PERCATURAN keputusan yang dibuat Azroy Hassam Lim, 35, nekad meninggalkan kerja bergaji lumayan sebagai jurutera di sebuah syarikat di Singapura akhirnya membuahkan hasil apabila kini berjaya membuka perniagaan kedai kopi berkonsepkan kanopi di tepi jalan dikenali Hogeh Coffee.
Dia memulakan perniagaan tersebut kerana minat terhadap minuman kopi sekali gus mengejar impian untuk terbabit dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, walaupun pada awalnya dia memang tiada pengalaman dalam perniagaan kopi namun didorong oleh minatnya terhadap minuman itu, dia kini sudah mempunyai 45 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Saya memang seorang 'kaki minum kopi' dan setiap saya hari saya akan beli kopi kampung di tepi jalan dan mana-mana kopi yang dijual di kafe. Kemudian saya terfikir kenapa tidak hasilkan kopi sendiri dengan membuka perniagaan menjual kopi dengan jenama sendiri.
Baca juga: Jelajah Jelita@RISDA realisasikan impian usahawan Terengganu
"Jadi mulanya berniaga Hogeh Coffee ini pada bulan Mei 2022. Kita mula buka dahulu di Kemaman dan kemudian ia berkembang ke kawasan serta negeri-negeri lain.
"Permulaaan konsep itu dengan menjual secara 'drive thru' di mana kita fokus pada jualan kanopi yang dibuka tepi jalan. Alhamdulillah, projek terbaharu pada tahun ini kita akan buka sebuah kafe di Kemaman dalam masa terdekat ini," katanya.
Azroy berkata demikian kepada Sinar Harian pada program Jelajah Jelita@RISDA Terengganu di sebuah pusat membeli belah di Kemaman.
Anak kelahiran Kemaman itu berkata, dia mahu membawa identiti Terengganu dengan menggunakan dialek dari negeri tersebut sebagai jenama perniagaan miliknya.
"Sebenarnya tidak ada kaitan dengan teknik pembuatan kopi yang dihasilkan. Cuma kita guna perkataan hogheh itu untuk mengambarkan perkataan sesuai yang mempunyai kaitan dengan Terengganu," ulasnya.
Dalam pada itu, Azroy berkata, dia hanya menggunakan modal sendiri berjumlah RM5,000 tanpa meminta bantuan daripada mana-mana agensi untuk membuka perniagaan kopi tersebut.
Sementara itu, seorang lagi usahawan, Sharifah Azita Syed Anuwar, 29 yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan dia meneruskan perniagaan warisan keluarga iaitu Kueh Atap Nipoh dengan menjual lebih 10 jenis kuih di sekitar Kemaman.
Baca juga: Jelajah Jelita@RISDA dedahkan kegigihan usahawan Terengganu
Katanya, kuih yang dihasilkan mengikut tempahan dibuat daripada pelanggan terutama melibatkan majlis korporat, keraian, kenduri dan sebagainya.
"Saya memang pentingkan kualiti dan rasa serta tekstur kuih itu sendiri. Jika jualan tidak habis, kita tak pernah sesekali panaskan kembali kuih tersebut.
Sementara itu, Sharifah Azita berkata, dia berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kerana telah memberikan bantuan dari segi peralatan dan bimbingan untuk mengusahakan perniagaan kuih tersebut.
"Saya mendapat bantuan peralatan seperti meja, ketuhar dan pengukus daripada RISDA. Selain, pihak RISDA juga banyak mengadakan kursus dan latihan bimbingan kepada usahawan.
"Kursus sedemikian meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan berkenaan mengendalikan serta menambah baik perniagaan diusahakan," jelasnya.
Wartawan: NURFARDLINA IZZATI MOKTAR
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!