BERMAIN kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV) dalam hutan dan kawasan pantai mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang.
Namun, bayangkan anda boleh menunjukkan skil berlumba, merentasi bonggol beralun dan melalui selekoh tajam di tengah sawah yang terbentang luas!
Kelainan yang ditawarkan Pengasas, ATV KAB Kunci Air Buang, Mohd Nor Hafizan Jamalludin nampaknya begitu digemari oleh peminat aktiviti lasak.
Kata Mohd Nor Hafizan, saban minggu pihaknya sentiasa menerima kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari Tanah Arab dan Pakistan.
"Sebenarnya saya baru enam bulan memulakan servis ini. Alhamdulillah, sambutannya sangat memberangsangkan. Saya yakin aktiviti ini boleh pergi jauh.
[caption id="attachment_130487" width="534"] FOTO credit Ahmad Tarmizi[/caption]
"Cuma pada masa itu, soal keselamatan pengunjung menjadi isu. Jadi, saya cari tapak yang sesuai untuk orang bermain tanpa kekangan. Saya tefikir mengapa tidak buat di bendang dan inilah hasilnya," kata kontraktor berusia 37 tahun itu.
Berkongsi keunikan ATV KAB Kunci Air Buang yang terletak di Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor, Mohd Nor Hafizan berkata, semua landskap dan lakaran trek dibuat serta direka sendiri.
"Demi mahukan kepuasan maksimum dan membangkitkan keterujaan pengunjung, saya bina trek sepanjang 1.2 kilometer dengan cabaran 14 selekoh tajam dan laluan berbonggol.
"Tekstur tanah sawah ini jenis tanah liat, jadi ketinggian petak sawah seluas 1.2 hektar dinaikkan kepada 30 sentimeter supaya tidak berdepan masalah air bertakung,” ujar anak jati Tanjong Karang itu.
Untuk memastikan proses trek berjalan lancar, pemuda tersebut mengambil masa enam bulan untuk bereksperimentasi supaya setiap laluan mampu memberi pengalaman yang mengujakan.
"Menariknya trek kami akan diselenggara setiap dua kali dalam tempoh sebulan bagi memastikan tiada mendapan terutamanya ketika musim hujan. Namun, nampaknya pengunjung suka bila dapat bermain lopak air kerana lebih menyeronokkan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, terdapat 40 unit ATV disediakan dan slot bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Bayaran RM50 hingga RM80 dikenakan untuk setiap sesi 30 minit hingga 1 jam.
Dalam pada itu, Mohd Nor Hafizan melahirkan rasa bangga apabila ATV Kunci Air Buang sudah menjadi salah satu rekreasi tumpuan ramai dan destinasi agropelancongan yang semakin popular di Tanjong Karang.
"Justeru, bagi merancakkan kehadiran pengunjung, saya merancang untuk menambah ruang dua tingkat sebagai lokasi santai dan makan-makan dengan menu orang kampung.
"Kalau ada rezeki nanti, saya juga mahu meluaskan laluan trek kerana kapasiti sedia ada hanya boleh masuk lebih kurang 17 unit ATV sahaja,” katanya yang sudah berhabis modal hampir RM300,000.
#jom singgah
TAK kira di mana jua lokasi, aktiviti lasak seperti menunggang kenderaan ATV mampu menarik minat sesiapa sahaja yang sukakan cabaran.
Laluan berselut dan curam sanggup diredah demi mencari pengalaman yang pastinya berbaloi lebih-lebih lagi bersama seisi keluarga atau rakan taulan.
Berikut empat lagi destinasi yang menawarkan servis ATV dengan keunikan tersendiri:
Rinching ATV Adventure Park
Alamat: Jalan Sungai Lalang, Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor
Waktu operasi: 9 pagi hingga 7 malam
Facebook: Rinching ATV Adventure Park
Instagram: @rinchingatvadventurepark
ATV Kampung Jkin Extreme Park Xtreme Park
Alamat: 361, Jalan Bukit Putus Lama Seremban-Kuala Pilah, Seremban, Negeri Sembilan
Waktu operasi: 9 pagi hingga 5.45 petang
Facebook: ATV KG JKIN
Instagram: @atvkgjkin
Baca juga Sukan ATV, sekali cuba pasti nak lagi. Percayalah
FJ ATV Janda Baik
Alamat: Bidaisari Resort, Janda Baik, Bentong, Pahang
Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
Facebook: FJ ATV JANDA BAIK
Instagram: @fjatv.jandabaik
ATV Gopeng
Alamat: 10731, Jalan Besar, Kampung Gunung Mesah Hulu, Gopeng, Perak
Waktu operasi: 9 pagi hingga 4.30 petang
Facebook: ATV Gopeng
Instagram: @atvgopeng
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang