PELAKON dan usahawan Syatilla Melvin kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan di Shah Alam selepas disahkan mengalami masalah pada ruas tulang belakang atau slipped disc.
Pemilik nama Siti Nur Syatilla binti Amirol Melvin itu terdahulu mengalami simptom pada leher yang disangkanya hanya sakit urat biasa.
Tambahan pula, beliau masih menyusukan anak ketiga, Salama yang adakala menyebabkan kesakitan pada bahagian tulang belakang.
Memuat naik video memaparkan dirinya ditolak menggunakan stretcher untuk melalui prosedur pengimejan resonans magnetik (MRI), finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu kelihatan tidak bermaya.
"Benda nak jadi kan. Tiga hari (saya) tidak boleh menggerakkan leher dan tidak boleh berpusing.
"Doakan Tilla. Terima kasih MSU Medical Centre," katanya.
Syatilla turut berkongsi keputusan MRI yang memaparkan ruas pada bahagian lehernya yang terkeluar.
Menjengah ke ruangan komen, ramai menzahirkan simpati dan mendoakan agar aktres berusia 32 tahun itu segera sembuh.
Baca juga: Makin ramai anak muda alami slipped disc, cuba tip ini
-"Syafakillah Tilla?, aamiin allahuma aamiin."
-"Allahuakbar, semoga cepat sembuh Tilla. Focus on ur recovery. All will be good insya-ALLAH."
-"Menyusu anak memang senang kena slipped disc kalau postur badan tak betul. Saya pun doktor diagnos minor slipped disc."
-"Postur badan punca slipped disc, bukan kerana breastfeeding. Dalam apa keadaan atau pekerjaan, kita perlu jaga postur especially tulang belakang."
Untuk rekod, Syatilla mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shaheizy Sam Abdul Samad pada 8 Februari 2016.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syeriv Samhiezy, 6, Sarima Samhiezy, 3, Salama Samhiezy, 2.
Adik ipar kepada pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad itu kini aktif mengusahakan perniagaan Kekasih The Melvins yang menjual produk penjagaan kulit dan kosmetik.
8 INFO SLIPPED DISC
1-Masalah slipped disc berlaku apabila ruas atau disc tulang belakang (intervertebral disc) terkeluar/teralih dari tempatnya.
2-Hal ini disebabkan oleh lapisan luar kapsul untuk ruas tulang belakang terkoyak.
3-Keadaan itu seterusnya menyebabkan bahagian dalam ruas tersebut terkeluar dan membentuk benjolan lalu ia akan menghimpit saraf kawasan tersebut.
4-Antara punca-punca slipped disc yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
- Trauma, contohnya pesakit jatuh terduduk, mengalami kemalangan jalanraya dan sebagainya.
- Pesakit mengangkat bebanan berat contohnya kerana pekerjaan atau mendukung anak untuk tempoh masa yang lama.
- Tidak menjaga postur belakang semasa duduk atau mengangkat barang. Posisi membongkok akan menyebabkan disc menekan saraf di belakang.
- Duduk terlalu lama contohnya pemandu kenderaan berat atau pekerja sedentari.
- Penggemar sukan mengangkat berat.
5-Majoriti pesakit slipped disc ialah dalam kalangan lelaki lingkungan usia 20-an hingga 30-an terutamanya mereka yang bekerja mengangkat bebanan.
6-Berat badan berlebihan boleh meletakkan tekanan lebih ke atas kawasan ruas tulang belakang, lebih-lebih lagi pada bahagian bawah badan.
7-Postur badan tidak betul semasa mengangkat barang. Ramai orang menggunakan otot pada belakang badan untuk mengangkat barang yang berat. Postur yang tidak betul ini akan membuatkan anda lebih berisiko untuk mengalami slipped disc.
8-Merokok terbukti dapat meningkatkan risiko slipped disc. Amalan itu boleh menyebabkan cakera pada tulang belakang menjadi lemah lebih cepat daripada biasa.
Sama-sama kita doakan Syatilla cepat pulih!
Sumber: Samtilla, Hello Doktor, Ifix Physio
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!