'Gelupur, muntah & mulut berbuih.' Teruja bawa balik keropok, datuk kongsi kronologi cucu termakan umpan monyet beracun
KISAH dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, yang termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus meruntun hari ramai.
Kejadian tragis yang berlaku di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim ini perlu menjadi teladan buat semua.
Segala-galanya berlaku begitu pantas. Siapa sangka, keterujaan dua kanak-kanak membawa pulang dua bungkus keropok akhirnya mengundang bencana.
Selepas memakan keropok itu, kedua-duanya keracunan hingga menggelupur, muntah dan mulut berbuih.
Berikut kronologi dikongsikan ahli keluarga mangsa:
1-Muhammad Akil dan Muhammad Luth mengikut datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53, mencari lembu di kawasan kebun terletak 50 meter dari rumah.
2-Nenek mangsa, Saadiah Yaacob, 62 berkata, beliau kemudian ternampak kedua-dua anak kecil itu masuk ke dalam rumah dan terus ke bilik ibu mereka sambil membawa dua bungkus keropok.
3-Saadiah bagaimanapun keluar dan pergi ke kebun getah berhampiran meninggalkan dua beradik itu bersama ibu mereka.
4-Nenek itu kemudian ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jirannya memberitahu dua cucunya dibawa ke klinik kerana muntah dan mulut berbuih.
“Cucu saya balik sambil bawa keropok di tangan dalam keadaan riang. Masa tu saya nampak mereka tak makan lagi sebab sampai rumah baru mereka buka. Mereka terus ke dalam bilik ibu mereka. Saya diberitahu, selepas makan, tiba-tiba kedua-dua mereka menggelupur sambil muntah dan mulut berbuih." - Nenek
5-Datuk, Muhammad Nazar tidak menyangka perkara itu berlaku kerana kedua-dua cucunya memang rapat dengannya dan sering mengikutnya mencari lembu.
6-Dalam kejadian itu, beliau sudah menyuruh dua cucunya itu pulang ke rumah dan tidak menyangka mereka mengambil bungkusan makanan ringan itu bersama.
Baca juga: Lelaki rebah keracunan gara-gara guna peluntur cuci bilik air, isteri cerita detik cemas
Baca juga: Impian baju raya merah bata tak kesampaian, gadis maut terhidu gas karbon monoksida. 10 langkah waspada elak bahaya
7-Muhammad Nazar berkata racun yang terdapat dalam makanan ringan itu berkemungkinan bukan racun tikus sebaliknya lebih kuat.
8-Sedih dengan kejadian yang menimpa dua cucunya itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang agar hal berkenaan tidak terjadi kepada orang lain.
9-Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi mengesahkan kejadian itu.
10-Katanya keropok berkenaan dipercayai digantung oleh pekebun kampung pada dawai besi di sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet.
11-Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi selepas ibu mereka yang berusia 25 tahun menyedari kedua-dua anaknya yang berusia dua dan tiga tahun mengalami muntah-muntah dan mulut berbuih.
12-Pada jam lebih kurang 11.30 pagi ibu mereka terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim untuk rawatan.
13-Namun hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.
14-Pada jam 7.30 malam kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
15-Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
Baca juga: 'Terkejut anak meninggal di rumah.' Tragedi bihun goreng, telur mata program sekolah, remaja & kanak-kanak temui ajal. Ini kronologinya
Baca juga: Muntah campur darah, cirit-birit sampai lembik lepas makan 'cendawan busut', wanita keracunan hingga dikejarkan ke hospital
KEADAAN ANAK SULUNG LEBIH KRITIKAL
Menurut ibu dua kanak-kanak itu, Nurain Hasnorizal berkata anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian lebih kritikal berbanding si adik.
"Air kencingnya juga sudah kurang. Pihak hospital cuba untuk mencuci darahnya namun keadaannya tidak stabil kerana tekanan darah rendah. "Bimbang jika dialisis, keadaannya bertambah teruk. Si adik pula baru jalani CT scan juga sedang kritikal.
"Kedua-dua mereka sedang koma," katanya.
Tidak henti menitipkan doa, Nurain berharap kedua-dua permata hatinya pulih segera.
Memetik laporan Buletin TV3, ibu berkenaan hanya menyedari anaknya masuk ke dalam rumah selepas si bongsu mengalami sawan. Situasi yang sama turut dialami anak sulungnya dengan mulut berbuih.
Ibu itu melihat plastik makanan ringan dan yakin mereka termakan keropok yang dicampur racun tikus yang sering digunakan penduduk bagi memerangkap monyet.
Bungkusan makanan itu dipercayai diambil pada dawai besi pagar berhampiran rumah mereka.
5 INFO RACUN TIKUS
Racun tikus boleh didapati dalam berbagai jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 60 jenama yang berdaftar.
Berikut lima fakta berkaitan racun berbahaya ini:
a)Setengah daripadanya digunakan begitu meluas di ladang dan kebun. Racun tikus yang digunakan di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu, serbuk, butir dan umpan pepejal
b)Keracunan racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif.
c)Kandungan bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam berbagai jenis, antaranya; brodifacoum, bromadiolone, calcium cyanide, chlorophacinone, coumatetralyl, doumatetralyl, flocoumafen, warfarin dan zinc phosphide.
d)Tanda-tanda keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah dan ceret beret.
e)Jika berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam perut, ikhtiarkan muntah dan segera bawa mangsa ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian 1 , 2 (Roshila Murni Rosli), Buletin TV3, Pusat Racun Negara
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang