SEDIH dan pilu, siapa menyangka peluk cium puteri bongsu pada 6.40 pagi itu adalah yang terakhir sebelum si kecil itu maut dirempuh van sekolah. Karmin Kahil, 39, dan suami, Nuljin Delson, 41, kini hanya mampu meratapi pemergian anak ketujuh mereka sekelip mata.
Dalam kejadian pada 11 pagi 19 Jun lalu, Karmin berkata sudah menjadi kebiasaan arwah, Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, untuk memanggilnya selepas turun dari van sekolah dan ketika menghampiri pagar rumah.
Namun pada hari kejadian, tiada panggilan seperti biasa sebaliknya hanya panggilan pemandu van yang memintanya keluar rumah bagi melihat keadaan anaknya yang cedera.
Berikut kronologi kejadian yang menyayat hati:
1-Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi itu, dua beradik terbabit turun dari van sekolah berkenaan yang dipandu seorang wanita berusia 50 tahun selepas tiba di hadapan rumah mereka.
2-Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pemandunya meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa turun dan melepasi belakang van sekolah tersebut.
3-Pemandu berkenaan beranggapan Nurhafizah turut mengikuti abangnya.
4-Kamin keluar dari rumah selepas dipanggil pemandu van berkenaan dan telah menyatakan sudah melanggar kanak-kanak itu sambil berulang kali meminta maaf.
5-Si ibu menjadi panik dan buntu melihat keadaan anak hingga pada awalnya menjangkakan Nurhafizah dirempuh kenderaan lain.
6-Pemandu van berkenaan kemudian meninggalkan lokasi kejadian kerana mahu menghantar murid lain. Karmin hanya dibantu jiran untuk menghantar Nurhafizah ke Klinik Kesihatan Masai.
7-Nurhafizah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala dan urat di belakang leher juga terputus sebelum disahkan meninggal dunia.
9-Sementara itu, dalam perkembangan terbaru pemandu wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat selama sehari bagi diambil keterangan.
10-Hasil soal siasat, selepas menurunkan dua beradik itu, pemandu wanita itu beranggapan Nurhafizah sudah mengikuti abangnya. Namun tanpa disedari murid prasekolah itu melalui bahagian hadapan van menyebabkan perlanggaran.
ABANG TRAUMA, KEJADIAN BOLEH ELAK JIKA HATI-HATI
Pilu kehilangan puteri bongsunya sekelip mata, Karmin berkata kejadian dapat dielak sekiranya pemandu van berkenaan lebih berhati-hati.
Suri rumah itu juga berkata, beliau masih tidak dapat melupakan kejadian menyayat hati menimpa keluarganya.
Menurut si ibu, Allahyarham mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini manakala si abang, Muhammad Afieq Miqhael pula sejak tahun lalu. Kedua-dua beradik itu merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Seri Alam 2, Pasir Gudang.
Reda menerima takdir ALLAH, bapa, Nuljin Delson, 41 mengakui sudah rindu terhadap arwah.
Sempat berkongsi momen istimewa, Nuljin telah membelikan baju baharu bagi arwah sempena Hari Raya Aidiladha dan si kecil dikatakan amat ceria.
"Nurhafizah pernah minta saya belikan tudung dan dia juga seorang yang rajin ke sekolah walaupun tidak sihat.
"Semalam wajahnya memang berseri-seri seperti kebiasaannya," tutur si bapa dalam sebak.
Jenazah Nurhafizah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai di sini kira-kira jam 6 petang, Rabu.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.