PUNDI hempedu adalah organ berbentuk seperti kantung yang terletak di bawah hati.
Fungsinya adalah untuk memecahkan dan mencerna lemak. Apabila cecair mengeras dan menjadi bahan seperti batu, ia akan membentuk sesuatu yang dikenali sebagai batu hempedu.
Penyakit batu hempedu itu dipanggil sebagai cholelithiasis.Ia berlaku apabila seseorang individu itu mempunyai tahap kolesterol yang tinggi dalam badan.
Sebenarnya, kolesterol memang dikeluarkan oleh hati. Namun begitu, jika ditambah dengan pemakanan tinggi kolesterol dan garam (bahan perasa), berisiko tinggi untuk terbentuknya batu hempedu.
Sekadar makluman, di dalam saluran hempedu (bile duct) kita terdapat bahan kimia semula jadi yang boleh melarutkan batu.
Namun begitu, jika jumlah kolesterol yang masuk terlalu banyak, batu akan terbentuk.
Bila keadaan tersebut berlaku, ia tidak akan hilang secara tiba-tiba walaupun ketika itu anda berhenti mengambil makanan yang berminyak atau mula bersenam.
Menurut Pegawai Perubatan di Klinik Ihsan Siti Melaka, Muhammad Aizat Mohd Sofian, kadang-kadang batu hempedu boleh didapati dalam pelbagai saiz bermula daripada batu-batu kecil sehingga batu yang berukuran sebiji bola golf dan bahkan terdapat gabungan kedua-duanya.
Batu hempedu boleh dikategorikan kepada dua jenis:Batu kolesterol – paling biasa, terbentuk akibat kolesterol berlebihan dalam pundi hempedu.
Batu pigmen – jarang berlaku, terbentuk daripada bilirubin (biasanya pada pesakit hati atau anemia).
"Sakit akibat batu hempedu biasanya terasa di bahagian atas kanan perut, betul-betul di bawah rusuk kanan.
"Kesakitan ini boleh merebak ke bahu kanan atau bahagian belakang badan, menyebabkan ketidakselesaan yang lebih teruk.
"Serangan sakit sering berlaku secara tiba-tiba dan boleh datang serta pergi dalam jangka masa tertentu," kata beliau.
Tambah Dr Aizat, tempoh kesakitan juga berbeza-beza iaitu daripada merasainya beberapa minit menjadi berjam-jam lamanya.
Pesakit akan rasa tajam, kejang atau ada tekanan yang kuat di bahagian perut.
Dalam kebanyakan kes, serangan sakit ini dicetuskan oleh pengambilan makanan berlemak atau berminyak.
Selain itu, kesakitan akibat batu hempedu sering disertai dengan gejala lain seperti loya, muntah, perut kembung, dan rasa senak.
Jika berlaku keradangan pada pundi hempedu, pesakit juga mungkin mengalami demam.
Sakit perut ingat gastrik, rupanya batu hempedu!
Iklan