SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga mengimpikan untuk memiliki zuriat sendiri sebagai penyambung keturunan.
Anak bukan sahaja rezeki, tetapi amanah terbesar yang akan menguji setiap mereka yang bergelar ibu dan bapa dalam usaha mendidik hingga mampu untuk berdikari sendiri.
Lebih-lebih lagi ujian dalam membesarkan anak yang ada masalah dalam perkembangan atau tergolong dalam orang kelainan upaya (OKU).
Sedangkan membesarkan anak yang cukup sifat fizikal dan mentalnya pun mampu menggoyahkan kesabaran orang tuanya, apatah lagi golongan istimewa ini.
Namun itu bukan menjadi asbab untuk ibu atau ayah melepaskan diri dari memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk dijaga, seperti kes yang dikongsikan oleh seorang doktor perubatan dan juga pempengaruh media sosial, Dr Say.
Menerusi perkongsiannya di laman TikTok, beliau didatangi seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan bekas suaminya selapas mengetahui anak mereka menghidap autisme.
"Pagi tadi dalam pukul lima, saya didatangi oleh seorang pesakit dan juga pengikut. Dia berterima kasih sebab saya banyak keluarkan konten mengenai autisme sebab anaknya juga alami situasi sama.
"Yang buat saya sayu adalah apabila dia cakap, doktor bagus sebab tetap bersama anak autistik, bekas suami tinggalkan saya bila dapat tahu anak kami autisme, dia tak boleh terima anak kami sebegitu," kongsi bapa kepada dua cahaya mata itu.
Tambah Dr say atau nama sebenarnya Muhammad Shazril Shaharuddin lagi, sepatutnya perasaan malu tidak seharusnya timbul dalam diri kerana ada balasan baik yang akan diberikan oleh Allah SWT jika menjaga anak istimewa.
Malah, dirinya dilimpahkan rezeki yang lebih banyak selepas menjaga anak sulungnya yang merupakan seorang autisme itu.
"Saya terfikir, kenapa lelaki nak malu dapat anak sebegini? Mereka tak tahu ke yang mereka dah ada kunci ke syurga?
"Nak kata anak istimewa ini membebankan..ALLAH takkan uji kalau DIA tahu kita tak mampu.
"Bila ada anak autisme ini, rezeki yang saya dapat adalah lebih daripada pendapatan biasa," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Say turut mendedahkan, dalam perkara tersebut, bukan salah wanita yang melahirkan, tetapi dalam kebanyakan kes, bapa adalah pembawa genetik autisme.
"Nak salahkan isteri sebab melahirkan anak autism? Tahu tak, genetik pembawa autisme kebanyakannya diwarisi daripada bapa.
"Jadi, kepada bapa-bapa yang malu atau rasa anak istimewa ini membebankan, tolonglah ubah mindset kalian. Kita sepatutnya berbangga dan bersyukur dapat anak syurga sebegini," tegasnya.
Tak mengapa, mungkin anda rasa 'penat' jaga mereka di dunia, tetapi di sana nanti anda boleh 'rehat' sama-sama dengan mereka di syurga. Ya ibu ayah yang kuat?