PEMERGIAN Nur Farah Kartini sehingga kini menyentuh hati ramai dan diperkata ramai.
Hilang selama enam hari sebelum ditemui maut dalam keadaan tragis, pemergian gadis mesra disapa Faa itu meruntun hati ahli keluarga rakan-rakan.
Disenangi ramai, justeru tidak hairanlah pengebumian Allahyarham dihadiri rakan pengajian dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
Tidak menduga kehilangan Nur Farah, ramai tidak dapat menahan emosi menitiskan air mata.
Dikenali sebagai seorang yang sopan, lembut tutur kata dan prihatin dalam kalangan sahabat, salah seorang rakan Allahyarham sebak dan gagal menahan emosi mengenangkan kebaikannya. Pemuda tersebut juga merupakan bekas pelajar UPSI.
"Saya dan Farah berjumpa di program kepimpinan di universiti. Sepanjang kami kenal, arwah sangat baik.
"Arwah tidak pernah bahasakan dirinya ‘aku’, dia bercakap dengan lemah lembut dan bahasakan dirinya sebagai ‘Faa’," katanya.
Malah dalam sebak, beliau juga mengakui graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian itu tidak berkira membantunya di hospital ketika terlibat dalam kemalangan.
"Apabila dia tak ada saya tak dapat cari..dia sangat baik," katanya.
Dalam pada itu, pemuda itu berharap kematian mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Media tak perlu buktikan dia baik, dunia boleh buktikan.
"Kita doakan untuk dia dan semoga dia mendapat keadilan di dunia dan di akhirat," katanya
Terdahulu, SinarPlus melaporkan mayat wanita dipercayai Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemukan enam hari kemudian ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, Isnin.
Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Sumber: TikTok