INSIDEN tragis dua beradik termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus akhirnya meragut nyawa.
Abang, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8.40 pagi, Rabu.
Berita duka itu disahkan oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, Allahyarham dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, termakan keropok diletakkan racun tikus dipercayai digantung oleh pekebun kampung pada dawai besi di sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet pada Ahad di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.
Selepas memakan keropok itu, kedua-duanya keracunan hingga menggelupur, muntah dan mulut berbuih.
Pada jam lebih kurang 11.30 pagi ibu mereka terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim untuk rawatan.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal. Pada jam 7.30 malam kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang. Semalam, Nurain memaklumkan anak sulungnya lebih kritikal berbanding si adik.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian