Sebagai mak ayah, pasti tahu karenah anak-anak mereka, kan. Lebih-lebih lagi ketika nak keluar berjalan, ada sahaja ‘peel’ yang ditunjukkan bila berada di khalayak ramai. Ini termasuklah ketika menaiki pengangkutan awam.
Selalunya bila berhadapan situasi sebegitu, mak ayah sudah sediakan awal-awal ‘senjata’ yang perlu digunakan jika anak-anak buat hal.
Pelbagai jenis ‘umpan’ dibawa untuk tarik semula perhatian anak-anak bila mereka sudah hilang fokus terhadap sesuatu.
Ada yang sediakan makanan, mainan atau lebih mudah zaman teknologi masa kini hanya sediakan telefon pintar dan buka video kegemaran mereka.
Namun, lain pula tindakan seorang bapa ini yang berjaya menarik perhatian ramai kerana apa yang dilakukan oleh anak kecilnya itu sememangnya di luar jangkaan.
Dalam video yang tular baru-baru ini, dapat dilihat seorang ayah memberi sayur kubis bulat kepada anaknya ketika berada di dalam kereta api.
Tatkala mungkin kanak-kanak lain di usianya sedang kusyuk menonton video, dia bersungguh-sungguh menarik setiap lapisan kubis tersebut dan meletakkan di atas meja yang tersedia di setiap kerusi penumpang.
Si ayah berbuat demikian untuk memastikan anaknya itu tidak mengganggu ketenteraman di dalam kereta api berkelajuan tinggi tersebut.
Memetik laporan SCMP News, lelaki berkenaan menjelaskan, pemberian kubis bulat kepada anaknya sepanjang perjalanan dari Kunming, Yunnan bertujuan untuk menghilangkan kebosanan.
Lebih sejam
Kata pemilik video itu, kanak-kanak tersebut memberi perhatian kepada kubis bulat lebih dari sejam.
Setelah sampai ke tempat yang dituju, si kecil dan bapanya mengutip semula kubis tersebut dan dimasukkan ke dalam plastik sampah.
Video tersebut dibanjiri komen oleh warganet di mana rata-rata memuji tindakan si ayah.
Kanak-kanak itu juga dikatakan tidak cepat bosan dan fokus terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.
"Jika kanak-kanak itu boleh mengupas selama sejam, itu menunjukkan dia mempunyai fokus yang kuat. Ramai kanak-kanak akan hilang minat dalam beberapa minit dan mula bermain dengan sesuatu yang lain. Dia mungkin pelajar terbaik pada masa hadapan,” kata netizen.
Pengajaran buat ibu bapa di luar sana juga. Selain beri gajet, dahulukan benda lain yang boleh curi perhatian anak-anak. Atau bermain bersama mereka. Jadikan gajet pilihan terakhir untuk anak-anak. Ok?