Rawatan alat intim tujuan ketat dan cerah boleh jatuh haram walau alasan untuk suami' - Ini penjelasan Ustazah Asma' Harun

Iklan

BARU-baru ini, seorang pempengaruh wanita mendedahkan secara terbuka bahawa dirinya menjalani rawatan kosmetik bagi tujuan mengetatkan serta mencerahkan bahagian intim.

Perkongsian berkenaan bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi dan kecaman orang ramai. Selain dianggap membuka hal sulit kepada umum, isu aurat turut menjadi persoalan utama.

Iklan
Iklan

Perkara itu turut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, yang menjelaskan bahawa rawatan melibatkan bahagian intim dengan tujuan mengetatkan dan mencerahkan boleh jatuh haram, meskipun dilakukan atas alasan untuk suami.

"Boleh jatuh haram ya buat rawatan alat kelamin tujuan ketat dan cerah, walau alasan untuk suami.

Iklan

"Aurat besar dan ubah. Jangan buka aib diri bercerita buat rawatan tersebut! ia beri bayangan aib alat sulit. Bila hilang sifat malu," kongsi Ustazah Asma'.

Hal berkenaan turut diperjelaskan dengan teliti berdasarkan perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seperti berikut:

Iklan

Kongsinya, Dr Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jirahah al-Tajmiliyyah menyatakan pandangan rawatan faraj terbahagi kepada beberapa keadaan berikut : 

a) Harus menjalani rawatan pembedahan faraj atas dasar perubatan seperti masalah kekeliruan antara faraj, masalah saluran kencing atau saluran najis dan khuatir berlaku kelemahan otot - otot faraj dan sesuatu keluar dari faraj yang boleh membahayakan pasangan.

b) Haram menjalani rawatan mengetatkan otot faraj akibat ia semakin longgar secara semula jadi yang hanya semata - mata ingin memenuhi kepuasan hubungan intim pasangan tanpa keperluan perubatan. Larangan tersebut berdasarkan sebab-sebab seperti prosedur rawatan dianggap seperti mengubah ciptaan semula jadi. Hal ini kerana, masalah kekenduran otot faraj merupakan perkara tabii yang sememangnya akan berlaku apabila seseorang wanita meningkat usianya serta kekerapan bersalin. 

Namun jika kelonggaran faraj akibat kemalangan atau penyakit, maka dibenarkan untuk merawatnya kerana ia kecacatan yang tidak disengajakan.

Pengharaman disebabkan rawatan itu memerlukan kepada pemeriksaan bahagian sulit wanita dan menyentuhnya sedangkan perkara berkenaan diharamkan di samping membuka ruang fitnah yang besar terhadap aurat wanita. 

Ia tidak sewenang-wenangnya didedahkan tanpa ada keperluan yang mendesak seperti tujuan perubatan sedangkan tujuan asalnya adalah untuk kecantikan (tahsiniyyat).

Jika diperhatikan dari sudut yang lain, wanita masih boleh mengamalkan kehidupan s*ksualnya seperti biasa sebagaimana wanita lain yang mana mereka juga berkahwin, melahirkan anak dan meningkat usia tua tanpa perlu melakukan rawatan.

Turut dikongsikan, rawatan laser vaginal tightening (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar) melibatkan proses mengubah suai ciptaan ALLAH.

Oleh itu, solusi hukum adalah berdasarkan tujuan dan keadaan -keadaan berikut :

a)Harus bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.

b)Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Larangan tersebut atas faktor -faktor berikut : Kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan, atau kekerapan bersalin, maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-NYA.

c)Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan. Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan laser vaginal tightening sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat . Hal ini kerana, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-NYA hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan dan kepuasan nafsu.

Dalam pada itu, Ustazah Asma'meluahkan rasa kecewa tentang hilangnya rasa malu serta kecenderungan mendedahkan perkara aib, khususnya berkaitan hal peribadi dan intim, atas nama kandungan media atau keterbukaan diri.

Beliau turut berkongsi dalil yang sangat tegas tentang menjaga aib dan maruah Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang berhubungan dengan isterinya dan isterinya juga berhubungan dengannya, kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya.” (Riwayat Muslim) 

"Hadis ini bukan hanya tentang suami. Ia prinsip besar Islam tentang amanah, maruah dan privasi. Rasulullah SAW juga bersabda: 

“Setiap umatku akan diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan dosa dan aib secara terbuka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Jelasnya ALLAH menutup aib kita tetapi manusia hari ini membuka aib sendiri, kemudian menamakan ia sebagai keberanian, keterbukaan atau sayang diri. 

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan keji itu tersebar dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih.” (Surah an-Nur: 19) Dan Rasulullah SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menerusi semakan SinarPlus, pempengaruh berkenaan berterima kasih atas pencerahan yang diberikan oleh Ustazah Asma'. 

Mendedahkan tidak mengetahui prosedur berkenaan haram, dia telah menurunkan hantaran berkenaan.

"Sekarang baru saya tahu ia haram. Saya memang tak tahu. Saya cuma teruja untuk berkongsi tentang rawatan itu. 

"Mungkin saya terlebih berkongsi. Saya memang selalu teruja nak kongsi setiap perkara yang saya buat hanya untuk memperkasakan wanita di luar sana. Tetapi kalau ini haram, maka saya pun sedang belajar perkara baharu juga. 

"Baru-baru ini peranakan saya jatuh dan saya melahirkan tiga orang anak, walaupun secara pembedahan, ia tetap membawa beban yang besar di perut saya, sebab itu juga peranakan saya kebelakangan ini sudah ke bawah. 

"Jadi saya ingat dengan buat ini boleh bantu ketatkan sedikit, tapi tidak mengapa. Apa yang haram tetap haram," kongsinya.

Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun