PEMERGIAN graduan Universiti Perguruan Sultan Idris, Nur Farah Kartini cukup menyayat hati. Tular di laman sosial TikTok nasihat yang dititipkan buat bekas anak didiknya yang menyentuh hati.
Pengguna laman sosial itu yang dikenali sebagai Tasya mendedahkan beliau adalah bekas pelajar Nur Farah Kartini berkongsi paparan mesej berbentuk kata-kata positif arwah yang dikirim arwah berkaitan persahabatan.
Menerusi perkongsian tersebut, Nur Farah mengingatkan bekas pelajarnya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada ketika itu agar tidak takut tiada ramai kawan dan mencari lingkungan pergaulan baik.
"Cikgu nak awak sentiasa kuat. Jangan sedih-sedih tau. Awak nak hadapi peperiksaan SPM nanti, fokus belajar.
"Kalau takut tak ada kawan, awak cari kawan yang awak boleh percaya. Kalau tak ada, cari yang hanya sekadar kawan bagi awak. Maksudnya bila masa dia ada, adalah tu. Kalau tak ada, biarkan dia.
Kepada pelajar berkenaan, Nur Farah turut menasihatkan Tasya untuk memfokuskan kepada masa depan dan bersedia mendengar luahan bekas pelajarnya itu.
"Semua sudah besar kan? Sekarang ini fasa membina masa hadapan. Tak kisahlah bagaimana orang sekeliling kita, yang penting itu diri kita. Bila berjaya suatu hari nanti, akan jumpa lagi ramai orang tau.
"Sekarang ni, kalau rasa alone is better, teruskan. Tapi, satu cikgu pesan, jangan memendam perasaan sangat. Tidak baik untuk emosi, sekurang-kurangnya cari orang yang boleh dipercayai untuk awak luahkan apa yang dirasakan.
Perkongsian bekas pelajar Nur Farah Kartini itu cukup menyentuh hati dan membuatkan ramai merasakan ketulusan hati arwah. Tidak kurang yang menitiskan air mata! Ujar mereka:
"Dia dengar luahan orang namun tiada siapa mendengar luahannya. Syurga tempatmu Nur Farah Kartini."
"Sedihnya baca, Semoga tenang di sana Allahyarhamah Nur Farah Kartini."
"Deep sangat nasihat dia, tulus dan ikhlas."
"Allahuakbar, sedih bila ramai mula menceritakan yang baik tentang arwah, moga syurga buatnya."
Terdahulu, mayat Nur Farah ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada pukul 6 petang, Isnin selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai.
Lebih memilukan, jasad wanita itu dikatakan hampir reput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kecederaan yang dialami mangsa masih belum dapat ditentukan susulan ia sudah mereput pada muka dan dada.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: ntasyalv