PILIHAN fesyen wanita berkerjaya masa kini merangkumi elemen yang disesuaikan dengan suasana kerja seperti jaket, blazer, seluar, overall dan rompi.
Sekali gus, ia menyuntik daya tarikan abadi yang dikagumi sejak zaman ikon Hollywood Marlene Dietrich lagi.
Trend penggunaan estetika maskulin dalam fesyen wanita dimulakan selepas Perang Dunia Pertama lagi.
Terbaharu, pereka duo terkenal Rizman Ruzaini (RR), satu jenama high-end fashion yang terdiri daripada Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil yang mengadaptasi sentuhan tersebut menerusi koleksi pramusim gugur 2024.
Letak ke tepi seketika percikan manik, perincian batuan Swarovski dan labuci yang mempesona. Kali ini, RR tampil cukup eksklusif dengan seleksi istimewa buat wanita berkerjaya.
Berbeza dengan koleksi lain, ujar salah seorang pengasas label berkenaan, Ruzaini Jamil, setiap satu helaian untuk koleksi pramusim luruh tersebut lebih bersifat effortless, ringkas namun cukup elegan.
"Menariknya, koleksi kali ini mengetengahkan kembali fesyen archive koleksi 2006 yang kemudiannya diberi sentuhan, look dan material baharu.
"Jika dahulu. ia lebih kepada maskulin, namun kali ini, kami terjemahkan ia dalam nafas baharu menerusi injeksi feminisme yang komersial dan bersesuaian dengan masyarakat kita dan dunia,” ujar beliau.
Dedah Ruzaini lagi,' himpunan terbaharu itu menampilkan material jenis heavy crepe dan sifon. Mereka turut memfokuskan kepada nilai komersial dan kreativiti.
"Itu antara material yang banyak digunakan untuk busana kali ini. sementara penggunaan rona yang menjadi pilihan adalah hitam, putih, periwinkle blue dan blueblack. Umum mengetahui warna sedemikian bersifat timeless dan sangat sesuai disarungkan sampai bila-bila.
"Disebabkan itu, warna hitam putih menjadi keutamaan dalam koleksi ini. ini juga merupakan koleksi pertama yang kami hasilkan dalam bentuk ready made dan boleh terus dibeli serta dipakai tanpa waktu tertentu,” ujar Rizman lagi.
Konsep iron lady
Seorang lagi pengasasnya, Rizman Nordin pula berkata, hampir 20 tahun dalam industri fesyen, mereka berdua sepakat untuk memastikan setiap rekaan yang dihasilkan bertepatan dengan cita rasa pengikut label berkenaan sejak dahulu lagi.
Justeru, berpadanan dengan konsep wanita moden pada hari ini, khususnya bekerja di pejabat, wanita korporat, wanita besi atau iron lady yang mahu tampil menarik sama ada di tempat kerja atau bertemu pelanggan di luar dan sebagainya, setiap seleksi busana diterjemahkan mengikut sentuhan gaya yang diingini.
"Himpunan terbaharu ini berdasarkan tinjauan yang dibuat kepada pelanggan dan pengikut setia RR. Maka, pramusim luruh 2024 ini kami terjemahkan dalam satu-satu busana bagi memenuhi selera pengguna.
"Untuk koleksi kali ini kami hasilkan 60 pasang dengan 38 look,” ujar Rizman yang berharap ia boleh diterima dengan baik oleh pencinta fesyen khususnya peminat setia RR.
Sehubungan itu, kedua-dua pereka tersebut menyeru kepada peminat fesyen tanah air supaya terus melahirkan sokongan tidak berbelah bahagia jika mahu melihat pereka Malaysia berkembang maju.
"Kepada wanita diluar sana kerana meminati bidang fesyen, sokonglah jenama tempatan.
"Anda boleh memperlihatkan sokongan tersebut dengan membeli, memakai dan sebagainya. Justeru, mudahlah untuk kami berkarya lebih baik,” ungkap Rizman.
Bapa kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi berita gembira, RR bakal membuka butik di Dubai penghujung tahun ini.
Selain itu, mereka turut meletakkan sasaran menyertai Minggu Fesyen Paris tahun hadapan.