MUSIM durian sekarang ini membuatkan ramai tak lepaskan peluang untuk mendapatkan raja buah, sama ada untuk makan sendiri atau jamu tetamu yang datang rumah.
Tak kisahlah apa juga jenis durian yang terjual di pasaran, ramai yang memilih untuk membeli buah kegemaran yang kena dengan bajet. Mungkin lagi jimat kalau beli pukal.
Baru-baru ini tular carta yang menyenaraikan ranking durian yang mana paling sedap dan dicari ramai setiap kali musimnya tiba.
Nampaknya, Musang King, Udang Merah dan Black Thorn antara carian paling tinggi di Malaysia. Padanlah harganya pun mahal kalau gred premium, kan?
Level kedua pula menyenaraikan durian jenis XO, D24 dan Tekka manakala Bekok, Golden Bun, Golden Pheonix dan Khun Poh menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori biasa-biasa pula, durian kampung, Lipan, Hor Lor, Kampung, D11, Capri dan D88 turut disenaraikan.
Jika merujuk perkongsian fakta daripada Top Fruit, 10 jenis buah durian terbaik yang wajib dicuba di Malaysia, antaranya Black Thorn D200, Musang King D197 dan Sultan King D24.
Info menarik mengenai Black Thorn D200 seperti berikut:
i) Pertama kali ditanam di Pulau Pinang.
ii) Bentuknya bulat dengan pancang lebih pendek berbanding durian lain.
iii) Isi warga lebih kepada kuning hingga oren keemasan dengan tekstur lembut.
iv) Musim lazimnya pada akhir Julai atau awal Ogos.
Padanlah harga boleh cecah ratusan ringgit untuk sebiji saja. Tak salah kalau ada bajet lebih kalau nak rasa durian kayangan.
Soal rasa dan minat sebenarnya bergantung kepada selera masing-masing. Kadang-kadang, durian biasa-biasa pun sudah cukup untuk mereka nak lepaskan rasa teringin.
Perkongsian Hariss Daniel dalam grup Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini ternyata mencuit hati apabila mempertikaikan kenapa durian kampung tak menjadi pilihan paling top?
Mungkin bagi peminat durian kampung terutamanya dari Batu Kurau, Perak boleh sangkal sebab buah dari sana memang sedap-sedap, kan?
Bagi pandangan Adha Ariffin, buah mahal memang sedap tetapi tak boleh makan banyak sebab akan jadi muak.
"Apa-apa pun lain orang, lain tekak dia. Cita rasa lain-lain tapi untuk aku, durian kampung tetap pilihan hati dan perut,” kongsinya.
Khairul Maryana Tales pula berpendapat, mereka yang cakap durian kampung sedap mungkin sebab belum pernah atau sekali dua makan durian yang sedap itu.
"Umpama orang kampung kata daging tempatan lagi sedap daripada import sebab dia orang tak pernah rasa black angus atau wagyu,” tulisnya.
Bagi Amier Izzuddin, betullah list yang dikongsikan. Durian kampung bukannya tak sedap tetapi kebanyakan orang kita sudah biasa makan.
"Udang Merah memang lentok dibuatnya. Beza rasanya, tapi bukan maksudnya durian kampung tak sedap,” katanya yang juga seorang penggemar durian.
Apa kata kalian? Mana lagi sedap? Sekali lagi, ia bergantung kepada selera masing-masing. Tak usahlah gaduh-gaduh, yang penting kita sokong buah tempatan.