KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 ditutup bermula Jumaat susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
KPM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, penutupan turut melibatkan kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, berkuat kuasa mulai Isnin susulan keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, dalam kenyataannya memaklumkan beberapa langkah diambil berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda di negara ini termasuk penutupan institusi di bawah KPM dan pelaksaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Berikut info penting berkaitan:
1. Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026.
2. Bagi kawasaan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut hendaklah ditutup bermula pada Isnin, 12 Oktober 2026.
4. Dalam tempoh pelaksanaan ini, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
5. Berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh pelaksanaan penutupan.
"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang dimaklumkan seperti di atas.
"KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara sebagaimana titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid dan pelajar sekolah. Titah baginda, IPU yang berpanjangan dengan bacaan antara 150 hingga 180 memerlukan tindakan sewajarnya, termasuk penutupan sekolah di kawasan terjejas
Menurut Seri Paduka Baginda, aspek kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu diberi keutamaan, selain meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Senantiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada Rabu, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari bermula Khamis susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri.
Penutupan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.
Imbas kembali bulan lalu, Semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian ditutup pada 24 September selepas bacaan IPU melebihi 200.