Nostalgia Manisan Agar-Agar Kering

Iklan

Memiliki struktur keras di luar dan lembut di dalam, malah dengan rasanya tidak terlalu manis pasti membuatkan tidak puas dengan hanya satu agar-agar kering

IMBAS kembali zaman kecil dahulu, kalau pergi beraya, mesti teruja, kan apabila melihat satu manisan pelbagai warna. Tidak lain tidak bukan iaitu agar-agar kering.

Memiliki struktur keras di luar dan lembut di dalam, malah dengan rasanya tidak terlalu manis pasti membuatkan tidak puas dengan hanya satu.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, pernah tular di laman media sosial tentang satu resipi yang sekali tengok tidak tumpah dengannya iaitu gula-gula kristal (crystal candy). Meskipun nama berbeza, namun kedua-dua juadah itu sebenarnya sama sahaja. Yang berbeza adalah gula-gula kristal memiliki rupa yang jauh lebih cantik berbanding agar-agar kering yang bentuknya tidak berubah dari zaman nenek moyang sehingga kini.

Malah, ada sesetengah gula-gula ini ditambah perasa buah-buahan.

Iklan

Baru-baru ini Sinarplus ada menemu bual seorang usahawan yang menjual agar-agar kering.

Akui Nik Nur Radhiah, resipi yang digunakan itu diperturunkan secara warisan daripada keluarganya.

Iklan

Pun demikian, hanya seorang sahaja daripada waris tersebut memperoleh resipi itu yang masih kekal hingga kini.

"Sebelum ini, arwah ayah yang memiliki resipi secara turun-temurun selepas mengambil alih perniagaan lebih kurang 30 tahun lalu. Selepas ayah meninggal, perniagaan tersebut diwarisi oleh saya.

"Tiada pemilihan untuk siapa yang akan mewarisi resipi tersebut, ia bergantung kepada siapa yang sanggup untuk menyambung legasi berkenaan. Proses untuk membuat bancuhan juadah itu sebenarnya dilakukan oleh seorang sahaja.

"Sementara ahli keluarga lain boleh membantu dengan memotong, atur,jemur dan sebagainya," katanya yang sudah empat tahun menguruskan perniagaan tersebut.

Disebabkan terikat dengan komitmen kerja, Radhiah memilih untuk menjalankan perniagaan itu ketika musim perayaan sahaja.

Malah, mereka juga tidak menjual sendiri agar-agar tersebut. Sebaliknya, produk yang dihasilkan itu akan diagihkan kepada ejen untuk dijual di seluruh Malaysia.

" Yang asli betul-betul tak ada rasa. Cuma warna sahaja. Semua proses kita buat secara manual, tak menggunakan mesin. Semuanya tenaga manusia.

"Agar-agar ini mengambil masa tiga hingga empat hari untuk proses lengkap daripada memasak sehinggalah kepada proses bungkus.

"Hari pertama masak, keesokan harinya potong dan atur satu-satu dalam bekas. Kemudian, jemur hingga kering sebelum boleh dibungkus," jelas Radhiah lagi.

Tambahnya, sekali bancuhan yang dimasak menggunakan empat periuk besar dan akan mendapatkan hasil sebanyak 150 bungkus yang mana di dalamnya berisi 100 biji anggaran 400 gram (g) sehingga 500g agar-agar kering pelbagai warna.



Berkongsi perancangan masa hadapan, Radhiah mahu terus kekalkan seperti sekarang. Cuma, mungkin akan mengambil pekerja tambahan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.