REZEKI Pendakwah selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail semakin murah apabila dilantik menjadi Duta Wakaf Program Wakaf Masjid Al-Makmuriah, Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini.
"Komitmen saya lebih pada membantu pihak masjid mencari dana dan sedekah bagi beberapa tujuan seperti pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.
"Selain itu, pihak masjid akan menjalankan beberapa program sepanjang enam bulan ke depan ini. Jadi, saya mengharapkan orang ramai terutama pengikut saya di media sosial untuk bersama-sama menyumbang seikhlasnya," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Tambah suami kepada usahawan terkenal, Neelofa itu lagi, majlis menandatangani pelantikan itu dibuat di masjid itu pada 6 Julai lalu.
Sejurus itu, turut diadakan program Kuliah Maghrib Perdana 'Generasi Z Cinta Masjid' yang dihadiri lebih 300 penduduk kampung.
"Semoga kerjasama kami dapat menggerakkan lagi golongan muda untuk terbabit sama dalam program yang bakal diadakan selepas ini.
"Paling penting juga, semoga segala apa yang dirancang pihak masjid dari segi pembangunan dan membantu golongan asnaf dapat dilaksanakan dan dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.