Batiq Choker inspirasi dari alam, jenama Ash Majid ketengahkan batik dalam karya seni buatan tangan

Iklan

KECINTAAN terhadap rekaan batik antara pencetus buat wanita bernama Nor Ashikin Nor Majid dalam mengadaptasikan idea kreatif menghasilkan aksesori yang diberi nama Batiq Choker.

Di bawah jenama Ash Majid, ia menampilkan karya seni buatan tangan yang sedia dipakai dalam bentuk rantai choker, gelang tangan lembut dan banyak lagi.

Iklan
Iklan

Batiq Choker ciptaannya merupakan produk utama keluaran jenama tersebut yang cukup versatil dan anggun dalam gaya tersendiri.

Justeru, tidak hairanlah ia begitu diminati dan digayakan oleh figura diraja, golongan elit sehinggalah kepada selebriti tempatan.

Iklan

Menariknya, setiap satu daripada aksesori tersebut terinspirasi daripada kecantikan batik dan ia dihasilkan secara tempahan khas oleh pelanggan.

Iklan

Mengetengahkan konsep rare, unik dan edisi terhad, Ash memilih batik Malaysia seperti hand block, canting dan sebagainya.

"Kebanyakannya (batik) dari Perlis, Kelantan dan Terengganu selain Borneo Sarawak. Untuk pemilihan warna, kami tak spesifik kerana mengikut keinginan dan cita rasa pelanggan, sementara untuk fabrik batik pula, sesekali kami akan tukar satin atas permintaan," ulasnya lagi.

Menjawab persoalan kenapa batik menjadi pilihan untuk diketengahkan, ungkap wanita kelahiran Pulau Mutiara itu, pemakaian batik di Malaysia pada masa kini masih rendah.

"Kalau dilihat, batik hanya untuk majlis melibatkan kakitangan awam atau ke pejabat sahaja.

"Sebab itu ia patut diperluaskan lagi menerusi aksesori wanita, sekali gus dapat menaikkan lagi taraf dan martabat batik Malaysia di mata umum yang sememangnya cukup lawa dan setiap pengeluar batik mempunyai rekaan serta teknik tersendiri," ujarnya yang juga antara perintis dalam penggunaan batiq choker sejak 2013.

Mengimbau kembali saat awal pembabitannya dalam bisnes tersebut, penangan Covid-19 rupa-rupanya yang mengubah landskap hidup wanita berkenaan.

Disebabkan permintaan semakin meningkat setiap hari, membuatkan Nor Ashikin tidak cukup tenaga kerja.

Selaku pereka kreatif merangkap pengarah jenama tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu bertuah mendapat dorongan dan sokongan suami tersayang, Ezammer yang berhenti kerja dan sama-sama membantu membangunkan bisnes tersebut.

Dedah empunya diri, bermula dengan sebuah bilik kecil yang beroperasi pada 2013, dia kemudiannya mengambil keputusan berpindah dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 2017.

Kecantikan alam

Bercerita lanjut mengenai idea dan penghasilan satu-satu rekaan, Nor Ashikin berkata, kecantikan alam antara penyumbang utama ilhamnya untuk berkarya.

"Kelebihan tinggal di pulau (Langkawi) membolehkan saya menghabiskan masa di tepi pantai dengan pemandangan yang luas, banyak dapat ilham yang baharu.

"Ada juga masanya saya dan suami akan masuk ke kawasan hutan serta perkampungan untuk mendapatkan idea dan corak yang lebih segar," ungkapnya.

Menyentuh mengenai masa yang diambil untuk menyiapkan satu-satu tempahan memandangkan ia direka khas, ini jawapan empunya diri:"Penelitian yang sangat rumit diperlukan dan itu polisi yang kami praktikkan di syarikat ini (Ash Majid).

"Ada yang mengambil masa dua jam, ada 10 hari, semuanya bergantung kepada rekaan atau kompleksiti.

"Justeru, setiap staf atau krafter akan dilatih selama enam bulan untuk menghasilkan jahitan yang kemas dan pemotongan kain yang betul," jelasnya lagi.

Selain mengeluarkan produk rekaan khas (custom made), Ash Majid turut menawarkan aksesori siap untuk dipakai (ready to wear).

Dedahnya lagi, bukan semua jenis batik berpotensi untuk ditukar menjadi choker.

Jika tersilap teknik memotong, mungkin kecantikan corak batik itu tidak akan jelas selepas dijadikan choker.