Kepentingan ilmu seksualiti kepada kanak-kanak

Iklan

Pendidikan seksual merupakan istilah yang digunakan untuk menjelaskan cara untuk menghormati dan menjaga maruah.

Ibarat kain putih yang suci dan bersih, kanak-kanak adalah golongan individu yang sedang belajar mengenai kehidupan dan persekitaran mereka. Disebabkan itu, mereka masih lagi naif dalam hal-hal keduniaan dan memerlukan tunjuk ajar daripada ibu bapa.

Menurut Hello Doktor, seksualiti merupakan satu ekspresi identiti gender (lelaki dan perempuan). Ia juga suatu perasaan peribadi yang mana melibatkan kefahaman diri tentang tindak balas dan emosi terhadap seks.

Iklan
Iklan

Pendidikan seksual merupakan istilah yang digunakan untuk menjelaskan cara untuk menghormati dan menjaga maruah. Ia melibatkan isu berkaitan anatomi manusia.

Sementara itu, Pakar Psikiatri dan juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Dr Norzila Zakaria, berkata, pendidikan seksualiti juga tidak terkecuali kepada kanak-kanak.

Iklan

Anak kecil perlu tahu tentang bahagian sulit pada tubuh mereka supaya dapat mempertahankan diri daripada gangguan pedofilia (kelakuan aktiviti seksual dengan kanak-kanak yang berumur 13 tahun atau mereka yang lebih muda).

Pendidikan seksual itu adalah sebahagian daripada perkembangan anak-anak. Justeru, ibu bapa harus bertindak mengajar mereka sepertimana hal lain seperti bercakap, mengenali abjad, dan sebagainya.

Iklan

"Ilmu tentang seksualiti perlu diajar sejak kecil supaya anak-anak tahu ada benda yang mereka boleh pegang, sentuh dan sebagainya.

"Oleh sebab itu, semasa kecil, kita perlu asingkan lelaki dan perempuan terutama ketika mandi dan tidur. Bila sudah besar sikit, yang mana mereka masuk ke alam remaja, timbul perasaan malu terutama bab berbeza jantina. Maksudnya, ereka sudah ada daya tarikan kimia (chemical attraction).

"Mungkin ada yang beranggapan, tidak mengapa lelaki dan perempuan mandi bersama ketika kecil, tetapi bila sudah makin besar apabila daya tarikan itu sudah ada, mereka akan pandang individu yang berlainan jantina dengan perasaan yang berbeza. Itulah yang membimbangkan kerana ia akan menjadi punca kepada hal yang tidak sepatutnya," jelasnya.

Kebanyakan pakar perkembangan kanak-kanak berpandangan, topik alat sulit seharusnya diajarkan kepada si kecil ketika berusia tiga tahun atau lebih awal.

Bagaimana cara mudah untuk bercakap dengan si kecil tentang alat sulit?

Seperti perkara lain, terdapat teknik yang boleh anda praktikkan bagi memudahkan komunikasi dengan si kecil berkenaan topik itu.

1 Elakkan daripada menggunakan gelaran pelik ketika bercakap tentang alat sulit

'Bebird', 'burung', 'nenen' atau 'telur' bukanlah gelaran yang elok digunakan apabila bercakap mengenai alat sulit. Anda perlu memupuk rasa selesa dalam kalangan anak apabila membicarakan tentang isu tersebut dengan menggunakan perkataan yang betul seperti zakar, buah zakar, payudara atau faraj.

Jika gelaran comel digunakan, ia boleh menjejaskan tahap kefahaman anak anda apabila mereka mula membincangkan hal itu dengan sentuhan selamat yang telah diterapkan dalam kurikulum prasekolah.

Pastikan mereka menggunakan perkataan yang betul. Jika berlaku sebarang komplikasi (sakit atau didera) kelak, boleh menerangkan dengan lebih jelas kepada doktor atau pihak terlibat.

2 Beri si kecil kebebasan untuk memilih apa yang diingini untuk tubuh mereka

Jangan paksa anak untuk melakukan perkara yang tidak disukai. Pastikan mereka sedar ada pilihan lain terhadap sesuatu.

Bagaimana cara untuk anda lakukan perkara tersebut? Daripada anda cakap"Peluk papa atau mama" yang berbentuk arahan,"Minta izin papa atau mama nak peluk, boleh?"

Anda merupakan pelindung kepada kanak-kanak. Jika balik beraya, di saat berjumpa dengan saudara mara, pastikan tiada yang memaksa untuk peluk atau cium anak anda.

Pada tahap umur tertentu, pastikan mereka menjaga batasan lelaki dan perempuan dan jika berlaku pergaduhan atau gurau senda melampau, hentikannya dengan kadar segera.

3 Pastikan mereka memahami konsep sentuhan selamat

Mungkin ada di antara kita yang tidak memberitahu berkenaan dengan sentuhan selamat kepada anak-anak. Namun, di tadika, si kecil akan didedahkan dengan konsep tersebut. Bagaimana caranya untuk anda memastikan bahawa mereka faham akan konsep yang diajar itu?

Tanya isu tersebut selepas pulang dan pastikan mereka jelaskan dengan betul. Jika tidak, anda perlu membetulkan konsep berkenaan.

Sentuhan selamat merupakan perisai kepada anak-anak untuk mengetahui jika sesuatu interaksi fizikal normal atau tidak.

Selain itu, ia boleh membantu mengurangkan risiko si kecil mengalami penderaan seksual.

4 Gunakan buku teks jika anda ragu

Jika anak-anak bertanyakan soalan berkenaan dengan seks dan anda tidak pasti, gunakan buku teks sebagai panduan. Mungkin ramai yang anggap si kecil terlalu muda untuk memahami berkenaan dengan topik seks dan alat sulit, namun berita mengenai kes rogol dan isu gangguan seksual yang semakin meningkat amat membimbangkan.

Perkara yang boleh anda lakukan adalah dengan menerangkan perihal seks kepada anak apabila mulai timbul rasa ingin tahu dalam diri mereka.

5 Tukarkan teknik nasihat tidak boleh kepada perkara yang boleh dilakukan oleh mereka

Apa yang sukar diterima oleh anak adalah apabila ibu bapa menggunakan nasihat berkenaan dengan perkara yang tidak boleh dibuat oleh mereka. Ia merupakan teknik yang salah dan meningkatkan rasa ingin tahu dalam kalangan anak terutama untuk cuba melakukan perkara yang dilarang.

Daripada anda cakap"Tidak boleh buat hubungan seks", tukarkan kepada"Boleh, tapi selepas kahwin."