TIDAK semua orang lahir dengan dulang emas di tangan. Ada yang bermula dengan tangan kasar memegang sayur di tepi jalan, berpanas berhujan demi upah RM20 sehari.
Namun siapa sangka, wanita yang pernah menjaja sosej dan berniaga di pasar kini berdiri megah sebagai pemilik rangkaian kedai emas sendiri.
Itulah perjalanan hidup Fatin Adriana Muhammad Mazri, anak kelahiran Kelantan yang membuktikan latar belakang bukan penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, wanita berusia 32 tahun itu sudah biasa memikul tanggungjawab sejak remaja.
Seusai SPM, dia memilih untuk tidak menyambung pengajian. Bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana minatnya lebih cenderung kepada mencari rezeki sendiri.
Baginya, melihat keringat ibu bapa membesarkan mereka sudah cukup menjadi sebab untuk berdikari lebih awal.
“Kalau belajar cari duit, memang saya suka,” kongsinya ringkas namun penuh makna.
Sebelum lahirnya Adriana Gold, hidupnya diwarnai pelbagai pengalaman kerja. Daripada penjual sayur, sosej jalanan hinggalah menjual beg.
Selepas berkahwin dengan arwah suami yang bertugas sebagai polis bantuan lapangan terbang, Fatin Adriana berpindah ke Sepang dan terus bekerja kerana tidak betah duduk diam.
Namun, demi masa bersama keluarga, arwah suami memintanya berhenti kerja. Keputusan itu berat, apatah lagi dirinya sudah terbiasa memegang wang sendiri.
Dalam fasa itulah dia mula mengenali dunia emas secara ansuran melalui seorang rakan.
"Sebelum itu, saya memaklumkan pada kawan tentang permintaan arwah suami yang meminta saya berhenti kerja.
"Jadi, saya mungkin tidak lagi mampu membeli emas, rakan itu memberi cadangan supaya menjual emas sendiri.
"Minat saya terhadap emas bukan sekadar membeli, tetapi tidak sangka akhirnya membuka jalan baharu dalam hidup kami sekeluarga," dedahnya.
Bermula sebagai dropship sekitar sedekad lalu, Fatin Adriana tidak menyangka langkah kecil itu menjadi asas kepada legasi besar hari ini.
Berkongsi rezeki
Dugaan bagaimanapun datang bertimpa-timpa. Selepas pemergian suami tercinta, dirinya diuji lagi apabila ditipu pembekal emas sehingga kerugian ribuan ringgit.
Namun wanita cekal tersebut memilih untuk bangkit, bukan meratap. Selepas pemergian arwah, dia menyertai kelas pembangunan diri dan bisnes, memperkukuh ilmu serta strategi.
Daripada situ, cara fikirnya berubah. Berniaga bukan lagi sekadar menjual, tetapi membina sistem, jenama dan kepimpinan.
Hari ini, Adriana Gold berkembang dengan tiga cawangan dan mempunyai pasukan tersendiri. Dalam industri emas yang persaingannya sengit, dia percaya ilmu menjadi pembeza utama.
“Cepat atau lambat, bezanya pada ilmu. Sebab itu saya tak berhenti belajar,” ujarnya.
Walaupun hanya berkelulusan SPM, Fatin Adriana tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan. Malah, adik-adiknya turut bersama dalam legasi perniagaan yang dibina.
Kata-kata sinis saudara-mara yang pernah memandang rendah keluarganya menjadi bahan bakar semangat untuk membuktikan kemampuan.
“Aku akan ubah kehidupan keluarga aku,” tekadnya yang baru-baru ini menerima Anugerah Titan Grandeur Award menerusi Majlis Titan Business Leadership Award 2026 anjuran Richworks Consulting Group Sdn Bhd (RCG).
Bagi empunya diri, anugerah yang diterima bukan penamat, tetapi permulaan untuk melangkah lebih jauh.
Dalam kehidupan peribadi, dia kembali menemui bahagia dan kini bergelar isteri serta ibu kepada tiga cahaya mata.
Ujian kehilangan tidak memadam sinar masa depan, sebaliknya membentuk dirinya menjadi lebih matang dan kuat.
Lebih mengharukan, Adriana menetapkan prinsip berkongsi rezeki sebagai sebahagian daripada matlamat hidup. Setiap sasaran keuntungan datang bersama janji untuk memberi manfaat kepada orang lain.
“Sentiasa reda dengan ujian-NYA, bersangka baik dan konsisten dalam tindakan. Nak lebih, perlu buat lebih,” katanya penuh yakin.