'PhD coming soon.' Dari pondok ke universiti, perjalanan akademik Da’i Hamidah jadi inspirasi, istiqamah menuntut ilmu

Iklan

PENDAKWAH Da'i Hamidah menjadi inspirasi ramai. Status ringkas 'PhD coming soon' yang dikongsinya baru-baru ini menarik perhatian ramai. 

Namun lebih mencuri tumpuan ialah pesanan beliau tentang erti syukur dan keberkatan dalam setiap kejayaan selepas apabila berkongsi  akademiknya.

Iklan
Iklan

Da’i Hamidah atau nama sebenarnya, Hamidah Abdul Razak, 33, menitipkan syukur selamat menamatkan pengajian peringkat sarjana dan bercita-cita untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat  Doktor Falsafah.

Anak kelahiran Kedah yang kini bergelar pendidik di sekolah di Pulau Pinang kembali mengimbau kenangan. Bermula dari sekolah agama dan pondok, beliau kemudian menggenggam Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) pada tahun 2022.

Iklan

"Alhamdulillah throwback sedikit selesai segala sijil pengajian. Bermula dengan Syahadah Thanawi,  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pondok, ijazah sarjana muda, diploma perguruan dan ijazah sarjana.

Iklan

"Doktor Falsafah (PhD)… coming soon insya-ALLAH," kongsinya.

Da'i Hamidah atau nama penuhnya Hamidah Abdul Razak menyifatkan pencapaian akademiknya itu hanya mampu diraih dengan izin dan rahmat daripada ALLAH.

“Kita mampu menghadapi segala cabaran dan mencapai apa yang kita impikan bukan kerana kita hebat, tetapi kerana ALLAH yang mengizinkan. 

"Boleh jadi setiap kejayaan itu hadir asbab daripada berkat daripada kebaikan ibu bapa kita.

"Maka, setiap kali kita berjaya, kembalilah berterima kasih kepada ALLAH azza wa jalla. Jangan lupa menghargai ibu bapa, para guru serta insan-insan yang sentiasa membantu di sepanjang perjalanan hidup kita.

"Alhamdulillah masya-ALLAH tabarakallah, haza min fadhli robbi. Mohon doa semua ya. Perjalanan ilmu tidak pernah ada noktah," kongsinya.

Untuk rekod, Juara Da’i Pendakwah Milenia Musim Ketiga (2015) itu mendapat pendidikan menengah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena Kedah.

Da'i Hamidah kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Akidah dan Agama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum meraih Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Bukan calang-calang pencapaian akademiknya. Dalam menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata, beliau tetap istiqamah menuntut ilmu hingga ke peringkat sarjana.

Suri hati kepada Dr Ahmad Salman Mohamad Jan dan bonda kepada tiga cahaya mata ini membuktikan bahawa usia, komitmen serta peranan dalam keluarga bukan penghalang untuk terus melangkah. 

Semoga impian menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dipermudahkan dan menjadi satu lagi lembaran manis dalam perjalanan ilmu Da'i Hamidah.