Neelofa dedah anak suka makan capati, suami puji masakan. 'Impian saya nak jadi suri rumah & ibu sepenuh masa'

Iklan

Belum meletakkan noktah dalam karier sebagai anak seni, pemilik jenama Naelofar Hijab itu mendedahkan kenapa kini lebih gemar berada di rumah

SEBUT sahaja nama Neelofa, pasti ramai membayangkan kehidupan wanita penuh pesona ini.

Manakan tidak, beliau memiliki apa yang didambakan setiap wanita. Raut wajah jelita, kerjaya hebat dan kehidupan rumah tangga yang bahagia. Cukup rencah dan lengkap segala segi.

Iklan
Iklan

Justeru, ramai yang mencemburui, tidak kurang yang menjadikan diri selebriti itu sebagai idola untuk mengecap kejayaan yang sama.

Pun demikian, tidak semuanya indah-indah belaka. Tuan punya badan turut dibanjiri pelbagai kontroversi seiring dengan kemanisan yang beliau kecapi.

Iklan

Bahkan, ada yang mengatakan kontroversi dan Noor Neelofa Mohd Noor ibarat irama dan lagu, tak dapat dipisahkan. Setiap kali tampil di media sosial, pasti ada sahaja perkara yang mencetuskan kritikan mahupun kecaman.

Alah bisa tegal biasa, Neelofa seolah-olah sudah lali dengan perkara tersebut.

Iklan

Pemilik trofi Pengacara TV Wanita Popular tiga kali pada ABPBH 27, ABPBH 29 dan ABPBH 30 itu bagaimanapun dilihat seolah-olah menarik ‘brek‘ dalam dunia seni selepas bergelar suri hati kepada Muhammad Haris Mohd Ismail atau mesra disapa PU Riz.

Pasangan sama cantik sama padan itu sah menjadi suami isteri pada 27 Mac 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua putera, Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, 1.

Usai mendirikan mahligai bahagia bersama PU Riz dan memiliki cahaya mata, populariti bukan lagi menjadi garis pengukur kejayaan kepada pemilik jenama Naelofar Hijab itu.

Empunya diri dilihat lebih suka duduk di rumah melayan dua putera kesayangannya. Kata Neelofa, mereka masih lagi kecil dan memerlukan perhatian khusus.

"Sejak dahulu lagi, memang menjadi impian saya untuk menjadi suri rumah dan ibu sepenuh masa untuk anak-anak. Itulah yang saya khabarkan kepada suami dan alhamdulillah beliau menyokong.

"Saya mahu mereka (anak-anak) dan suami menikmati air tangan ibunya dan makan masakan di rumah berbanding mengambil makanan diproses,” dedah anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu.

Enggan dedah wajah anak

Berbicara lanjut akan ‘dream job‘ terbaharunya itu, kata Neelofa, setiap pagi beliau bangun awal untuk menyediakan sarapan untuk sekeluarga.

"Walaupun tidaklah setiap hari memasak untuk suami dan anak-anak, namun saya gembira apabila melihat menyukai masakan saya.

"Soal bisnes Nunha tidak menjadi masalah kerana ada staf yang membantu. Sementelah Haris (suami) ada untuk uruskan. Cuma, saya mahu jadi seorang ibu yang hands on."Biarpun di rumah ada pembantu, bab mandikan anak, memasak dan sebagainya saya yang akan uruskan,” ujar pengacara Next To Neelofa itu lagi.

Berbicara soal kerjaya, si cantik manis itu bagaimanapun menolak dakwaan sudah mahu bersara daripada bidang seni.

"Mungkin orang lihat saya jarang muncul dalam mana-mana program membuatkan mereka fikir saya enggan aktif lagi dalam bidang seni. Sebenarnya, saya belum mahu bersara atau terlintas untuk berbuat demikian (mengundurkan diri ) buat masa sekarang.

"Cuma, jika ada kesempatan untuk muncul sekali-sekala dalam industri, maka saya akan berbuat demikian,” tegas bekas graduan Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Universiti Sunway itu lagi.

Dalam pada itu, wanita berusia 35 tahun itu turut menjawab persoalan mengenai wajah anak-anaknya yang sehingga kini belum benar-benar didedahkan kepada umum.

"Setakat ini saya dan suami sepakat untuk selesa begini tanpa perlu dedahkan wajah Bilal dan Abbas. Walaupun mungkin wajah kedua-duanya sudah dilihat ramai, namun saya tetap kaburkan jika berkongsi dalam media sosial.

"Kami tidak menghalang jika ada yang melihat ketika berada di luar, sementelah nanti kami akan hantar mereka bersekolah, cuma pendekatan kami sekarang adalah tidak menonjolkan mereka,” ulas Neelofa ringkas.

Pasangan tersebut ditemui penulis ketika menghadiri majlis pembukaan Nunha Store di MyTown, di sini, baru-baru ini.

Sekadar makluman, pembukaan kedai pertama mereka yang menjual pelbagai produk di bawah jenama itu adalah sebagai hadiah buat peminat dan orang ramai yang sentiasa menyokong produk tersebut.

"Alhamdulillah, perniagaan yang kami usahakan mendapat respons yang sangat positif pelbagai pihak, terutamanya peminat yang tak henti-henti menyokong.

"Jadi, pembukaan Nunha Store di MyTown ini menjadi hadiah istimewa untuk peminat yang mahu mendapatkan produk kami secara fizikal, selain kaedah pembelian dalam talian,” katanya.

Menurutnya lagi, segala urusan pengurusan dan pemilihan lokasi kedai Nunha adalah datangnya daripada suaminya. sendiri.

"Untuk kedai ini, keputusan dibuat oleh Haris kerana saya hanya duduk di rumah, menjaga,memasak dan melihat anak-anak saya membesar di depan mata,” Katanya sambil tertawa.

Sementera itu, dalam sesi temu bual bersama PU Riz, penulis sempat menyelitkan persoalan akan tanggapan segelintir pihak kononnya Neelofa lebih dominan dalam segala hal.

Tegasnya, tiada istilah isteri atau suami lebih dominan, sebaliknya mereka sama-sama uruskan rumah tangga.

"Dia tetap seorang isteri dan tiada istilah membawa karekter bos di rumah. Alhamdulillah, dengan saranan saya (suami) dia berpurdah sampai hari ini.

"Pun begitu, dia buat bukan kerana saya semata-mata, tapi kerana Tuhan. Yang penting, seorang isteri boleh mendengar dengan baik, jalankan amanah dengan sempurna dan saya mampu dengan sebaiknya,” ujar bekas peserta program realiti Pencetus Ummah Musim keempat itu lagi.

Wallpaper gambar anakMenyentuh mengenai komen dan kritikan ke atas isterinya dalam penampilan sebagai Muslimah, PU Riz mengakui isterinya masih dalam proses pembelajaran dan menutup aurat dengan sempurna.

"Justeru, jangan pandang kekurangan sebagai pengukur apa yang kita cakapkan padanya,” tegasnya.

Berkongsi perihal anak-anak yang mesra dan rapat dengan Neelofa, sebagai ayah, beliau memahami perasaan istimewa antara ibu dan anak.

"Walaupun orang kata anak lelaki lebih rapat dengan ibu, tetapi saya pun sama sayangkan mereka. Malah, wallpaper telefon pun gambar anak. Bahkan, gambar mereka lebih banyak berbanding isteri.

"Pun begitu, tiada istilah isteri sudah jatuh nombor dua, cuma dia berada di satu tempat yang tinggi dalam hidup saya. Lagipun, anak masih kecil dan memerlukan perhatian. Isteri boleh berdikari dalam segala hal. Kalau ada tugasan luar dan lama tak jumpa anak memang rindu,” ungkap PU Riz yang turut ringan tulang membantu isterinya menguruskan anak-anak.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa syukur jika anak-anaknya lebih menyayangi Neelofa berbanding dirinya.

"Memang bab itu diakui, kerana saya sendiri sejujurnya sangat rapat dengan ibu, tetapi pada masa sama tetap sayang dengan ayah. Cuma kalau boleh saya pun mahu diri disayangi anak-anak,” katanya sambil tertawa.

Bicara kami kemudiannya beralih pula kepada soal bisnes, tuan punya badan berkongsi perancangannya untuk membuka cawangan kedai lain di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.

"Insya-Allah, Nunha Store yang kedua akan dibuka di lapangan terbang di Kelantan, kami sedang usahakan, jadi doa-doakanlah sebab orang Kelantan sukakan produk kami.

"Lagipun kedai Naelofar tiada lagi di Kelantan, jadi kami cuba bertapak di sana. Alhamdulillah, saya juga bersyukur produk kami disambut baik terutamanya seperti baju dan The Kaabah,” kata beliau.

Menurutnya, The Kaabah yang juga produk audio mengandungi zikir dan doa sedang menanti kelulusan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Apa yang istimewanya The Kaabah ini adalah saya dan Neelofa sendiri yang rekod suara dan masukkan ke dalam produk terbabit. Ia pun sudah disemak oleh pihak JAKIM dan kami sedang tunggu kelulusan.

"Neelofa baca maksud dan terjemahan Al-Quran dan 33 zikir pagi pula dibacakan oleh saya. Ia mudah dibawa ke mana-mana seperti ke dapur, kereta dan sebagainya,” dedah lelaki berusia 28 tahun itu.