AROMA kopi panas, roti bakar kaya dan hidangan tempatan sering mengundang kenangan tentang suasana kopitiam yang menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia. Lebih daripada sekadar tempat menjamu selera, kedai kopi turut menjadi ruang untuk bertemu, berbual dan mengeratkan hubungan tanpa mengira latar belakang.
Berpegang pada semangat itu, Ordinary Kopitiam membuka cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, selepas cawangan pertamanya di Bandar Tun Hussein Onn. Jenama yang diasaskan oleh Mohd Shafiq Kamaruddin itu membawa konsep kopitiam klasik dengan sajian tempatan serta suasana santai yang mesra untuk semua.
Bagi lelaki berusia 39 tahun tersebut, tarikan utama kopitiam terletak pada kemampuannya menghimpunkan masyarakat dalam suasana yang cukup sederhana.
“Saya memang meminati konsep kopitiam kerana ia membawa suasana komuniti. Semua orang boleh datang, tidak kira muda atau tua, bangsa atau jawatan. Apabila berada di dalam kopitiam, semua orang boleh duduk bersama dan bergaul seperti biasa,” katanya.
Pengalaman lebih 20 tahun dalam industri makanan dan minuman menjadi bekalan penting buat lelaki berkenaan untuk membangunkan jenama sendiri. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah terlibat dalam operasi pelbagai jenama, pembukaan premis serta memberikan sokongan kepada pasukan di dalam dan luar negara.
Pengalaman tersebut mendorongnya membina Ordinary Kopitiam dengan identiti tersendiri, termasuk sebagai perniagaan yang dibangunkan bersama rakan kongsi Muslim.
Menurut Shafiq, pemilihan rakan kongsi bukan sekadar mengambil kira kemampuan menyediakan modal, sebaliknya turut menitikberatkan kesesuaian dengan prinsip perniagaan. Beliau malah pernah menolak pelabur yang tidak memenuhi syarat berkaitan sumber pendapatan dan harta yang ditetapkan pihaknya.
Dalam masa sama, Ordinary Kopitiam sedang menjalani proses mendapatkan pensijilan halal dengan bantuan konsultan. Pihaknya turut memberikan perhatian kepada sumber bahan mentah dan sos yang digunakan, dengan mengutamakan pembekal yang mempunyai sumber halal.
Bagaimanapun, pensijilan rasmi masih dalam proses dan perlu melalui prosedur serta audit yang ditetapkan.
Sajian tempatan dengan identiti tersendiri
Dari sudut menu, pelanggan boleh menikmati hidangan seperti Mee Kari, Signature Wok-Fried Char Kuey Teow dan Signature Nasi Lemak Ayam Goreng Whole Leg. Pilihan lain termasuk Cantonese Mun Fun, Asam Laksa serta hidangan mi bersama ayam dan ladu.
Untuk sajian ringan, terdapat Signature Roti Bakar Butter & Kaya, Donut Perancis dan Signature Gyoza Chilli Oil. Peminat pencuci mulut pula boleh memilih ABC bersama aiskrim atau tau fu fa dengan gula Melaka tulen.
Hidangan berkenaan dilengkapkan dengan pilihan minuman seperti kopi, teh tarik dan Iced Peach Tea.
Shafiq menjelaskan, menu dipilih berdasarkan cita rasa yang dekat dengan masyarakat tempatan, selain diberikan sentuhan tersendiri bagi membentuk identiti jenama.
“Kami mahu membawa kembali kenangan menikmati makanan yang kita kenal sejak kecil hingga dewasa. Pada masa sama, saya mahu berkongsi pengalaman dan apa yang saya pelajari sepanjang berada dalam industri makanan dan minuman,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, Ordinary Kopitiam menyasarkan pembukaan antara lima hingga 10 cawangan dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Peluang mengembangkan jenama ke luar negara turut menjadi antara perancangan jangka panjangnya.
Namun, Shafiq menegaskan pengembangan perlu dilakukan secara berperingkat supaya mutu makanan, perkhidmatan dan identiti jenama dapat dikekalkan.
Baginya, kejayaan bukan semata-mata diukur melalui pertambahan cawangan, tetapi juga kepercayaan pelanggan yang terus memilih untuk kembali.