SEOLAH-olah masih segar dalam ingatan akan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
Apatah lagi, apabila pakaian yang disarungkan salah seorang anggota terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, dikongsikan oleh seorang wanita dipercayai rakan sekerjanya mengundang sebak.
Menerusi aplikasi TikTok wanita berkenaan yang menggunakan akaun bernama Choopia, beliau memuat naik video berdurasi 2 minit 40 saat.
Seragam polis yang lengkap dengan tanda nama dan nombor anggota itu menunjukkan beberapa koyakan dipercayai kesan tetakan suspek yang menggunakan senjata tajam.
"Untuk kali yang terakhir dapat sentuh baju wira negara. Wanginya.
"Berehatlah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Bin Azhar," titipnya.
Menerusi ruangan komen, wanita berkenaan turut memaklumkan pakaian tersebut telah dicuci beberapa kali dan disimpan dalam plastik sebelum dipulangkan kepada keluarga Allahyarham.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Azza Fahmi mengalami kecederaan pada bahagian belakang leher dan kepala ditetak oleh seorang lelaki bertopeng.
Baca juga: 4 tragedi berdarah, serangan pengganas ke atas balai polis yang pernah menggemparkan negara
Baca juga: 72 tahun tragedi Bukit Kepong, imbas kembali perjuangan wira-wira negara menentang komunis
Kejadian jam 2.45 pagi 17 Mei lalu turut mengorbankan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Sementara, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan.
Warganet tidak dapat menahan perasan sayu melihatkan pengorbanan wira negara itu bertarung dengan suspek dalam menjalankan tugas.
"Al-Fatihah buat Ahmad Azza Fahmi. Sedih sangat bila tengok uniformnya, hanya ALLAH sahaja yang tahu kesakitan ditanggung arwah ketika itu. Moga rohnya dicucuri rahmat."
"Tengok kesan tetakan dapat bayangkan keadaan arwah bertarung nyawa masa tu. Semoga syurga milikmu wira negara."
"Ya ALLAH sayu tengok banyak lubang pada baju. Perginya seorang perwira muda mempertahankan negara. Moga tenang di sana."
"Sebak dada tengok bajunya. Semoga arwah ditempatkan di sisi orang-orang yang ALLAH sayangi dan kasihi, aamiin."
"Adik saya meninggal tahun 2009. Sampai sekarang mak simpan uniform arwah. Al-Fatihah."