di pekarangan konti Gegar, Astro Radio.

Salah seorang yang hadir ialah pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang membawa watak Ana, Datin Marlia Musa bersama suami, Datuk M. Nasir.

“Saya ucapkan tahniah buat mereka. Sebenarnya sudah lama saya mendoakan mereka dan mengusik Abang Sabri dan Angeline.

Iklan

“Mungkin ia antara doa-doa yang diangkat. Saya diberitahu tentang perkahwinan mereka pada Jumaat sebelum majlis di WhatsApp.

“Saya menjaga rahsia dan hanya memberitahu suami. Ia adalah sesuatu yang memeranjatkan. Kita patut raikan semoga selamat dan persaudaraan kita kekal,” ujar Marlia yang kini bertugas sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Baca juga:  Saya tak pernah, tak minat dan tak tahu berniaga – Sabri Yunus

Kredit foto: Gegar

Sabri dan Angeline disatukan dalam satu majlis ijab kabul tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis jam 10.30 pagi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Sumber: TikTok Gegar

Kredit foto: Facebook Gegar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!