PANTANG mengalah dan nekad berjuang! Demikian perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kejituan semangat Azarin Razali demi membawa jenama Gospeedi ke persada antarabangsa.
Meski dirinya tidak sempurna seperti insan normal yang lain, namun itu bukanlah penghalang konkrit buat pengasas Good Take Care Trade berkenaan mencapai gelaran perintis kerusi roda bermotor pertama negara.
Kepada SinarPlus, Azarin memberitahu, hidupnya satu ketika dahulu tidak ubah seperti lelaki lain yang bebas bergerak ke mana sahaja tanpa sebarang kekangan.
Namun, ujian ALLAH yang datang tanpa diduga membuatkan hidup bapa kepada empat cahaya mata tersebut berubah 360 darjah selepas disahkan lumpuh separuh badan buat selama-lamanya.
Akui anak jati Melaka itu, untuk bangkit semula bukanlah mudah. Apatah lagi dirinya sudah tidak boleh bekerja sebagai kontraktor pembinaan dengan kudrat terbatas.
"Alhamdulillah sokongan famili dan rakan-rakan, sedikit sebanyak menyuntik semangat untuk saya kembali berjuang,” ujarnya yang memilih bisnes kerusi roda sebagai pendapatan baharu pada tahun 2017.
Cerita Azarin, minat yang cukup mendalam dalam dunia permotoran membuatkan dirinya mahu mencipta inovasi kerusi roda yang lain daripada lain dan sesuai untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU).
Tidak hanya model manual semata-mata, usahawan berjaya itu juga menghasilkan kerusi roda bermotor untuk memudahkan OKU bergerak aktif sama ada bersukan, beriadah dan sebagainya.
"Jadi, nak dijadikan cerita saya terlihat satu model dari Taiwan dalam satu pameran antarabangsa. Saya beli satu dan mengubah suai mengikut kesesuaian OKU.
Lebih membanggakan, pemilik label Gospeedi itu sedang merangka perancangan cukup strategik demi mengembangkan lagi sayap rangkaian produk pada masa akan datang.
Tatkala ditanya soal harga, suami kepada Siti Ros Ali itu berkata, ia mungkin dijual pada harga lebih kurang RM40,000 selepas meneliti beberapa faktor termasuk kelulusan pihak berkuasa.
Ubah pemikiran
Di sebalik kejayaan yang dikecapi bapa berusia 51 tahun itu, sebenarnya terdapat cerita memilukan yang agak sukar untuk dilupakan Azarin buat selama-lamanya.
"Sesiapa pun diuji dengan dugaan seperti ini, pasti hilang semangat jiwanya. Percayalah tanpa sokongan yang kuat, tak mungkin saya boleh berada di tempat sekarang ini,” ujarnya.
Justeru, beliau menitipkan kata-kata semangat buat mereka yang senasib supaya keluar daripada kepompong kemurungan dan mencari grup sokongan yang boleh membantu.
Nasihat Azarin lagi, jangan sesekali menyalahkan takdir buat mereka yang diduga dengan kelainan upaya sama ada sejak dilahirkan atau secara tiba-tiba.
"Sebab itu, keluarlah dan dekatilah kumpulan OKU berhampiran supaya kita dapat berkongsi semangat juang bersama-sama meskipun serba kekurangan,” katanya menutup perbualan.