Mee Tikus Viral jadi tarikan di Ipoh, Perak. Ini rupanya rahsia air tangan lebih 13 tahun masih popular sampai sekarang

Iklan

NAMA sajian ini agak pelik dan boleh membuatkan segelintir daripada kita rasa geli-geleman apabila mendengarnya.

Namun, Mee Tikus Viral yang diusahakan Redzuan Ooi Abdullah di Gerai Ipoh Ipoh Aje di Medan Kidd, Stesen Bas Besar Ipoh, Perak menjadi kegemaran ramai.

Iklan
Iklan

Akui Redzuan, walaupun nama hidangan itu membuatkan ramai fikir dua kali mahu menikmatinya, namun sekali cuba pasti ramai datang semula ke premis tersebut.

Iklan

Tidak kisahlah tinggal jauh nun jauh di sana, ramai pelanggan yang sanggup datang beratur untuk mencuba air tangan bapa dua anak itu.

Beritahu lelaki keturunan Tionghua itu, Mee Tikus Viral adalah masakan yang berasal dari Taiwan.

Iklan

"Kalau ikutkan makanan itu mula dikenali ramai sejak tujuh tahun walaupun sudah 13 tahun kami usahakan kedai ini.

"Sebelum menu itu timbul, saya bantu isteri memasak mi kari dan wantan dan dari situ, saya mengasah bakat terpendam saya," katanya yang sebelum ini turut membantu bapa beliau menjual cendol dan ais kacang.

Ditanya bagaimana mendapat jolokan nama hidangan berkenaan, bekas pemeriksa tiket bas sambil tertawa berkata:"Ketika itu, memang tiada niat nak promosi nama tikus, tetapi mi tikus adalah terjemahan perkataan loh si fun.

"Mee Tikus Viral ini adalah laksa pendek yang kita boleh jumpa di pasar. Bila digoreng, ia nampak macam ekor tikus."

Anak jati Ipoh itu menambah, rencah olahan sendiri menjadi rahsia utama kulinari warisan itu digemari ramai.

"Namun, paling penting, kita perlu fokus dan teknik memasak pun kena betul. Selain itu, perlu seimbangkan minyak dan api di dalam kuali wok supaya rencah digaul sebati. Bila dah naik bau, barulah masukkan semua bahan. Sebab itu, tekstur mi tak terlalu kering atau basah.

"Kita juga kena ikhlas dalam setiap perkara yang kita lakukan termasuk memasak, insya-ALLAH makanan akan menjadi lazat dan menjadi pilihan pelanggan tak kira bangsa," katanya.

Redzuan memberitahu, dalam sehari, beliau akan memasak lebih 13 kilogram (kg) mi dan jumlahnya akan ditambah pada hujung minggu dan cuti sekolah.

"Kalau hari biasa, selalunya lebih 5kg stok mi licin. Kalau ditanya soal harga, tak mahal mana pun, hanya RM5 sepinggan,” katanya.

Tidak hanya Mee Tikus Viral, suami kesayangan Nor Aaini Rabani, 49, itu turut terkenal dengan hidangan lain seperti Hokkien Mee, Char Kuetiau Penang Style, Nasi Goreng Pataya Banjir dan Nasi Goreng Tomyum Udang pada harga bermula RM3 hingga RM6.

Mee Tikus

Alamat: Gerai Ipoh Ipoh Aje di Medan Kidd, Stesen Bas Besar Ipoh, Perak

Waktu operasi: 7.30 pagi hingga 3 petang (Rabu tutup)