PERNAH tak anda mengalami letih yang berpanjangan? Sudah mendapatkan tidur yang mencukupi tetapi masih rasa kepenatan. Situasi ini sering dialami oleh individu yang menghidap Sindrom Kelesuan Kronik atau Chronic Fatigue Syndrome (CFS).
Menurut Ketua Jabatan Psikologi & Kaunseling di Pusat Pengajian Psikologi dan Sains Sosial di IMU University, Dr Serena In, secara perubatan ia dikenali sebagai Ensefalomielitis Mialgik (ME) dan kebanyakan pakar tidak dapat mengenal pasti punca CFS.
"Data mengenai CFS di Malaysia sangat sedikit, bukan kerana ia tidak wujud di sini tetapi kerana kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat umum. Disebabkan itu, tidak ramai orang yang tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan ia kurang dilaporkan dan difahami,” kata beliau.
Akibatnya, CFS masih diselubungi misteri dan mereka yang terjejas sering dibiarkan memikirkannya sendiri. Jadi, bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang keadaan ini, Hari Kesedaran Antarabangsa Sindrom Ensefalomielitis Mialgik/Kelesuan Kronik disambut setiap tahun untuk memberi penekanan kepada kesannya terhadap kehidupan seharian dan memperkasakan individu untuk mendapatkan bantuan.
Tambah beliau yang juga Ahli Psikologi Klinikal, gejala bagi setiap individu yang menghidap CFS berbeza.
Kebanyakan pesakit melaporkan gejala-gejala seperti berikut:
- Kelesuan yang tidak hilang selepas berehat atau tidur
- Kesukaran untuk memberi tumpuan
- Kelemahan otot
- Sensitif melampau kepada bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian
- Masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa
- Kesakitan sendi dan otot tanpa melakukan senaman, bengkak atau kemerahan
- Mengesan gejala
Akui beliau, bukan mudah untuk mengdiagnosis CFS ini, hanya boleh dilakukan dengan gabungan gejala dan simptom yang dihidapi seseorang pesakit melalui beberapa siri ujian untuk menolak kemungkinan punca lain.
"Walau bagaimanapun, sebelum tergesa-gesa menjadikan CFS sebagai jawapannya, fahami dahulu tubuh badan anda dan apa signal atau tanda yang cuba diberitahu kepada anda. Atasi keperluan asas terlebih dahulu dengan dapatkan rehat yang cukup dan makan makanan seimbang.
"Jika asasnya betul, anda sepatutnya akan berasa lebih baik dalam beberapa minggu. Tetapi, jika anda masih tidak berasa lega selepas mencubanya, anda mungkin memerlukan nasihat doktor,” jelas Dr Serena.
Bagi yang mempunyai doktor keluarga, mereka boleh membantu dari segi mengenal pasti dan menolak kemungkinan adanya masalah kesihatan lain, seperti keadaan autoimun seperti penyakit lupus, keletihan, kemurungan atau isu-isu kesihatan lain.
Penulisan jurnal atau rekod kesihatan untuk mengesan gejala dan pemantauan mengambil masa selama berminggu-minggu, bahkan mungkin berbulan-bulan. Jika berkaitan, doktor anda boleh merujuk kepada yang lebih pakar untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"CFS yang berlaku berbeza bagi setiap individu. Ia adalah keadaan yang merangkumi pelbagai aspek. Walaupun tahap keterukannya berbeza, namun rasa letih yang berterusan, sakit atau rasa tidak sihat setiap hari boleh melemahkan diri.
"Sesetengah pesakit juga melaporkan bahawa mereka tidak difahami dengan baik oleh doktor, majikan, atau orang tersayang apabila menerangkan simptom mereka.
"Keadaan ini amat sukar bagi mereka yang sebelum ini biasa aktif dan bersosial, kini terpaksa mengurangkan tanggungjawab tertentu, aktiviti fizikal, perjumpaan sosial dan banyak lagi,” kata Dr. Serena.
Tiada rawatan khusus atau penawar untuk CFS, pesakit harus bijak menguruskan kesakitan dalam melegakan simptom, disamping penyesuaian gaya hidup.
Selain itu, Dr Serena juga mencadangkan berjumpa dengan ahli psikologi klinikal atau kaunselor untuk sokongan dalam menguruskan perubahan besar dalam hidup anda.
"Mendiagnosis CFS begitu mencabar dan tiada rawatan segera, namun penting untuk terus berusaha bagi mendapatkan jawapannya. Pesakit boleh mendapatkan sokongan pakar perubatan dalam menguruskan gejala yang dialami, bersama-sama dengan ahli terapi untuk menghadapi cabaran yang tidak terjangkakan dan meningkatkan kualiti hidup,” jelas beliau.
Depresi atau kemurungan
Kadangkala sindrom keletihan kronik disalah diagnosis sebagai depresi atau kemurungan.
Kemurungan dan sindrom keletihan kronik adalah dua keadaan yang boleh membuat seseorang merasa sangat letih, walaupun selepas tidur malam yang baik. Adalah mungkin untuk mengalami kedua-dua keadaan pada masa yang sama. Ia juga mudah untuk menyalah anggap perasaan letih sebagai kemurungan dan sebaliknya.
Kemurungan berlaku apabila seseorang merasa sedih, cemas, atau putus harapan untuk jangka masa yang panjang. Orang yang mengalami kemurungan sering menghadapi masalah tidur. Mereka mungkin tidur terlalu lama atau tidak tidur langsung.
Mengulas lanjut tentang kemurungan, Pegawai Perubatan di MyHeart Association, Dr Syafiqah Yusoff menjelaskan ramai yang tidak boleh membezakan dirinya menghidap CFS atau kemurungan. Sebenarnya terdapat perbezaan utama antara kedua-duanya iaitu CFS adalah gangguan fizikal manakala kemurungan adalah gangguan kesihatan mental.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persamaan antara kedua-duanya. Simptom kemurungan termasuk:
- Perasaan sedih, cemas, atau kosong yang berterusan
- Perasaan putus harapan, tidak berdaya, atau tidak berharga
- Hilang minat terhadap hobi yang pernah diminati
- Makan terlalu banyak atau terlalu sedikit
- Sukar untuk menumpukan perhatian dan membuat keputusan
Manakala, simptom fizikal yang berlaku kepada individu kemurungan akan mengalami:
- Sakit kepala yang kerap
- Kekejangan
- Masalah perut
- Kesakitan lain
- Mereka juga mungkin menghadapi masalah untuk tidur atau tidur sepanjang malam, yang boleh menyebabkan keletihan.
Kemurungan dan CFS juga mempengaruhi orang secara berbeza dalam aktiviti harian mereka. Orang yang mengalami kemurungan sering berasa sangat letih dan tidak berminat untuk melakukan sebarang aktiviti, tanpa mengira tugas atau jumlah usaha yang diperlukan.
Sementara itu, mereka yang mengalami CFS pula kebiasaannya ingin terlibat dalam aktiviti tetapi berasa terlalu letih untuk melakukannya.
Untuk mendiagnosis sama ada keadaan ini, doktor anda akan cuba menolak gangguan lain yang boleh menyebabkan simptom yang serupa.
Jika doktor anda mengesyaki anda mengalami kemurungan, mereka mungkin merujuk anda kepada pakar kesihatan mental untuk penilaian.
Untuk membuat diagnosis kemurungan, selalunya doktor akan ajukan soalan kepada pesakit tentang sejarah perubatan mereka dan memberikan borang soal selidik untuk menilai kemurungan.
Doktor juga mungkin menggunakan kaedah lain seperti ujian darah atau X-ray untuk memastikan bahawa tiada gangguan lain yang menyebabkan simptom tersebut berlaku.
Sebelum mendiagnosis pesakit dengan sindrom keletihan kronik, doktor akan menjalankan beberapa ujian untuk menolak keadaan lain yang boleh menyebabkan simptom yang serupa.
Ini mungkin termasuk sindrom kaki resah, diabetes atau kemurungan.