Setiap orang mengimpikan untuk memiliki zuriat sendiri. Namun, disebabkan beberapa kekangan, mengehadkan untuk seorang wanita itu hamil. Misalnya, tuntutan kerja atau mengalami masalah kesihatan.
Masalah ketidaksuburan adalah salah satu daripadanya yang menjejaskan kira-kira 10 hingga 15 peratus pasangan di Malaysia,sekali gus menyebabkan ada antara pasangan suami isteri yang menghadapi pelbagai halangan dalam usaha mereka untuk bergelar ibu bapa.
Sempena Bulan Ketidaksuburan Sedunia pada bulan Jun, Thomson Hospital @ TMC Fertility telah mengadakan diskusi tentang topik pemeliharaan kesuburan baru-baru ini.
Menurut Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Dr Aldrin Lie Tze Min, kebimbangan tentang masalah ketidaksuburan sememangnya semakin meningkat di Malaysia dan ia dialami ramai pasangan pada setiap tahun.
Justeru, pemahaman tentang pilihan yang ada dan perancangan proaktif yang boleh dibuat adalah penting dalam menangani isu ini.
Tambah beliau, pembekuan telur merupakan proses mengeluarkan telur dari wanita dan membekukannya. Secara teknikal, kita panggil ini sebagai spermicide. Sementara dalam istilah awam, ia dipanggil sebagai embrio.
Selepas itu, ia disimpan dan boleh dinyahbeku pada masa hadapan dengan memindahkannya ke dalam rahim. Ia sekali gus memberi peluang kepada seseorang wanita itu untuk mengandung.
Dr Aldrin Lie Tze Min juga berkongsi cara untuk meningkatkan kesuburan. Antaranya:
- Mengambil diet yang seimbang: Konsep suku-suku separuh atau piramid makanan
- Senaman fizikal: Diet tanpa senaman tiada guna. Sangat penting untuk anda berdiet bersama dengan senaman.
- Kurangkan berat badan atau obesiti: Obesiti akan mengurangkan potensi kesuburan anda.
- Tingkatkan vitamin D: Kira-kira 70 peratus daripada kita kekurangan vitamin D kerana kita kurang terdedah kepada matahari.
SinarPlus turut mendapatkan pandangan pakar perubatan lain. Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Dr Khairun Marina Bachok, pemeliharaan kesuburan perlu dipertimbangkan bagi mereka yang sedang merancang atau ada keinginan mempunyai anak.
"Saya mengesyorkan wanita menjalani pemeriksaan dengan pakar kesuburan. Sekurang-kurangnya, mereka tahu di mana tahap kesuburan kerana setiap individu mempunyai kondisi yang berbeza-beza.
"Bila seseorang itu perlu buat pemeriksaan? Secara teknikal, tiada kumpulan umur tertentu, tetapi secara saintifik, lebih baik untuk melakukannya lebih awal. Hal ini kerana, kita mendapati bahawa, kesuburan mula menurun dari umur 35 tahun ke atas.
"Jadi, yang merancang untuk menjadi ibu kena berjumpa dengan pakar kesuburan supaya doktor boleh memberi pandangan yang jelas dan merancang langkah seterusnya untuk anda," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Embriologi Kumpulan, Tee Sze Tian berkata, pembekuan berkenaan tidak terhad, iaitu apabila sperma, telur, atau embrio dibekukan, mereka boleh tahan lama. Penggunaan suhu yang sangat ekstrem dan tiada aktiviti sel berlaku sama sekali.
Jadi, jika embrio dibekukan pada usia 5 hari, walaupun selepas 100 tahun atau 1000 tahun dan sehingga memutuskan untuk memanaskannya semula, ia masih merupakan embrio berusia 5 hari.
Kesuburan bagi pesakit kanser
Sementara itu, Perunding O&G merangkap Pakar Kesuburan, Subpakar dalam Perubatan Reproduktif, dan Pakar Bedah Ginekologi Invasif Minimum, Profesor Madya Dr Prasanna Supramaniam dalam satu kenyataan memberitahu, individu yang menghidap kanser dan sudah akil baligh, mereka lebih mudah untuk memelihara kesuburan iaitu melalui pemeliharaan telur.
"Ia mengambil masa dua minggu untuk melakukan proses ini atas kebenaran ahli onkologi. Selepas itu, pesakit perlu kembali untuk meneruskan rawatan.
"Cara lain adalah dengan mengeluarkan ovari menerusi pembedahan kecil yang dipanggil prosedur laparoskopi. Melalui kaedah ini, kita akan keluarkan, potong ovari menjadi jalur-jalur kecil dan kemudian membekukannya.
"Ovari yang dibekukan itu kemudiannya dipindahkan kembali kepada pesakit apabila mereka telah pulih daripada kanser, iaitu ketika kondisi mereka berada di tahap yang lebih baik.
"Rawatan kanser menyebabkan mereka tidak lagi subur. Oleh yang demikian, pesakit mempunyai dua pilihan. Yang pertama, sama ada boleh hamil secara semula jadi melalui ovari yang dipindahkan. Sementara pilihan kedua, mereka boleh hamil melalui rangsangan IVF daripada pembekuan telur," jelas beliau.
Dalam usaha menyokong wanita dan lelaki untuk mempertimbangkan pilihan perkhidmatan pemeliharaan kesuburan yang ada, Thomson Hospital @TMC Fertility menawarkan sesi rundingan percuma selama 15 minit dengan pakar kesuburan pada minggu kedua dan keempat setiap bulan bagi menggalakkan wacana yang sihat dan pembuatan keputusan berdasarkan maklumat untuk masa depan setiap individu.
Risiko-risiko yang berpotensi
Memetik laporan Hello Doktor, prosedur pembekuan telur mampu membawa pelbagai risiko, termasuk:
Kondisi kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan ubat bagi masalah kesuburan. Namun, jarang sekali, penggunaan suntikan ubat bagi masalah kesuburan, seperti hormon perangsang folikel sintetik atau hormon luteinizing untuk mendorong ovulasi, boleh menyebabkan ovari membengkak dan menyakitkan sejurus selepas proses ovulasi atau pengambilan telur. Pun demikian, anda perlu pantau tanda dan gejala termasuk sakit perut, kembung, mual, muntah dan cirit-birit.
Komplikasi prosedur pengambilan telur.
Walaupun ia mungkin jarang berlaku, penggunaan jarum penyedut untuk mengambil telur berisiko menyebabkan pendarahan, jangkitan atau kerosakan pada usus, pundi kencing mahupun saluran darah.
Risiko emosi. Pembekuan telur dapat memberikan harapan kepada seseorang individu untuk kehamilan yang akan datang, tetapi tidak ada jaminan kejayaannya.
Sekiranya anda menggunakan prosedur ini untuk mendapatkan anak, risiko untuk gugur bergantung pada usia anda ketika telur dibekukan. Wanita yang lebih berusia mempunyai kadar keguguran yang lebih tinggi kerana mempunyai telur yang lebih tua.
Bukan itu sahaja, situasi di Malaysia tidak sama dengan negara barat.
Ini kerana mengikut satu fatwa, wanita Islam di negara ini dilarang membekukan sel telur sebelum bernikah.
Malah, undang-undang syariah juga hanya membenarkan sel telur disenyawakan dengan sperma si suami sendiri, sekali gus melarang sama sekali pembekuan telur itu untuk tujuan sosial.
Di samping itu, Islam juga hanya menggalakkan pembekuan telur jika wanita berkenaan tidak mampu hamil secara normal akibat masalah perubatan.