Dr Malar ulas pemain badminton meninggal dunia, pesan jangan takut bagi bantuan! 'anda sendiri perlu mulakan CPR'

Iklan

Dr S Malar Santhi memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku ke atas pemain badminton yang meninggal dunia.

Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kematian seorang pemain badminton remaja dari China yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia Yogyakarta Ahad lalu.

Mengulas isu ini, pegawai perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr S Malar Santhi memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku ke atas Zhijie menerusi laman sosial miliknya.

Iklan
Iklan

"Nampak tak dia menggelepar tu, kemungkinan besar waktu tu jantung dia pun menggelepar juga kita panggil Ventricular Fibrillation (VF) ataupun Pulseless Ventricular Tachycardia (Pulseless VT).

"Rawatan terbaik pada ketika jantung berdegup macam ini adalah ‘shock delivery’ tapi kalau tiada alat untuk memberikan ‘shock’ pada ketika itu, kena mulakan CPR dengan segera. Kalau kita tak rawat dengan cepat ketika jantung tak cukup dalam fasa VF ataupun pulseless VT, jantung akan masuk ke fasa berikutnya iaitu fasa yang langsung tiada nadi yang kita kenali dengan nama PEA ataupun Asystole.

Iklan

"Sebab itu kalau anda semua ‘zoom’ dan tengok lepas menggelepar itu badan dia macam kaku terus. Itu sudah masuk dalam fasa Asystole lah tu. Puncanya boleh jadi macam-macam, contohnya hypokalemia ataupun hyperkalemia,” katanya.

Tambah beliau, jika berdepan dengan situasi berkenaan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memeriksa respon mangsa dan jika tiada sebarang tindak balas, jerit segera meminta bantuan dan gunakan peranti defibrillator luaran automatik (AED) yang dibawa ke lokasi kecemasan.

Iklan

"Anda sendiri perlu mulakan CPR. Jangan toleh kiri kanan, depan belakang cari orang lain. Tidak kisah sama ada anda pernah belajar, tidak pernah buat CPR, pernah belajar tapi sudah lupa atau takut, tolak tepi semua perasaan itu.

"Ambil kedua-dua tapak tangan dan letakkan dekat tengah-tengah dada mangsa, terus mulakan CPR dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat mungkin. Jangan takut dia (mangsa) sakit kerana orang itu tiada nadi pun, jangan takut patah tulang rusuknya.

"Anda hanya berikan tekanan CPR kepada mangsa dengan harapan jantung dia boleh mengepam kembali. Biasanya, dalam dua ke tiga minit CPR dilakukan, anda akan penat dan pastikan ada orang di sekeliling anda yang boleh ganti membuat CPR ini sehingga bantuan profesional, seperti ambulans atau paramedik sampai," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Malar juga menjelaskan supaya orang ramai tidak berasa takut untuk memberi bantuan kerana sesiapa yang memberikan bantuan kecemasan, termasuk CPR dalam situasi yang mengancam nyawa, tidak boleh didakwa atau disaman walaupun mangsa mungkin mengalami kecederaan.

"Anda tidak boleh didakwa dan disaman, kononnya salah bagi CPR atau sampai patah tulang rusuk mangsa. Ada perlindungan undang-undang (untuk pemberi bantuan), jadi tidak perlu takut.

"Hanya takut kepada Pencipta yang soal anda satu hari nanti, kenapa tengok saja, tidak buat apa-apa dan tidak jalankan tanggungjawab.

"Ingat, mangsa itu, bila tiba ajalnya, dia akan pergi juga, tidak awal atau tidak lewat sesaat pun. Cuma kita yang dihadirkan di sebelahnya pada ketika itu yang diberi ujian, nak lihat sama ada kita tengok dan buat tidak tahu saja, berada dalam ketakutan atau kita jalankan tanggungjawab kita.

"Ya, kita semua memang diingatkan untuk berdamai dan menerima takdir tapi janganlah berserah sebelum berusaha dan buat apa-apa pun. Terus melopong berserah pada takdir. Bagi saya, itu salah," jelasnya.

Terdahulu, Zhi Jie, 17, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika pertemuan antara China menentang Jepun dalam aksi Kumpulan D di GOR Among Raga.

Zhi Jie yang sedang berdepan Kazuma Kawano, rebah dalam keadaan tertiarap ketika perlawanan itu.