PERDANA Menteri Datuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penstrukturan semula umur kemasukan murid ke sistem pendidikan formal negara, dengan prasekolah ditetapkan bermula pada umur lima tahun dan Tahun Satu pada umur enam tahun, berkuat kuasa mulai 2027 bergantung kepada kesediaan ibu bapa.
Memetik Bernama, beliau berkata langkah itu selaras dengan usaha memastikan kesediaan pembelajaran kanak-kanak diperkukuh sejak peringkat awal lagi di samping menyokong pembangunan potensi murid secara lebih seimbang.
"Dulu masuk sekolah layak pada umur tujuh tahun tetapi sekarang, adik-adik kita pada usia lima tahun pun sudah menunjukkan kematangan yang berbeza selari dengan perubahan masa dan tuntutan zaman.
Pun begitu, Anwar berkata kerajaan mengekalkan kelayakan masuk Tahun Satu pada usia tujuh tahun namun menggalakkan ibu bapa yang bersedia menghantar anak mereka ke prasekolah seawal umur lima tahun.
Selain itu, berikut 15 info perubahan penting berkaitan dunia pendidikan negara yang diumumkan menerusi RPN 2026-2035 yang membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT):
1-Kerajaan akan memperkenal pendekatan baharu penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah melalui Matriks Pembelajaran Malaysia bermula dengan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat pada 2026 dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada 2027.
2-Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat akan dilaksana mulai 2026 membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
3-Sementara itu, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga akan diperkenal mulai 2027 membabitkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
4-Anwar berkata kedua-dua pengukuran akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penilaian pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada penguasaan pembelajaran murid.
5-Pendekatan berkenaan difahamkan bertujuan memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal seterusnya membolehkan intervensi dibuat secara lebih tersasar bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
6-Selain itu pelajar sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian termasuk UEC wajib belajar subjek Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kebangsaan dan dilaksanakan dalam jadual waktu rasmi persekolahan.
7-Menerusi Kurikulum Persekolahan 2027, murid berpeluang belajar program pendidikan dan latihan teknikal (TVET) di sekolah. Pendidikan TVET diperkenalkan di Sekolah Kebangsaan (SK) dari Darjah Satu hingga Enam manakala di Sekolah Menengah (SMK), kandungan, kemahiran dan nilai TVET diperluas di Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dengan memfokuskan kepada teknologi dan digital.
8-Reformasi Sekolah Kebangsaan di mana sekolah kebangsaan dipilih untuk diperkukuh sebagai model kecemerlangan. Lima SK dan SMK dipilih di setiap daerah sebagai Sekolah Inspirasi. Fokus itama program Reformasi Sekolah ialah kecekapan pengurusan sekolah, peningkatan prasarana, mutu pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan STEM.
9-Jaminan pelajar cemerlang untuk pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi dan diploma mendapat Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggai Awam (IPTA) manakala penawaran kursus adalah berasaskan keupayaan universiti dan Merit.
10-Yuran pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dikecualikan melibatkan 3,000 pelajar di IPTA, politeknik dan kolej komuniti.
11-Sebanyak 3,000 tempat di IPTA pada 2026 untuk pelajar cemerlang STPM melibatkan 10 kursus termasuk Undang-Undang, Perakauan, Kewangan dan Perbankan, Kewangan Islam, Kecerdasan Buatan, Ekonomi, Bahasa Melayu/ Inggeris/ Asing, Pengajian Media, Data Sains/ Data Analitik/ Sains Komputer.
12-Kuota penerima pendidikan percuma/ biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinaikkan daripada 5,800 kepada 10,000 orang.
13-Bermula 2027, Tingkatan Enam dan matrikulasi diletakkan di bawah KPT. Ia bertujuan untuk memastikan kesinambungan kurikulum dan transisi pendidikan dan lebihlancar dari peringkat prauniversiti ke Ijazah Sarjana Muda.
14-Masalah penginapan pelajar ditangani. Di bawah KPT, universiti dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menyediakan 5,000 penginapan tambahan dan yuran penginapan membebankan.
15-Sebagai asas pembinaan bangsa, subjek Mata Pelajaran Umum (PMU) dirombak dan diajar di dalam Bahasa Melayu di seluruh IPTA dan IPTS. MPU akan menekankan pendidikan perlembagaan dan sejarah Malaysia kepada pelajar Malaysia.
16-Kerajaan memperkasa TVET di politeknik dan kolej komuniti melalui penerapan digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh. Penggubalan Akta Politeknik dan Kolej Komuniti juga akan dilakukan. Sebanyak 10 politeknik premier dipilih untuk dinaik taraf secara berterusan.
17-Pada masa sama, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan menaik taraf bilik guru di seluruh negara selepas mengambil maklum bahawa lebih 30 peratus daripadanya berada dalam keadaan tidak selesa dan tidak selamat. Menurut PM, keadaan persekitaran kerja guru turut diberi perhatian kerana memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan motivasi warga pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Untuk rekod, pelaksanaan RPTM 2026-2035 dan RPM 2026-2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Sebelum ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 memperuntukkan RM66.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan.
Peruntukan itu meningkat daripada tahun sebelumnya bagi memperkasa pendidikan dengan fokus kepada prasarana sekolah, bantuan murid miskin (termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM150 untuk semua 5.2 juta murid), makanan tambahan, pendidikan awal kanak-kanak serta pembangunan guru dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan penekanan pada reformasi sistem pendidikan.
Sumber: BERNAMA, Facebook Anwar Ibrahim