Seorang diri cari nafkah & urus keluarga, surat cinta anak-anak pengubat duka ibu tunggal ini. 'Tak perlu sorok emosi'

Iklan

Seoranng ibu tunggal besarkan anak seorang diri berbelas tahun.

SEDANGKAN pasangan yang sama-sama menjaga dan membesarkan anak pun kadangkala tak menang tangan, apatah lagi jika perlu menggalas tanggungjawab ini seorang diri.

Sudahlah perlu membesarkan empat orang anak sendirian, ditambah pula terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Iklan
Iklan

Itulah pengorbanan wanita tabah dan kuat bernama Leny Adam yang membesarkan anak-anak seorang diri sepanjang belasan tahun.

Leny dan anaknya, Alif Aswad baru-baru ini terpilih sebagai pemenang pertandingan Surat Cinta Ibu dan Ayah anjuran SinarPlus. Dalam 10 peserta yang telah disenarai pendek, mereka diumumkan sebagai naib juara dalam satu majlis Hi Tea Surat Cinta Ibu Ayah Jun lalu.

Iklan

"Sejak menjadi ibu tunggal, fokus saya hanyalah beri kasih sayang sepenuhnya pada anak-anak dan bekerja dengan lebih kuat demi menyediakan yang terbaik untuk mereka.

"Saya tidak mahu mereka rasa terabai dan kurang daripada rakan-rakan yang lain. Sebolehnya saya akan berusaha semampu diri untuk memberikan kebahagiaan mengikut cara sendiri.

Iklan

"Antaranya, setiap tahun kami akan meraikan hari ulang tahun kelahiran semua ahli keluarga agar mereka rasa dihargai termasuklah saya. Kebiasaannya, mereka akan berebut-rebut membeli hadiah untuk saya.

"Semasa mereka masih kecil, saya akan duduk di satu tempat di dalam pasaraya menunggu mereka belikan hadiah menggunakan kad bank saya dengan jumlah yang telah ditetapkan. Apabila sudah menginjak dewasa dan pandai menyimpan wang saku sekolah, mereka belikan hadiah ikut cita rasa mereka seperti bunga, periuk, kelengkapan olahraga dan sebagainya," katanya.

Akui Leny, beliau tidak menjadikan gelaran ibu tunggal untuk berduka memikirkan nasib diri dan anak-anak. Malahan baginya, bukan mudah untuk menerima insan baharu untuk memimpin keluarga kerana sudah terbiasa uruskan sendiri dan perlu memikirkan perasaan anak-anak.

Memiliki anak lengkap dua pasang lelaki dan perempuan, Leny selalu mengingatkan mereka supaya mengamalkan komunikasi yang baik antara satu sama lain.

"Mudah untuk rapatkan hubungan anak-anak, mereka hanya perlu berkomunikasi antara satu sama lain sahaja. Sebagai ibu juga, kita tidak perlu sorok emosi. Saya sentiasa berkongsi perasaan sedih, suka dan duka dengan anak-anak. Ini membuatkan mereka lebih memahami kita dan akan cuba memberi nasihat jika diperlukan.

"Ada masa kami rapat seperti kawan, ada harinya kami juga akan bercakaran seperti orang lain. Maklumlah anak muda sekarang tidak suka dikongkong. Saya juga mengenali semua kawan anak-anak saya dan sesekali kami akan keluar beriadah bersama," ujar Leny.

Tak malu jalan pimpin tangan

Bercerita tentang pertandingan yang disertai, akui Leny dah menjadi kebiasaan untuknya menerima surat cinta dari anak-anak seawal mereka mahir menulis.

"Dulu waktu mereka kecil, banyak surat yang mereka tulis dan letak di merata-rata tempat seperti bawah bantal, dalam baju yang dilipat, dalam beg kerja dan bawah pintu bilik.

"Surat yang ditulis bukan hanya terkandung luahan rindu dan ungkapan sayang, ia juga termasuk juga permintan maaf dan apa-apa keperluan yang mereka perlukan. Itulah pengubat duka dan bahagia sebagai seorang ibu," luahnya.

Pertandingan Surat Cinta Ibu dan Ayah disertai oleh anak ketiganya, Alif. Menurut Leny, Alif adalah anak yang sangat lembut hatinya dan selalu mengalah untuk adik-beradik yang lain.

"Dia seorang yang mudah ditegur dan juga sangat penyayang. Jadi bila ada peraduan surat cinta rasanya bukan lah masalah besar untuk Alif meluahkan kasih sayang dia pada seorang ibu.

"Alif dan adik-beradik yang lain juga tak pernah kekok untuk mencium, memeluk saya ketika berada di luar rumah. Malah, tiada istilah malu untuk jalan berpimpin tangan walaupun masing-masing sudah besar," jelasnya lagi.

Akhir kata, Leny sempat titipkan nasihat buat ibu bapa di luar sana supaya sentiasa berfikiran positif dan percaya Allah sentiasa ada bersama. Jangan terlalu percaya dan mengadu pada manusia lain untuk mengelakkan menjadi bahan cerita. Cari kawan yang betul-betul memahami untuk dijadikan tempat mengadu