Jurutera hilang 18 hari ditemukan tidak bernyawa dalam kereta, berikut kronologi menyayat hati menimpa Muhammad Hamizan

Iklan

PILU dan sayu, demikian reaksi warganet berkenaan berita jurutera, Muhammad Hamizan, 33, yang ditemui maut dalam kereta miliknya.

Allahyarham yang hilang sejak 19 Mei lalu ditemukan meninggal dunia di Taman Sentosa di sini pada Rabu.

Menurut ahli keluarga, Muhammad Hamizan yang bekerja sebagai jurutera projek di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang masih sempat berbalas mesej WhatsApp dengan rakan baiknya yang pulang ke kampung untuk segera pulang ke bilik sewa mereka di Bandar Penawar.

Berikut adalah kronologi kejadian bermula hari pertama Allahyarham dillaporkan hilang:

1-Berita mengenai kehilangan Muhammad Hamizan mula tular di media sosial terutamanya di laman Facebook Orang Kota Tinggi.

2-Muhammad Hamizan, 33, kali terakhir dilihat oleh rakan sekerja pada petang 18 Mei lalu.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


3- Pihak majikan menjelaskan pakaian terakhir yang dipakai Hamizan adalah baju berwarna biru gelap dan berseluar denim.

4-Abangnya, Muhammad Haziq memaklumkan semakan rekod imigresen mendapati Hamizan tidak ke luar negara manakala laporan polis telah dibuat selepas usaha pencarian tidak membuahkan hasil.

5-Pihak syarikat tempatnya bekerja juga ada cuba menghubungi namun beliau yang masih bujang gagal dihubungi.

6-Dalam pada itu, bapa saudara Muhammad Hamizan, Alwee Osman berkata, lelaki itu itu sempat menghubungi ibunya seminggu sebelum hilang.

7-Pihak keluarga menafikan lelaki berkenaan ada bermusuh atau berhutang dengan sesiapa yang mungkin boleh dikaitkan dengan kehilangannya.

8-Abangnya, berkata Muhammad Hamizan tidak menunjukkan apa-apa perubahan tingkah laku ketika mereka sekeluarga berkumpul di Kota Tinggi bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bulan lalu.

9-Lelaki itu adalah seorang yang baik dan agak pendiam. Kehilangannya betul-betul menghairankan kami sekeluarga.

10-Abangnya juga menjelaskan jurutera itu tidak mempunyai perselisihan faham dengan kawan-kawan atau adik beradik. Beliau telah membuat laporan polis pada 19 Mei dan berharap usaha itu membuahkan hasil.

11-Muhammad Hamizan juga gagal dihubungi dan difahamkan adiknya itu tidak pergi bekerja dari 19 hingga 22 Mei 2024.

12-18 hari selepas kehilangan, berita pilu mengejutkan negara. Jasad Muhammad Hamizan ditemukan pada jam 11 pagi pada 5 Jun 2024.



13-Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, berkata jasad lelaki itu dipercayai sudah beberapa hari meninggal dunia dan mayat sudah mula membusuk di tempat duduk pemandu Proton Saga yang diparkir depan sebuah premis perniagaan.

14-Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kejadian ini tidak melibatkan kemalangan.

15-Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat.

16-Jenazah Allahyarham dijadualkan akan dibawa pulang ke Kota Tinggi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Jalan Lukut.

ABANG TERKILAN TIDAK TEMUI ADIK LEBIH AWAL



Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Haziq terkejut namun reda dengan tragedi menimpa adiknya.

"Memang saya terkejut apabila terima berita adik saya yang hilang hampir sebulan ditemui telah meninggal dunia dalam keretanya.

"Paling tak sangka, boleh pula jumpa di Johor Bahru, sedangkan kami semua sibuk mencari ke mana dia hilang di kawasan Pengerang, Bandar Penawar dan Kota Tinggi.

"Saya reda tetapi saya tetap terkilan kerana tidak berjumpanya lebih awal. Apatah lagi apabila dia ditemui di kawasan yang memang laluan orang ramai, di tepi jalan dan dekat dengan sebuah restoran," ujarnya kepada Sinar Harian

Lebih menyedihkan kata Muhammad Haziq, beliau terpaksa menyampaikan berita duka itu kepada ibu dan bapanya menerusi imam di kampung.

"Saya maklumkan berita ini kepada ibu dan ayah di kampung, tapi melalui imam surau kerana saya tak mahu mereka jadi terlalu terkejut.

"Maklumlah, selama ini, kita mencari di tempat lain, tapi tak jumpa, rupa-rupanya dia di sini, di kawasan bandar dan berada di tepi jalan pula tu.

"Bila ibu saya telefon, barulah saya maklumkan sendiri mengenai berita kematian adik saya itu kepada mereka,” katanya.

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Hamizan Ramli daripada SinarPlus. Al-Fatihah.