GANDINGAN kali pertama Farid Kamil dan Diana Danielle menerusi sebuah filem seram menjadikan pengalaman baharu untuk mereka berdua.
Menceritakan pembabitan anak-anaknya dalam bidang lakonan, Farid atau pemilik nama sebenar, Farid Kamil Zahari berkata, keluarganya terbuka untuk menerima tawaran berlakon sekiranya pihak produksi mempunyai skrip dan watak yang baik untuk ditonjolkan.
Tambah Farid, anaknya Muhammad dan Nur Aurora bersedia untuk menceburi dunia perfileman jika ditawarkan untuk berlakon bersama.
"Saya dan isteri pun pernah berlakon bersama buat kali pertama dalam filem yang besar. Sememangnya pengalaman yang menyeronokkan bila dapat berlakon bersama dalam filem Baran yang bakal siap tidak lama lagi
"Jadi expectation saya tu sekarang terbuka, sekiranya kalau pihak produksi ada skrip yang baik, watak yang menarik, tiada masalah untuk kami sekeluarga berlakon bersama.
"Lagipun, anak-anak saya sudah pun bersedia untuk berada dalam industri ini,"katanya.
Bagi memastikan anak-anaknya mampu membawa watak dengan baik, Farid bercadang untuk mendaftarkan
mereka untuk mengikuti kelas lakonan.
"Di rumah pun, tidaklah saya sampai mengajar anak-anak bagaimana cara untuk berlakon atau ajak datang set penggambaran.
"Cuma, kita cuma plan untuk hantar mereka kelas lakonan yang sesuai,"tambahnya ketika ditemui pada Gala Premiere Astro Shaw, Gold di ibu negara baru-baru ini.
Untuk rekod, anak sulung pasangan itu, Muhammad pernah memulakan langkah dalam bidang lakonan bagi filem Remp-It 2 sebagai seorang pelakon kanak-kanak.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan terbaharunya, Farid menzahirkan rasa syukur apabila berpeluang membintangi watak Rashid Sidek menerusi Filem Gold.
Filem aksi sukan itu turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperi Wan Raja dan Yasmin Hani selain penampilan muka baharu antaranya Jack Tan dan Lynn Lim sebagai teraju utama.