BERITA kehamilan zuriat keempat setelah hampir enam tahun menanti membuatkan hati Nor Lizawati Mahmood berbunga-bunga.
Apatah lagi, bayi dalam kandungan disahkan anak perempuan yang sememangnya ditunggu-tunggu selepas kelahiran tiga putera.
Kepada SinarPlus, Nor Lizawati memberitahu, tempoh 35 minggu ditempuhi tanpa sebarang alahan teruk, namun doktor dapat mengesan sesuatu yang cukup mendebarkan ketika pemeriksaan rutin.
"Sebagai ibu, memang saya tak boleh ubah takdir kalau benar anak tak normal, cuma saya tak berhenti-henti berdoa supaya bayi terus sihat dan kuat sepanjang kandungan,” ceritanya dengan nada sebak.
Nor Lizawati yang juga seorang guru berkata, perasaannya terawang-awang sebaik sahaja cahaya mata yang dilahirkan normal disahkan sindrom Down.
Ketika itu, si comel hanya sempat didakap sekali sebelum dibawa masuk ke dalam inkubator untuk rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Selepas pemeriksaan lanjut, Aryana Maryam Zaiful Bahrin atau manja dipanggil Maryam rupa-rupanya mengalami masalah usus tidak bersambung dan terdapat lubang pada jantungnya.
Justeru, satu pembedahan dilakukan ketika si kecil baru berusia dua hari bagi menyambung semula usus yang bermasalah, manakala lubang pada jantung tertutup secara semula jadi.
Meskipun perkembangan puteri bongsu tidak seperti anak normal lain, namun melihat dirinya mampu bermain dengan aktif, berjalan dan berlari riang, semua itu sudah memadai buat Nor Lizawati.
Pun begitu, kebahagiaan wanita berusia 43 tahun itu bagaikan direntap tatkala anak istimewanya itu disahkan menghidap kanser leukemia myelogenous akut (AML) ketika usia mencecah dua tahun enam bulan.
Cerita ibu anak empat itu, pada awalnya doktor sudah memberitahu risiko anak sindrom Down berdepan kanser, namun sehingga tempoh itu tiada simptom yang boleh dikesan pada Maryam kecuali ujian darah.
"Memang berat hati ini bila memikirkan kesan ubat yang kuat terhadap Maryam tapi kami akur saranan doktor dengan harapan dia dapat pulih sepenuhnya,” ungkapnya dengan suara teresak-esak menahan tangis.
Bermulalah kronologi rawatan anak syurga itu apabila menempuh rawatan kemoterapi kitaran pertama, November tahun lalu, namun terpaksa dihentikan gara-gara jangkitan kuman pada hati.
Maryam mengalami demam berpanjangan selama tiga bulan. Lebih menyedihkan, perut si kecil itu membuncit, hati bengkak dan paling teruk, limpa bernanah serta jantung berair.
Kondisi tersebut menyebabkan Maryam yang dahulunya lincah, kini hanya mampu mengesot untuk bergerak. Kakinya lemah dan tidak lagi bermaya.Ujar Nor Lizawati, rawatan tersebut terpaksa ditangguhkan hampir tiga bulan sehinggakan sel-sel kanser dikesan kembali menyerang.
"Kami bersetuju sebab tak mahu tutup peluang untuk Maryam sembuh. Alhamdulillah, walaupun masih demam, namun keadaannya tak teruk,” katanya yang terpaksa memulakan rawatan kemoterapi kepada kitaran pertama semula.
Pengorbanan
Kini si comel itu sudah berjaya menempuh kitaran ketiga selepas berkampung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan selama lebih empat bulan.
"Kami menunggu keadaan Maryam dalam tempoh sebulan ini. Kalau okey, boleh diteruskan ke rawatan kitaran keempat iaitu yang terakhir. Insya-ALLAH sel kanser dapat dibunuh sepenuhnya,” tuturnya positif.
Sepanjang tempoh berulang-alik ke hospital, terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang terpaksa dikorbankan pasangan suami isteri itu demi memastikan anak tersayang mereka sembuh semula.
Mana tidaknya, suami, Zaiful Bahrin Mohamed Zain, 45, yang sebelum ini bekerja sendiri mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja demi menjaga Maryam.
Tidak cukup dengan itu, Nor Lizawati sanggup bersekang mata berjaga malam di hospital sebelum bergilir dengan suami yang datang pada jam 4 pagi dan kemudian pulang ke rumah menguruskan tiga anak yang lain sebelum menunaikan tugas hakiki di sekolah pula.
Bercerita perihal tiga lagi anaknya, Nor Lizawati tidak dapat menahan hiba apabila tiga puteranya cukup memahami dan rela berkorban kasih demi adik tercinta.
"Saya selalu pesan dengan mereka supaya jaga adik dengan baik kalau mama dan papa sudah tiada nanti sebab dia tiada siapa lagi selain abang-abangnya,” katanya.
Nor Lizawati juga tidak pernah berhenti berharap Maryam akan sembuh sepenuhnya suatu hari nanti dan berikar untuk menjaga cahaya matanya dengan penuh kasih hingga akhir hayat.
Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan beban dan menceriakan Maryam sekeluarga, dana sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB 7051492595 atas nama Nor Lizawati Binti Mahmood.