“Kalau apa-apa jadi dekat Mama, Kak Lang kena pergi konvo.”
Pesanan itu mungkin kedengaran sederhana, namun buat Norhamizah Afiqah Shaharil, 25, ia menjadi amanat yang cukup berat untuk ditunaikan.
Ibu yang begitu mengimpikan detik melihat anaknya menggenggam kejayaan akhirnya pergi buat selama-lamanya, hanya beberapa minggu sebelum hari konvokesyen.
Biarpun kehilangan insan tersayang meninggalkan luka yang sukar digambarkan, Norhamizah tetap memilih untuk hadir ke istiadat konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Langkah itu bukan sekadar meraikan kejayaan memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC), tetapi juga memenuhi permintaan terakhir wanita yang menjadi sumber kekuatannya selama ini.
Segalanya bermula dengan impian sederhana seorang anak yang mahu membanggakan keluarga menerusi pencapaian akademik.
Sejak awal pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman, Fakulti Alam Bina, Norhamizah menyimpan hasrat untuk menggenggam ANC.
Namun, ketika berada di semester ketujuh, impian tersebut diuji dengan berita yang langsung tidak diduga.
Ibunya, yang sebelum itu menjalani kehidupan seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang gejala, disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Lebih mengejutkan, doktor menjangkakan wanita berkenaan mungkin hanya mempunyai tempoh hayat sekitar dua bulan.
Bagi Norhamizah, berita itu seolah-olah mengubah seluruh kehidupannya. Dalam satu masa, beliau perlu menyelesaikan pengajian, menyiapkan tugasan akhir dan berdepan kemungkinan kehilangan insan paling rapat dalam hidupnya.
Namun, ibunya tidak pernah menunjukkan sikap mengalah meskipun berdepan penyakit serius.
“Mak saya seorang yang sangat kuat dan positif. Walaupun doktor beritahu tentang jangka hayatnya, mama tetap percaya selagi ada keajaiban daripada ALLAH SWT, selagi itu masih ada harapan,” katanya.
Semangat ibunya itu sedikit sebanyak menjadi kekuatan buat Norhamizah untuk meneruskan pengajian.
Walaupun pernah terlintas untuk berhenti belajar demi menjaga wanita berkenaan, sokongan keluarga membuatkan dirinya kembali mengumpul kekuatan.
Bagaimanapun, keadaan semakin mencabar apabila kesihatan ibunya merosot menjelang September lalu.
Daripada seorang wanita yang sentiasa kuat, arwah akhirnya terlantar dan tidak lagi mampu bangun seperti sebelumnya.
Satu ungkapan yang keluar daripada mulut ibunya ketika itu masih segar dalam ingatan Norhamizah.
“Buat pertama kali, saya dengar mama cakap, ‘Mama dah tak kuat.’ Sedangkan selama ini, mama seorang yang sangat kuat,” ujarnya.
Di sebalik kesakitan yang ditanggung, ibunya masih memikirkan hari besar anaknya. Malah, berita kejayaan Norhamizah memperoleh ANC disambut dengan linangan air mata kegembiraan.
Tidak cukup sekadar memberikan kata-kata semangat, arwah turut mengambil kesempatan menyediakan segala keperluan konvokesyen anaknya. Pakaian dan kasut sudah dibeli, manakala urusan tempahan hotel serta penginapan juga sempat diuruskan.
Bagi seorang ibu, mungkin itulah antara cara terakhir untuk memastikan anaknya menikmati hari yang sudah lama dinantikan.
Namun, Norhamizah sebenarnya mempunyai kebimbangan yang tidak pernah diluahkan. Beliau sudah menetapkan dalam hati bahawa sekiranya ibunya meninggal dunia sebelum konvokesyen, beliau tidak akan menghadiri majlis tersebut.
Sebab itulah pertanyaan ibunya mengenai tarikh konvokesyen ketika dirawat di hospital cukup mengejutkan.
“Saya terus menangis sebab mama seolah-olah tahu apa yang saya sedang fikirkan ketika itu,” kongsinya lagi.
Pada 6 Oktober 2026, dia terpaksa akur apabila kehilangan ibunya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun.
Pemergian itu bukan sekadar kehilangan seorang ibu, malah insan yang selama ini menjadi tempat beliau berkongsi segala-galanya.
Hubungan mereka begitu rapat sehingga perkara kecil dalam kehidupan seharian juga tidak pernah terlepas daripada pengetahuan arwah.
“Kalau hujan pun, saya akan mesej mama dan minta mama doakan supaya hujan berhenti. Benda kecil macam itu pun saya kongsi dengan mama.
“Bila mama dah tak ada, memang sangat terasa,” katanya.
Antara kenangan yang paling dihargai Norhamizah ialah sesi fotografi pra-konvokesyen bersama ibunya. Ketika itu, keadaan arwah sudah terlalu lemah sehingga sukar membuka mata.
Namun, wanita tersebut tetap berusaha membuka mata ketika kamera merakamkan gambar mereka bersama.
Walaupun mungkin kelihatan seperti sesi fotografi biasa bagi orang lain, gambar tersebut kini menjadi kenangan yang tidak ternilai.
Sekurang-kurangnya, Norhamizah mempunyai sekeping memori visual bersama insan yang paling ingin berkongsi kegembiraan pada hari konvokesyennya.
Kini, beliau yang bekerja sebagai pereka dalaman junior membawa satu perspektif berbeza terhadap kejayaan yang dicapai. ANC yang diterima bukan hanya hasil usaha sepanjang pengajian, tetapi turut mengingatkan dirinya tentang pengorbanan keluarga dan ketabahan seorang ibu.
Mengimbas perjalanan tersebut, Norhamizah menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan ujian sepanjang pengajian.
“Kalau ada cabaran atau dugaan, teruskan sahaja. Kita tak tahu rezeki ALLAH itu sangat luas. Kadang-kadang kita rasa seperti sudah tersepit di satu jalan, tetapi sebenarnya masih ada banyak jalan lain.
“Saya sendiri pernah rasa sudah tidak mampu untuk teruskan. Tetapi dengan bimbingan keluarga, saya pilih untuk habiskan pengajian,” katanya.
Bagi Norhamizah, kejayaan kali ini mungkin tidak diraikan seperti yang pernah dibayangkan. Tiada lagi ibu yang menunggu dengan penuh keterujaan atau insan tersayang yang dapat menyaksikan sendiri anaknya menerima pengiktirafan.
Namun, segala persiapan yang ditinggalkan arwah menjadi bukti bahawa impian seorang ibu tidak pernah terhenti meskipun dirinya sudah tiada.
Norhamizah akhirnya menyarungkan pakaian konvokesyen dan melangkah ke pentas seperti yang diminta. Sebuah janji sudah ditunaikan, sementara kasih seorang ibu akan terus dibawa bersama dalam setiap langkah kehidupannya.